Petanda PM Tidak Bertanding Presiden


Salam Syawal…

Keputusan naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden dianggap sebagai petanda bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak akan mempertahankan jawatan presiden dalam pemilihan Umno Mac depan.

Semalam, Zahid berkata beliau menawarkan diri berdasarkan telahan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil alih jawatan presiden Umno.

Mohd Ali pula berkata, beliau sedia bertanding sekiranya ada kekosongan jawatan timbalan presiden parti.

Para pemerhati politik melihat perkembangan terbaru itu sebagai petanda bahawa Abdullah akan mengumumkan sebelum 9 Oktober ini – tarikh bahagian mula bersidang – tidak akan mempertahankan jawatan presiden.

Ini memandangkan kedua-dua merupakan ‘orang dalam’ yang pastinya mengetahui perkembangan terkini dalam Umno dan kerajaan.

Sebanyak 191 bahagian Umno akan bersidang selama sebulan sehingga 9 November depan untuk memilih kepimpinan di peringkat bahagian serta membuat pencalonan untuk jawatan tertinggi parti.

Mesyuarat bahagian itu juga akan memilih perwakilan yang bakal mengundi Mac nanti.

Setiap bahagian akan menghantar 13 perwakiilan – enam terdiri daripada pemegang jawatan utama bahagian yang turut dikenali sebagai G6.

Manakala tujuh lagi akan dipilih dalam mesyuarat bahagian, yang juga dikenali sebagai G7.

Tidak Bertanding

Majlis Tertinggi (MT) Umno – dalam satu mesyuarat khas baru-baru ini – memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti dari Disember kepada Mac tahun depan.

Bagaimanapun, ia memutuskan mesyuarat bahagian diteruskan seperti jadual – dari 9 Oktober hingga 6 November depan.

Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas tersebut, Abdullah belum mengesahkan akan bertanding jawatan presiden, tetapi beliau dijangka membuat pengumuman mengenainya pada bila-bila masa sebelum 9 Oktober.

Sebelum ini, Abdullah telah bersetuju untuk menyerahkan kuasa kepada Najib pada pertengahan bulan Jun 2010.

Bagaimanapun, tempoh waktu tersbut dianggap terlalu lama dan pemimpin akar umbi serta beberapa pemimpin utama Umno, termasuk di kalangan ahli MT mahu ianya dipercepatkan.

Abdullah menerima tekanan supaya melepaskan jawatan presiden dan perdana menteri selepas Barisan Nasional, khususnya Umno kalah teruk dalam pilihanraya umum Mac lalu.

Dalam pilihanraya itu, BN kembali berkuasa tetapi gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Kebimbangan Ahli

Pada masa yang sama BN turut kehilangan lima negeri kepada pembangkang – Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor manakala PAS mempertahan Kelantan dengan majoriti lebih besar.

Tekanan terhadap BN semakin berat apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa lebih 30 ahli parlimen BN akan menyertai Pakatan Rakyat.

Anwar mendakwa beliau boleh menubuhkan kerajaan baru pada 16 September lalu tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Namun begitu, kebimbangan tetap dirasai di kalangan ahli Umno serta pemimpin parti komponan BN yang lain, mengenai kemungkinan dakwaan Anwar itu akhirnya akan menjadi kenyataan.

Ekoran itu, mereka mahu kepimpinan tertinggi Umno bertukar tangan kepada Najib supaya parti itu dapat memulih sokongan rakyat dan kekal menjadi tunggak utama BN.

Berikutan itu, tersebar desas-desus yang mengatakan Abdullah tidak akan mempertahankan jawatan presiden dan diambil alih Najib.

Seorang lagi pemimpin Umno yang telah menyatakan kesediaan bertanding jawatan presiden ialah ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Sumber : malaysiakini

Posted on 4 Oktober 2008, in Berita, Berita Terkini, BN, Isu Semasa, Kepimpinan, Pemimpin, Politik, Semasa, Siasah, UMNO. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: