Salam Syawal…
Keputusan naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden dianggap sebagai petanda bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan Umno Mac depan.
Semalam, Zahid berkata beliau menawarkan diri berdasarkan telahan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil alih jawatan presiden Umno.
Mohd Ali pula berkata, beliau sedia bertanding sekiranya ada kekosongan jawatan timbalan presiden parti.
Para pemerhati politik melihat perkembangan terbaru itu sebagai petanda bahawa Abdullah akan mengumumkan sebelum 9 Oktober ini – tarikh bahagian mula bersidang – tidak akan mempertahankan jawatan presiden.
Ini memandangkan kedua-dua merupakan ‘orang dalam’ yang pastinya mengetahui perkembangan terkini dalam Umno dan kerajaan.
Sebanyak 191 bahagian Umno akan bersidang selama sebulan sehingga 9 November depan untuk memilih kepimpinan di peringkat bahagian serta membuat pencalonan untuk jawatan tertinggi parti.
Mesyuarat bahagian itu juga akan memilih perwakilan yang bakal mengundi Mac nanti.
Setiap bahagian akan menghantar 13 perwakiilan – enam terdiri daripada pemegang jawatan utama bahagian yang turut dikenali sebagai G6.
Manakala tujuh lagi akan dipilih dalam mesyuarat bahagian, yang juga dikenali sebagai G7.








Komen Terbaru