Mahathir: ‘Saya Bebas Komen Umno Walaupun Bukan Ahli’


Salam Perjuangan…

PETALING JAYA : Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau bebas untuk memberikan pandangan tentang Umno termasuk mengkritik pucuk kepimpinan walaupun masih bukan merupakan ahli parti.

Dalam kenyataan balas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiga hari lalu, Dr. Mahathir berkata, “saya terkejut apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat kenyataan bahawa sebagai seorang yang bukan ahli Umno saya tidak berhak memberi pandangan saya terhadap apa yang sedang berlaku dalam UMNO.”

“Saya teringat akan jawapan Tun Abdul Razak sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri apabila ditanya oleh pemberita tentang komen saya berkenaan Umno dalam tahun 1970.

“Beliau berkata sebagai orang yang bukan ahli Umno (saya telah disingkir oleh Umno pada masa itu) saya bebas berkata apa sahaja,” kata beliau dalam blognya.

Dr. Mahathir juga menjelaskan tentang halangan yang beliau hadapi untuk mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Umno sejak kebelakangan ini.

“Saya hairan kenapa semasa saya masih ahli Umno setelah letak jawatan sebagai Presiden Umno saya juga tidak dibenar berjumpa ahli Umno dan pemimpinnya dari peringkat bahagian sehingga peringkat Majlis Tertinggi.

“Ahli Umno juga dilarang daripada menjemput saya untuk berucap dalam majlis UMNO atau menghadiri apa-apa majlis di mana saya akan berucap. Saya juga tidak dibenar berucap di Universiti. Jemputan kepada saya ditarik balik atas arahan orang tertentu dalam kerajaan dan parti.

“Yang mutakhir apabila saya dijemput oleh Kelab UMNO Melbourne dan saya terima untuk membuat ucapan berkenaan tajuk yang tidak menyentuh politik dalam negara, tiba-tiba Kelab Umno Melbourne menarik balik jemputan atas arahan Ibu Pejabat Umno,” katanya.

Dr. Mahathir keluar Umno Mei lalu dan telah melahirkan hasrat untuk kembali ke pangkuan Umno baru-baru ini.

Kata Dr. Mahathir, adalah jelas sama ada ahli Umno atau tidak beliau tidak dibenar atau dihalang daripada memberi apa-apa pandangan berkenaan Umno atau berkenaan apa-apa perkara lain.

Sehubungan itu, kata bekas Presiden Umno, buat kali pertama beliau bersetuju dengan “orang Pak Lah” bahawa beliau berhak membidasnya.

“Buat kali pertama saya bersetuju dengan “orang Pak Lah” bahawa beliau berhak membidas saya, walaupun tindakan beliau tidak boleh ditafsir sebagai “elegant silence” Tun Musa. Tetapi sama da saya bidas balik adalah hak saya juga.

“Jikalau tak bersetuju dengan pendapat saya, itu juga hak masing-masing. Blog saya terbuka. Jika tidak memaki hamun blog saya terbuka kepada Pak Lah dan konco-konconya,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Abdullah membidas Tun Dr. Mahathir Mohamad sambil mendakwa bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno itu berlagak seolah-olah pengarah pilihan parti yang menentukan “siapa yang perlu berada dalam parti Umno dan siapa yang perlu dikeluarkan.”

“Dia berlagak seolah-olah menjadi pengarah kepada pilihan parti, menentukan orang itu memegang jawatan itu… orang ini pula memegang jawatan ini, siapa yang perlu ada dalam parti, siapa yang perlu dikeluarkan. Apa hak dia buat begitu?,” kata beliau di Kota Kinabalu.

Perdana Menteri berkata, Umno tidak pernah memerlukan arahan daripada pemimpin yang tidak berada dalam parti itu.

Abdullah mengulas kenyataan Mahathir yang mahu perwakilan Umno “mengusir orang-orang Abdullah” dalam pemilihan parti itu Mac depan.

“Sebenarnya beliau mahu menimbulkan pergolakan, kemarahan dan kebencian.

“Apakah salah sangat orang-orang yang bekerja dengan saya. Apakah kalau mereka itu tidak bercakap atau tidak riuh-rendah maka itu mesti dianggap sebagai orang yang tidak baik…orang yang tidak pernah membuat baik untuk Umno dan kerajaan.

“Siapa dia yang membuat penentuan seperti itu. Ini akan menimbulkan kebencian sesama ahli Umno, mengajar ahli Umno bergaduh sesama sendiri,” kata beliau yang jarang ‘menyerang balas’ Dr. Mahathir yang sering mengkritik gaya kepimpinan Abdullah sejak tiga tahun lalu. – mStar

Posted on 22 Oktober 2008, in Berita, Berita Terkini, BN, Isu Semasa, Mahathir, Politik, Semasa, Siasah, UMNO. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: