Polemik Ketenteraan Islam (Bahagian Permulaan)


Salam Perjuangan…

Oleh : Ali Bukhari Amir

Ketika ini (malam 7 Februari) saya sedang menulis sambil menonton filem Braveheart di TV2, lakonan Mel Gibson. Wataknya sebagai wira Scotland; Wallace yang berjuang untuk membebaskan Scotland daripada cengkaman Inggeris.

Pada akhir riwayatnya Wallace disiksa di hadapan orang-ramai. Musuhnya mahu Wallace mengucapkan sepatah kata yang mengandung maksud gelap dalam perjuangan warga Scotland. Iaitu, permintaan mohon maaf dan sebagai balasannya, Wallace akan dibebaskan.

Khalayak ternanti-nanti untuk melihat samada Wallace akan meminta ampun akibat pemberontakan itu. Ternyata.. yang keluar daripada rekahan bibirnya adalah, “Freedom..!”

Semua ini mengingatkan kita kepada jeritan Yudas Escariot, pembelot kepada perjuangan Jesus Christ (Nabi Isa a.s) yang telah mati di atas palang salib. Dan, antara jeritannya dalam bahasa Ibrani “Elahi.. elahi.. lamma sabaqtani..” (Tuhanku..Tuhanku..kenapa Kau meninggalkan diriku?)

Kembali kepada kisah Wallace.. Tidak diketahui, adakah Wallace dan rakan-rakan seperjuangannya pernah mengadakan semacam suatu latihan yang bersifat mendera tentera-tenteranya dengan alasan, mereka bimbang dan khuatir jika tertangkap, maka segala maklumat pertahanan turut terbongkar?

Biarpun situasinya sedikit berbeza, iaitu wallace bukannya diasak dengan pertanyaan tentang maklumat rahsia pertahanan ketika hampir dihukum bunuh, namun persamaannya di sini ialah, jiwa satria yang bertakhta dalam diri menggesanya untuk menyatakan tidak kepada setiap arahan musuh.

Wallace ditangkap setelah wujudnya unsur-unsur perpecahan dan pengkhianatan dalam kalangan pasukannya..

Keadaannya, sama seperti Yudas Escariot, pembelot itu seperti yang disebutkan dalam Bible. Hanya kerana tawaran emas dan wang daripada tentera Roman, maka Yudas, salah seorang pengikut Jesus Christ berjumlah 12 orang itu (tradisi Islam menggelar mereka sebagai Hawariyyun) telah mengkhianati Jesus.

Tawaran wang, pangkat dan kekuasaan menyebabkan lahirnya lebih ramai talibarut dalam perjuangan membebaskan ibu pertiwi daripada penjajahan. Pada era penjajahan Jepun, istilah talibarut telah ditukar kepada barua Jepun.

Talibarut dan barua paling banyak pecahkan rahsia!
Talibarut dan sama sama saja tarafnya. Mereka ditawarkan wang, pangkat dan kuasa untuk bocorkan segala maklumat dan rahsia pertahanan. Dalam zaman sekarang, mereka mungkin Special Branch (SB) yang menyelinap dalam mesyuarat-mesyuarat parti untuk mengumpul maklumat demo-demo jalanan.

Mungkin.. deraan boleh menyebabkan rahsia pertahanan terbongkar. Tapi, bagaimana pula dengan tawaran musuh seperti wang, pangkat dan kuasa? Banyak kisah menyebutkan bagaimana satrianya seorang tentera yang bertahan sampai mati agar maklumat pertahanan tidak terbongkar.

Tapi, banyak juga riwayat mengenai betapa ramainya pembelot yang akhirnya tewas dengan tawaran wang oleh pihak musuh. Maka.. bagaimanakah kita mahu melatih tentera kita termasuk komanda dan pegawai tentera tinggi supaya tidak membelot, menghebahkan maklumat rahsia pertahanan kepada pihak musuh?

Persoalannya, siapakah yang berani mendera bekas Menteri Pertahanan Najib dan Menteri Pertahanan baru, Abdullah dengan pertanyaan sebegini setelah tentera dilambakkan dengan segala kekayaan dan elaun-elaun bulanan?

Ketika adegan membuli rakan sebangsa sendiri dipaparkan (yang difatwakan sebagai latihan), pada masa yang sama tv kita menyiarkan bagaimana saudara kita di Palestin ditembak, dibuli serta diperkosa haknya di tanahair sendiri. Terfikirlah juga di benak kita, kalau benar komando kita hebat, adakah satu pasukan boleh Abdullah dikerahkan ke Palestin?

Berhubung isu latihan berat supaya komando tidak membocorkan maklumat rahsia pertahanan, teringat pula kisah Leftenan Adnan Saidi yang berpura-pura mati ketika dalam genggamannya ada sebutir bom peledak. Belum sempat rahsia pertahanan musuh dikorek, akhirnya dia meletupkan diri sendiri, lalu hancur melebur bersama tentera Jepun yang mengelilinginya.

Belum sempat dia didera, Adnan Saidi meletupkan dirinya lalu hilang tercabut segala rahsia pertahanan. Adakah beliau diasuh oleh British untuk meletupkan dirinya sendiri? Naluri berbisik bahawa beliau nekad mengikut naluri, kepintaran dirinya sendiri.

Nampaknya, dalam kes ini, Leftenan Adnan Saidi mendahului pejuang Hamas yang meletup diri sendiri dengan niat membunuh orang-orang Yahudi. Sangat maju pemikiran dan keazaman Leftenan Adnan. Semoga rohnya ditempatkan bersama para pejuang yang dirahmati. Amin.. dan al-Fatihah.

Agak-agaknya, kerana risaukan maklumat rahsia pertahanan terbongkar, maka sebab itulah tentera Jepun memegang kaedah Kamikaze, bunuh diri dengan cara membinasakan diri mereka sendiri. Bunuh diri dalam ketenteraan tidak boleh disamakan dengan bunuh diri orang awam yang patah hati dan kecewa bercinta. Bunuh diri seperti inilah yang dilarang agama.

Setelah mendapati jet pejuang mereka ditembak, maka tentera memandu jetnya supaya jatuh ke bangunan kubu musuh. Jasad mereka hancur, maklumat rahsia pertahanan pun hilang ditelan kebakaran itu.

Adakah komando kita disuruh untuk membunuh diri (meletupkan diri sendiri dengan bom, atau terus melawan sehingga dia akan terus dibunuh dengan sebab dia terus berdegil melawan) kalau mereka ditangkap musuh agar segala maklumat rahsia pertahanan tentera negara tidak jatuh ke tangan musuh? saya tidak tahu. Saya bertanya sahaja. Jangan marah saya.

Dosa membunuh Altantuya
Kita semua, orang awam yang membayar cukai dan duit cukai itu digunakan untuk membeli bom C4 guna membunuh Altantuya sepatutnya berasa bertanggungjawab ke atas setiap wang kita yang mengalir ke dalam masyarakat tentera ini. Masyarakat tentera akhirnya bersara dan kembali semula ke pangkuan masyarakat awam.

Jadi, janganlah marah kalau sesekali masyarakat awam bertanya mengenai apakah yang masyarakat tentera itu lakukan demi agama, bangsa dan tanahair, khasnya untuk menyelamatkan nasib saudara-saudara kita di bumi Palestin itu.

Pada asalnya, ramai juga orang awam yang mengirim mel-e. Kemudian, bertalu-talu pula pandangan daripada pihak tentera sendiri. Sayangnya, ada yang akan bersara untuk 4 bulan sahaja lagi daripada pasukan tentera. Jadi, mungkin tak banyak yang boleh dibualkan, dan tak banyak perkara yang dapat diubahkan.

Banyak yang ingin saya tanyakan kepada tentera ini. Selain isu latihan atau buli, apakah kegiatan Kagat ke atas mereka selama ini? Apakah yang Kagat lakukan setelah wujudnya fatwa yang melarang upacara mengalung bunga depan Tugu Negara sempena Hari Pahlawan? Adakah masyarakat tentera sendiri tahu berhubung kewujudan fatwa pengharaman tersebut?

Kalau mereka tahu, apakah ada usaha dan inisiatif menegur Abdullah Ahmad Badawi agar tidak lagi mengalung bunga itu di depan Tugu Negara? Cukuplah saya membebankan pertanyaan kepada mereka. Saya tahu mereka marahkan saya. Tapi, ketakutan saya kepada Allah mengatasi ketakutan saya terhadap Abdullah.

Semangat itulah yang menyebabkan saya terpaksa bertanya anda sekalian wahai masyarakat tentera di dunia ini agar kita sama-sama dapat membebaskan diri daripada pertanyaan Allah di Padang Mahsyar kelak. Kami masyarakat awam tiada senjata untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin. Kalian ada senjata, maka tugas anda lebih berat rasanya.

Tapi, kami masyarakat awam mungkin tak terlepas juga daripada pertanyaan Tuhan, sebab cukai-cukai kami telah digunakan untuk membeli segala peralatan tentera termasuk bom C4 yang digunakan untuk membunuh Altantuya itu. Ya Allah, sukarnya hidup di dunia ini. Kita semua akan terbeban dengan pertanyaan Tuhan.

Berikut adalah salinan mel-e yang dikirim kepada saya. Semua sidang pembaca boleh nilaikan sendiri bagaimanakah kaedah dan cara kita semua berfikir pada hari ini.

Komen Pembaca
Salam semua, komen ana sebagai orang awam Islam tentang kes latihan ditangkap musuh dalam tentera sekarang adalah cara bukan Islam. Cara Islam adalah beri ilmu Tauhid dan Fiqh sedalamnya sehingga sanggup mati dari bocorkan rahsia. Bilal bin Rabah tetap kata Ahad, Ahad, Ahad walaupun diseksa, Sumaiyah sanggup dibunuh.

Ini kerana, latihan ketahanan Tauhid bukan kerana latihan ketahanan fizikal. Keperluan latihan fizikal adalah seperti berlari atau berjalan berpuluh kilometer sambil bawa barang keperluan, tahan nafas dalam air, mendaki bukit, berpuasa, seni beladiri dan lain-lain.

Jalan pun tak boleh hentak-hentak kaki kerana ana pernah dengar hadis melarang jalan menghentak kaki. Secara umumnya rujuklah al-Quran dan Hadis dalam apa jua masalah yang kita hadapi.

Hasbullah berkata..

Assalamualaikum. Saya seorang pelajar ijazah sarjana muda Sains di salah sebuah IPTA negara. Saya tertarik menulis e-mel ini kerana saya ada berberapa orang rakan anggota pasukan khusus negara (komando). Maklumat yang saya perolehi ini adalah dari rakan-rakan saya yang berkhidmat sebagai anggota komando negara.

Pasukan khusus negara tediri daripada beberapa pasukan seperti Grup Gerak Khas (GGK) bagi tentera darat, Pasukan Khas Laut (PASKAL) bagi TLDM, Pasukan Khas Udara (PASKAU) bagi TUDM,dan Komando 69 (VAT69) bagi PDRM. Mereka ini adalah pasukan khas negara yang mempunyai kredibiliti dan reputasi yang baik serta disegani kawan dan lawan. Komando 69 contohnya memegang rekod terbaik di dunia dalam menangkap komunis secara hidup-hidup paling ramai.

GGK atau komando tentera darat telah dipanggil menyertai pelbagai misi antarabangsa oleh pihak PBB bagi mengatasi konflik di serata dunia kerana kehebatan pasukan komando kita. Saudara boleh lihat kejayaan komando kita di dalam sejarah tentera darat sendiri dalam era konfrantasi dan era komunis serta misi dan kejayaan yang mereka telah capai.

Mereka hanya beroperasi seramai 5-6 orang saja dalam hutan berbeza dengan 30 orang bagi pasukan tentera biasa. Ini jelas menunjukkan kualiti yang ada pada angota komando tersebut. Untuk mempunyai kualiti dan layak digelar sebagai komando, mereka harus menjalani latihan yang keras.

Prinsip latihan mereka ialah “Train hard, fight easy”. Mereka yang memasuki pasukan komando ini merupakan mereka yang sukarela menawarkan diri. Mereka sudah didedahkan tentang apa yang akan mereka hadapi di dalam latihan asas komando untuk melayakkan diri mereka bergelar komando.

Kalau saudara pergi ke kem Sungai Udang Melaka, di sana terdapatnya Pusat Latihan Perperangan Khusus (PULPAK) yang menjalankan kursus asas komando, di pintu masuk kem tersebut sudah terpampang besar kata-kata “DATANGMU TIDAK DIUNDANG, JIKA RAGU HARAP PULANG”.

Kata-kata ini sudah jelas menggambarkan bahawa mereka yang datang untuk menjalani latihan komando ini sukarela tanpa dipaksa. Kursus asas komando mempunyai 4 peringkat utama:-


1-Peringkat kem
2-Peringkat hutan
3-Peringkat paya
4-Peringkat penamat

Setiap peringkat ini mempunyai kaedah latihan yang tersendiri dan kasar. Latihan tersebut memerlukan kekuatan fizikal, mental dan emosi yang tinggi. Mereka dilatih untuk menjadi seorang yang sangat lasak dan tahan dengan apa jua tekanan. Sepanjang latihan selama 12 minggu ini berlangsung mereka diberi makanan dan tidur dengan kadar yang sangat minimum.

Di peringkat hutan dan paya contohnya, mereka hanya diberikan pisau, garam, dan 10 batang mancis untuk ikhtiar hidup dan mencari makanan sendiri di dalam hutan. Dalam video anggota komando didera yang ditayangkan di televisyen negara, video tersebut merupakan fasa E & E atau dikenali sebagai escape & evasion. Latihan ini merupakan latihan yang dijalankan oleh pasukan komando di seluruh dunia seperti British SAS, NZSAS, NAVY SEALS, GIGN dan yang seangkatan dengannya.

Latihan ini mendedahkan kepada pelatih komando tentang teknik-teknik siksaan yang akan digunakan oleh pihak musuh sekiranya mereka ditangkap. Mereka juga akan menghadapi situasi dimana para jurulatih akan bertindak seperti pihak musuh yang sebenar.

Mereka akan diberikan satu rahsia kemudian jurulatih akan menyiksa mereka agar mereka membocorkan rahsia tersebut. Mereka yang tidak tahan siksaan dan bertindak membocorkan rahsia akan dibuang dari latihan dan tidak layak untuk menjadi anggota komando.

Tak semua pelatih yang menjalani latihan kursus asas komando ini akan lulus. Biasanya jika 200 orang menyertai kursus ini. Hanya dalam lingkungn 50 orang sahaja yang akan lulus. Mereka yang berjaya dalam latihan ini merupakan mereka yang mempunyai ketahanan mental, fizikal dan emosi yang tinggi dan layak untuk menganggotai pasukan komando. Mereka tidak akan membocorkan rahsia keselamatan negara sekiranya mereka disiksa oleh pihak musuh.

Bayangkan jika anggota komando kita tidak terlatih dan tidak menjalani latihan ini?? sudah tentu anggota komando kita akan mudah membocorkan rahsia negara apa lagi disiksa oleh pihak musuh dan bayangkan kesannya kepada negara kita dan kita semua? Anggota komando amat perlu dilatih dengan latihan yang keras sebegini rupa kerana kebanyakan misi adalah beroperasi jauh di dalam kawasan musuh. Mereka bertindak sebagai pemukul utama yang akan merisik, menyerang, mensabotaj dan menghuru-harakan pasukan musuh.

Sewajarnya kita sebagai orang awam yang tidak mempunyai pengetahuan yang banyak tentang latihan angkatan tentera tak perlu masuk campur dalam urusan latihan mereka. Ini kerana, mereka inilah yang menjaga keselamatan dan kedaulatan negara kita yang tercinta ini. Sudah tentu kita mahukan pasukan komando kita menjadi pasukan yang hebat dan digeruni oleh pihak musuh. TAKBIR!! ALLAHUAKBAR!!!

“LANGIT ADALAH BATASANNYA, LAUTAN ADALAH MAINANNYA, DATARAN ADALAH HAMPARANNYA..” KOMANDO!!!

###

Saudara, pendapat saya pula sebagai anggota tentera. Pesan kepada orang-orang berkenaan. Jangan hanya pandai bercakap saja. Alami dahulu baru tahu nikmatnya! Nak sangat memprotes latihan tentera. Bubarkan saja angkatan tentera, biar warga asing jaga kedaulatan negara!!!!

Memang orang Melayu ni..suka dijajahkan!!! Tak pandai-pandai lagi. Kecil-kecil tak nak mampus, jadikanlah sejarah silam sebagai pengajaran dan pedoman. Nasib saya bukan Melayu!! Saya Bugis.

###

Daripada Mr. Chakcibo

Saya terpaut memberi sedikit pendapat. Terlebih dulu saya sarankan media tidak terlalu membesarkan isu buli dalam ATM yang mana akan menunjukan kelemahan seseorang tentera itu sendiri. Jika latihan seperti itu dianggap buli dan keterlaluan tentu negara luar yang juga mungkin berpotensi sebagai musuh sudah dapat menilai kekuatan tentera kita.

Saya sebagai sorang tentera tetapi bukan komando merasakan apa yang dilakukan itu sebagai satu latihan dan sebab itu kami ygan juga tentera masih memandang tinggi pada pasukan komando. Jika dibanding kami juga menjalani latihan yang teruk dan hampir sedemikian. Jika latihan komando itu tidak mencabar sudah tentu ramai dalam kalangan anggota tentera yang lain akan menyertai komando.

Orang awam hanya menilai dari sudut pandangan luar sahaja dan begitu juga tentera yang bukan dari pasukan tersebut dan tidak pernah sama sekali mengikuti latihan tersebut merasakan ianya satu buli dalam ATM. Seorang bekas pegawai tentera yang mengulas di dalam TV hari itu sendiri, saya rasa juga tidak pernah mengikuti latihan tersebut.

Latihan komando bukan dapat dilihat secara langsung walaupun anggota tentera yang lain. Orang awam tak tahu apa tugas komando itu sebenarnya! Sebelum menilai latihan komando itu, cuba nilai latihan yang dilaksanakan oleh pasukan lain seperti PARA dan Askar melayu yang merupakan pasukan Ifantri.

Jika tentera yang berada di KEMENTAH yang dijadikan contoh, anda memang silap keranan kebanyakan tentera yang ditempatkan di sini dari kumpulan yang melaksanakan tugas pejabat. Jadi, jangan jadikan ia sebagai contoh.

Cuma pada saya memang rakyat Malaysia sekarang ini tidak kuat mental atau (LEMBIK dan MANJA). Sebab kehidupan mereka ditatang oleh ibubapa yang mendidik anak tidak seperti ibu bapa dahulu. Saya sendiri yang akan bersara pada tahun depan dapat melihat kualiti anggota tentera sekarang hasil dari latihan yang kurang kerana menjaga hati dan kehendak masyarakat yang tak suka anak mereka didera dengan kerja dan latihan yang keras.

Tentera bukan pengakap, pandu puteri atau kadet atau seperti badan beruniform sekolah. Jadi sebagai orang awam fikirkan. Kalau semua dianggap buli tentera, pada masa akan datang akan jadi tentera yang manja dan lembik. Baru bagi tugas lebih sikit mula nak absent..

Saya sebagai tentera sendiri sedih melihat orang awam yang nampaknya mempolitikkan Institusi Pertahanan Negara yang secara tidak langsung mempamerkan kualiti Tentera Malaysia pada mata negara luar.

Jadi, rakyat Malaysia jangan jadi bodoh. Bak kata orang, sayangkan anak tangan-tangankan. Bukan macam orang sekarang mendidik anak. Lihat rakyat malaysia sekarang. Merempit, menyamun, dan macam-macam gejala sosial yang mana ibu bapa hanya termenung sahaja.

Salah siapa? Didik anak ikut kehendak orang lain. Sama juga akan datang didik tentera ikut kehendak orang awam yang tak nak masuk tentera! Jadi pada saya janganlah dibesarkan isu tersebut sehingga akhirnya akan menjadi kudis pada negara sendiri.

###

Zulkifli menulis..

Saudara, saya adalah salah seorang anggota tentera yang akan bersara 4 bulan saja lagi. Sakit hatinya bila rata-rata orang awam mempertikai latihan tentera. Ingat latihan persatuan Bulan Sabit Merah, Pengakap, Pertubuhan Peladang… debat sepanjang mana sekali pun orang awam tak akan faham.

Keluarlah segala dalil atau nas-nas apa sekalipun. Tentera bukan seperti badan berunifom yang lain. Lihat saja Israel dan Palestin. Berapa kuat laungan tadbir sama kuat dengan meriam Israel, namun peluru tetap keluar daripada muncung laras. Fikirkanlah.. wahai saudara pemikir Kg Baru.

###

“Outlaw Gunners menulis..

Saya terkejut juga bila isu buli dalam tentera ditokok tambah pula dengan mazhablah, qisaslah, nas-nas Al-Quranlah. Apa semuanya ni? Tak cukup dipolitikkan, di tambah campur-adukkan isu agama pula? Saya pernah mengalami benda yang hampir sama di sekolah asrama, bukan kem tentera tapi tak jadi isu pun sebab zaman tu takde handphone 3G. Handphone pun belum ada lagi. Siap nak berdebat pulak lagi. Tak payahla!

###

sham riza menulis..

Di sini saya berpendirian bahawa latihan sememangnya perlu bagi mereka yang bergelar tentera dari sudut membina kemahiran dan ketahanan. Namun, model latihan dari manakah yang diterima pakai sekarang ini? Maka, bersama peredaran zaman maka ia perlu seiring dan seboleh-bolehnya mengatasi kemahiran yang ada pada mereka yang memusuhi Islam.

Dan, asasnya telah dinyatakan Rasullullah sebagaimana mafhum sabda baginda, “Ajarlah anak-anakmu memanah, menunggang kuda..” Jika pada zaman Rasulullah, memanah menggunakan anak panah dan busur, maka sekarang dimajukan dengan senapang, meriam dan seterusnya.

Demikian juga dengan menunggang kuda di mana sedia kita maklum bahawa kuda antara makhluk tunggangan yang dapat bergerak pantas maka kini dimajukan dengan kereta perisai, kereta kebal, pesawat pejuang dan seterusnya.

Persoalannya kini, bagaimanakah acuan latihan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w yang sememangnya menerbitkan daya ketahanan yang cukup luar biasa dalam jiwa tentera-tentera Islam?

Sesungguhnya, tidak pernah dinyatakan oleh mana-mana buku sejarah yang menyatakan bahawa latihan katahanan yang dilakukan Rasullullah adalah sama sebagaimana yang kita saksikan dalam media tempohari.

Namun, dengan penyerapan nilai keimanan dan ketaqwaan telah menghasilkan satu ruh jihad yang bukan sahaja tak gentar disiksa oleh musuh malah ramai yang mengharapkan agar bertemu syahid di medan tempur. Inilah senjata paling digeruni oleh mana-mana musuh sekalipun mereka mempunyai bilangan yang ramai dan kelengkapan yang canggih.

Saudara boleh membuka lembaran sejarah perjuangan tentera-tentera Islam sewaktu zaman Rasullullah dan seterusnya Khulafa Ar-Rasyidin dan seterusnya hingga kuasa negara Islam menjadi bagitu unggul, digeruni dan disegani pelusuk dunia.

Permasalahannya ialah acuan yang diterima pakai sekarang ini tidak mentikberatkan skop yang ditinggalkan Rasullullah yang pasti datangnya dari Allah. Kita lebih teruja dengan kehebatan Barat lalu menerima pakai setiap garis panduan yang mereka gariskan sehinggakan arak menjadi suatu hidangan biasa bagi majlis-majlis keraian.

Pada zaman Rasullullah juga wujud masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama namun tiada lesen kilang arak pun yang dikeluarkan atas dasar mahu menjaga keharmonian kaum.

Ketika sahabat ternama dilantik menjadi khalifah, maka rakyat bangkit lalu menyatakan akan membetulkan penyelewengan dengan hujung pedangnya. Lalu khalifah menerima dengan jiwa terbuka. Namun apakah sikap dan sifat tersebut wujud pada jurulatih tentera, ketua tentera, peminpin tentera yang mewajibkan taat dan patuh dalam apa jua keadaan? Wassalam. – Harakahdaily

Posted on 9 Februari 2009, in Pelbagai and tagged , , , . Bookmark the permalink. 1 Komen.

  1. Beret Hijau terus mara…Bukan marah!!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 4,772 other followers

%d bloggers like this: