25 Bahagian Mesyuarat Hari Ini, Najib Dan Muhyiddin Dahului Pencalonan


Salam Perjuangan…

PETALING JAYA : Persidangan perwakilan bahagian Umno memasuki hari keempat hari ini dengan sebanyak 25 bahagian dijangka mengadakan mesyuarat masing-masing.

Turut termasuk dalam senarai ialah Bahagian Pagoh yang diketuai oleh Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Sehingga semalam, Muhyidddin memperoleh tiga pencalonan tiga bahagian yang telah menyempurnakan persidangan masing-masing.

Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pula telah memperoleh jumlah pencalonan yang sama bagi jawatan Presiden.

Kelmarin kedua-dua mereka mendapat dua pencalonan setiap seorang daripada Umno Bahagian Machang di Kelantan dan Kimanis, Sabah.

Semalam pula Bahagian Besut merupakan bahagian ketiga yang mengadakan mesyuarat perwakilan mereka daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara.

Antara bahagian-bahagian yang bersidang hari ini ialah Pagoh, Cheras, Tasek Gelugor, Bukit Gelugor, Parit Buntar, Bagan Serai, Taiping, Beruas, Kampar, Semporna, Silam, Kalabakan, Kota Kinabalu, Pontian, Mersing, Pasir Gudang, Batu Pahat, Kota Melaka, Kuantan dan Rompin.

Sehingga semalam Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang juga Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin; dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal masing-masing memperoleh tiga, dua dan satu pencalonan untuk jawatan Naib Presiden.

Selain mereka, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar masing-masing turut mendapat satu pencalonan untuk bertandung kerusi Naib Presiden.

Sementara itu, Bahagian Tumpat yang dijadualkan bermesyuarat semalam telah menangguhkan mesyuarat ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Dalam pada itu, Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil masing-masing telah melepasi jumlah pencalonan minimum bagi jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita Umno setelah 47 daripada 191 bahagian pergerakan itu menamatkan mesyuarat perwakilan mereka sehingga semalam.

Rafidah memperoleh sebanyak 31 pencalonan semalam, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 39 pencalonan, melebihi jumlah minimum 38 pencalonan atau 20 peratus daripada 191 bahagian untuk melayakkan diri mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Wanita Umno.

Shahrizat turut layak untuk mempertahankan jawatannya sebagai Naib Ketua Wanita setelah kini mengumpul 39 pencalonan, melebihi had minimum 29, atau 15 peratus daripada 191 bahagian.

Bagi pencalonan untuk jawatan Ketua Wanita Umno, Shahrizat telah memperoleh lapan pencalonan, termasuk tujuh pencalonan diterimanya daripada Wanita Umno Telok Kemang, Kinabatangan, Kalabakan, Bukit Gelugor, Bagan Serai, Bukit Gantang dan Kampar walaupun beliau sebelum ini menyatakan pendirian untuk tidak bertanding jawatan tersebut.

Sementara itu, pencalonan untuk jawatan Naib Ketua Wanita semakin ‘panas’ apabila dua lagi nama dicalonkan iaitu Ketua Wanita Johor, Datuk Halimah Siddiq dan Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Kamilia Ibrahim.

Halimah mendapat satu pencalonan dari Bahagian Wanita Umno Kinabatangan, manakala Kamilia memperoleh tiga pencalonan dari Kalabakan, Bukit Gelugor dan Kampar.

Ketua Umno Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri Pelancongan menerima tiga lagi pencalonan bagi jawatan Naib Ketua Wanita iaitu Telok Kemang, Bagan Serai dan Bukit Gantang menjadikan keseluruhan empat pencalonan sehingga semalam.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Tun Mahathir sehingga malam tadi telah mendapat 29 pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno, kini memerlukan hanya sembilan lagi pencalonan untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.Jumlah minimum pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut ialah 38.

Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin pula telah mendapat 14 pencalonan, dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo tujuh setelah 53 Bahagian Pemuda Umno bermesyuarat sejak Khamis lalu.

Mukhriz mendapat pencalonan daripada Jerlun, Besut, Kimanis, Alor Star, Cameron Highlands, Kota Melaka, Tasek Gelugor, Bukit Gelugor, Teluk Intan, Pagoh, Pasir Gudang, Kalabakan, Langkawi, Kuantan, Rasah, Jelebu, Jempol, Ipoh Barat, Lipis, Bentong, Tenggara, Padang Rengas, Subang, Kampar, Kota Belud, Tuaran, Permatang Pauh, Bagan dan Pokok Sena.

Sementara Khairy pula dicalonkan oleh Machang, Pengkalan Chepa, Ketereh, Silam, Bandar Tun Razak, Bagan Datoh, Beruas, Bachok, Raub, Rompin, Bagan Serai, Gelang Patah, Pontian dan Kota Kinabalu.

Khir mendapat sokongan daripada Tumpat, Kapar, Cheras, Taiping, Masjid Tanah, Mersing dan Shah Alam.

Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda, Ahli Parlimen Muar Razali Ibrahim yang kini memperolehi 27 pencalonan, hanya perlu mendapat dua lagi pencalonan untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.

Bagi bertanding jawatan itu, calon perlu mendapat 15 peratus pencalonan dari 191 bahagian iaitu 29.

Sementara saingannya bagi jawatan itu, anggota Exco Pemuda dan Ketua Pemuda Permatang Pauh, Datuk Reezal Merican Naina Merican mendapat 18 pencalonan, Ketua Pemuda Kota Kinabalu, Baharol Raza Chuprap (satu), anggota Exco Pemuda Marzuki Yahaya (satu) dan Ketua Pemuda Kapar, Selangor Faizal Abdullah (satu). mstar

[Harap-harap mesyuarat bahagian pada hari ini membuat suatu kejutan besar. Harapan saya pencalonan untuk Ku Li itu ada untuk calon Presiden untuk melawan Najib dan terkuburnya karier politik Khairy menantu tersayang Pak Lah.]

Posted on 12 Oktober 2008, in Analisis Isu, Berita, Berita Terkini, BN, Isu Semasa, Kepimpinan, Pemilihan UMNO, Politik, Semasa, Siasah, UMNO. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: