Sebagai pembuka bicara saya yang pertama dalam blog baru daftarkan ini, adalah lebih elok saya mulakannya dengan sedikit santapan minda buat saya sendiri dan sahabat-sahabat seperjuangan.
Andai kata amal perbuatan itu kita anggap sebagai satu tubuh badan, maka yang merupakan roh atau jiwa dalam tubuh itu adalah keikhlasan hati. Sesuatu tubuh apabila ia telah ditinggalkan oleh rohnya, sedangkan roh itulah yang menyebabkan hidupnya, bahkan itulah sendi serta pengatur hayatnya. Maka jelaslah tubuh badan tadi merupakan suatu mayat atau bangkai yang tiada bererti dan tiada manfaatnya. Itulah perumpamaan suatu amal perbuatan yang telah ditinggalakan oleh keikhlasan hati.
Keikhlasan adalah sangat penting untuk menghayati sesuatu amalan. Apabila memang diinginkan agar dapat terlaksana dengan baik dan sempurna, malahan keikhlasan itulah yang menjiwainya agar dapat memperolehi hasil yang gilang-gemilang, terpuji serta diredhai Allah S.W.T.
Keikhlasan yang memberikan dorongan dan kekuatan. Keikhlasan yang menimbulkan semangat bekerja yang tidak mengenal erti penat lelah, yang menambah kesabaran dan ketekunan. Membuatkan orang yang ikhlas itu lebih giat, lebih berani untuk terus maju dan lebih gigih untuk melanjutkan usahanya.
Rasa bertanggungjawab itupun hanya dapat timbul kerana adanya keikhlasan. Malahan rasa bertaqwa kepada Allah pun hanya dapat ditanamkan sedalam-dalamnya kerana adanya keikhlasan, juga kemantapan hasil usaha pun baru dapat diperolehi dengan keikhlasan dan ketulusan hati disamping kesungguhan bekerja.
bersambung





Komen Terbaru