Pak Lah – Bertanding Atau Tidak


Salam Perjuangan…

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membuat pengummuman pada hari khamis ini samada beliau akan bertanding ataupun tidak untuk mempertahankan jawatan Presiden Umno Malaysia.

Keputusan Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden dianggap petanda perdana menteri tidak akan bertanding presiden Mac depan.

Zahid berkata beliau menawarkan diri berdasarkan telahan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil alih jawatan presiden Umno.

Ali Rustam juga berseida untuk bertanding dalam jawatan timbalan presiden parti jika terdapat kekosongan.

Bagi pemerhati politik,mereka melihat perkembangan ini sebagai petanda bahawa Abdullah akan mengumumkan sebelum 9 Oktober ini – tarikh bahagian mula bersidang – tidak akan mempertahankan jawatan presiden.

Ini kerana kedua-dua ‘orang besar’ yang sudah pasti mengetahui perkembangan terkini yang berlaku dalam UMNO dan Kerajaan Malaysia.

Sebanyak 191 bahagian Umno akan bersidang selama sebulan sehingga 9 November depan untuk memilih kepimpinan di peringkat bahagian serta membuat pencalonan untuk jawatan tertinggi parti.Setiap bahagian akan menghantar 13 perwakiilan – enam terdiri daripada pemegang jawatan utama bahagian yang turut dikenali sebagai G6.Manakala tujuh lagi akan dipilih dalam mesyuarat bahagian, yang juga dikenali sebagai G7 tidak akan bertanding.

Dalam mesyuarat khas baru-baru ini,Majlis Tertinggi (MT) Umno telah memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti dari Disember kepada Mac tahun depan.Bagaimanapun, ia memutuskan mesyuarat bahagian diteruskan seperti jadual – dari 9 Oktober hingga 6 November depan.

Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas tersebut, Abdullah belum mengesahkan akan bertanding jawatan tersebut ataupun tidak,beliau dijangka akan membuat pengumuman mengenainya pada bila-bila masa sahaja sebelum 9 Oktober ini.

Menurut sumber sebelum ini,Abdullah telah bersetuju untuk menyerahkan kuasanya kepada Najib pada pertengahan bulan Jun 2010.

Bagaimanapun, tempoh waktu tersbut dianggap terlalu lama dan pemimpin akar umbi serta beberapa pemimpin utama Umno, termasuk di kalangan ahli MT mahu ianya dipercepatkan.

Abdullah menerima tekanan supaya melepaskan jawatan presiden UMNO dan juga Perdana Menteri Malaysia selepas Barisan Nasional, khususnya Umno kalah teruk dalam pilihanraya umum yang berlangsung Mac lalu.

Dalam pilihanraya itu, BN masih lagi berkuasa tetapi gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Pada masa yang sama BN turut kehilangan lima negeri kepada pembangkang – Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor manakala PAS mempertahankan negeri Kelantan dengan majoriti lebih besar.

Tekanan terhadap BN semakin berat apabila Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa lebih 30 ahli parlimen BN akan menyertai Pakatan Rakyat.

Anwar mendakwa beliau boleh menubuhkan kerajaan baru pada 16 September lalu tetapi ia tidak lagi menjadi kenyataan.

Namun begitu, kebimbangan tetap dirasai di kalangan ahli Umno serta pemimpin parti komponan BN yang lain, mengenai kemungkinan dakwaan Anwar itu akhirnya akan menjadi kenyataan.

Ekoran itu, mereka mahu pimpinan tertinggi Umno bertukar tangan kepada Najib supaya parti itu dapat memulih sokongan rakyat dan kekal menjadi tunggak utama BN.

Berikutan itu, tersebar desas-desus yang mengatakan Abdullah tidak akan mempertahankan jawatan presiden dan akan diambil alih Najib.

Seorang lagi pemimpin Umno yang telah menyatakan kesediaan bertanding jawatan presiden ialah ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sumber : husammusa.com

Posted on 7 Oktober 2008, in Berita, BN, Isu Semasa, Kepimpinan, Politik, Semasa, Siasah, UMNO. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen