Pemisahan Politik Melayu Semakin Kabur


Salam Perjuangan…

[BERIKUT adalah temu ramah yang saya berikan kepada wartawan Harakah, Saudara IRWAN MUHAMMAD ZAIN. Ia disiarkan dalam sisipan Fikrah akhbar Harakah keluaran 17-19 Oktober lalu dengan tajuk “Perangkap Politik Melayu”. Saya ucapkan terima kasih kepada Harakah kerana membenarkan saya menyiarkannya semula dalam blog ini.]

ORANG Melayu jauh ketinggalan dari pelbagai segi dan ini dikatakan berpunca daripada sikap pemimpin dan orang Melayu sendiri, juga bagaimana bentuk mereka berpolitik.

Ketua Pengarang Berita Publishing yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP), Datuk Abdul Kadir Jasin sudi berkongsi pandangan dengan pembaca Harakah berhubung perkara ini, 10 Oktober lalu. Ikuti wawancara IRWAN MUHAMMAD ZAIN bersama beliau.

HARAKAH: Selepas 20 tahun, jawatan Presiden Umno akan dipertandingkan. Boleh Dato’ beri komen mengenai pertandingan jawatan utama Umno kali ini?

KADIR: Kita belum boleh membuat kesimpulan akan ada pertandingan. Setakat ini ada penawaran diri oleh dua tokoh iaitu Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sama ada akan berlaku pertandingan yang sebenarnya kita terpaksa tunggu sehingga bahagian-bahagian Umno habis bersidang. Atau mungkin, dalam tempoh itu mungkin Tengku Razaleigh atau sesiapa saja yang berfikir untuk bertanding jawatan itu mungkin mereka menimbang semula dan menarik diri.

Jika berlaku pertandingan adakah ini akan memberikan kesan kepada Umno?

Saya rasa, khasnya selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu, ramai ahli-ahli Umno yang mahu ada pertandingan iaitu mereka mahu diberi peluang untuk memilih pemimpin Umno daripada peringkat paling rendah ke peringkat paling atas. Sebab sebelum ini jawatan presiden dan timbalan presiden itu sekadar disahkan tanpa pertandingan.

Adakah pemimpin-pemimpin Umno mendengar suara akar umbi yang mahukan perubahan berlaku dalam parti tersebut?

Saya tidak mahu meneka, saya tidak mahu cuba membaca pemikiran pemimpin-pemimpin Umno sama ada mereka akan mendengar atau tidak mahu mendengar tapi ahli-ahli Umno telah pun memberikan isyarat yang sangat kuat, sangat ketara pada 8 Mac bahawa mereka tidak mahu lagi diperkotak-katikkan atau mereka tidak mahu lagi menjadi ‘rubber stamp’.

Jadi kalau pemimpin-pemimpin Umno masih tidak faham, masih tidak dapat menerima mesej itu saya rasa perhubungan yang tidak intim, yang tidak akrab antara kepimpinan Umno dengan ahli Umno akan menjadi semakin teruk.

Apabila dikatakan bahawa akar umbi atau ahli Umno sudah menghantar mesej adakah ini bermaksud Umno sudah tidak lagi relevan?

Adakah itu menunjukkan Umno sudah tidak relevan lagi. Jawapan saya tidak. Umno masih relevan.

Dalam konteks apa Umno ini masih relevan sedangkan ramai pihak berpendapat ia sudah tidak lagi relevan?

Dalam konteks dikotomi, pemisahan politik Melayu. Ini lebih menarik daripada Umno. Ini lebih luas iaitu dikotomi politik Melayu.

Boleh Dato’ perincikan lagi tentang dikotomi itu?

Kalau dulu politik Melayu cuma dua, belah dua, Umno dan PAS. Orang Umno akan hidup dan mati dengan Umno dan orang PAS akan hidup dan mati dengan PAS.

Tapi kita lihat keputusan pilihan raya atau kita lihat perkembangan pilihan raya pada 8 Mac lalu, keputusan itu jelas menunjukkan bahawa sudah berlaku rombakan dalam dikotomi ini.

Iaitu orang Melayu yang dulu mengundi Umno, dia sama ada tidak keluar mengundi, membuat undi rosak atau dia mengundi parti-parti lain selain Umno.

Ini menarik sebab sekarang sudah pecah pemisahan yang begitu rigid antara Umno dan PAS. Ada yang mengundi calon daripada KeADILan, ada yang mengundi calon daripada PAS, ada yang mengundi calon daripada DAP.

Jadi bagi saya, ‘trend’ ini menarik. Umno ke, PAS ke, KeADILan ke, DAP ke kalau dia (mereka) tidak lihat trend ini mereka akan hadapi masalah.

Maksud Dato’ trend ini juga harus dilihat oleh parti-parti lain selain Umno?

Kalau pengundi Melayu sudah sanggup berpindah dari satu khemah ke khemah yang lain, kali ini dia berpindah daripada khemah Umno dan Barisan Nasional (BN) ke khemah PAS dan Pakatan Rakyat.

Pada pilihan raya akan datang dia boleh berubah daripada Pakatan Rakyat kepada BN semula. Jadi dia tidak lagi rigid. Ini saya rasa sangat penting. Bagi saya, dikotomi atau pilihan yang makin kabur ini akan memberikan kesan kepada politik Melayu Islam.

Kesan yang macam mana?

Tidak terbayang di fikiran kita sebelum penamaan calon 24 Februari lalu (pilihan raya 8 Mac) bahawa PAS dan DAP boleh berpakat.

Tetapi PAS dan DAP pernah melakukan persefahaman politik dalam pilihan raya sebelum ini?

Tidak dalam struktur yang begitu jelas seperti dalam pilihan raya yang lalu. Saya tidak begitu hairan dengan peranan KeADILan kerana KeADILan ini peranannya adalah ‘match maker’.

Jadi yang lebih menarik bagi saya hakikat bahawa PAS dan DAP boleh duduk dalam satu pakatan walaupun dilihat dalam konteks itu KeADILan dilihat sebagai orang tengah tapi ini menunjukkan bahawa perubahan sedang berlaku.

Akhirnya, kita akan bertanya apa akan berlaku kepada politik Melayu Islam. Kerana sebelum ini Umno sentiasa berunding, berpakat dan bertolak ansur dengan parti-parti komponen BN yang lain dalam isu-isu Melayu, isu-isu agama, isu-isu bahasa dan isu-isu kebudayaan.

Jadi, apakah kita akan lihat unsur-unsur dan ciri-ciri yang sama di antara PAS dan DAP?

Saya tidak merujuk KeADILan sebagai ada konflik dalam hal ini. KeADILan menampilkan dirinya sebagai parti pelbagai kaum.

Jadi sudah pasti isu bahasa, isu bangsa, isu agama sudah pun mereka fikirkan sebelum mereka menubuhkan parti pelbagai kaum, pelbagai agama.

Tapi, bagaimana PAS dan DAP boleh bertolak ansur dalam konteks Pakatan Rakyat mengenai isu-isu yang fundamental kepada orang Melayu dan Islam, orang Cina dan India dan agama-agama lain?

Apa akan berlaku jika pemimpin Melayu masih tidak sedar keadaan ini?

Saya rasa kalau pemimpin Melayu masih tidak sedar, saya bimbang apabila politik pelbagai kaum ini berakar umbi, mungkin kemampuan orang Melayu untuk berartikulasi, untuk membuat pendirian, untuk membuat tuntutan dan untuk mempertahankan hak mungkin terjejas.

Adakah politik perkauman masih lagi relevan?

Saya rasa politik perkauman sama ada dalam konteks BN atau Pakatan Rakyat akan berterusan untuk satu jangka masa yang kita tak tahu sampai bila.

Bagaimana dengan sesetengah pendapat yang mengatakan politik perkauman sudah tidak lagi diperlukan?

Begini, saya melihat percubaan dan kita kata sedikit sebanyak kejayaan ke arah kepelbagaian kaum dalam politik ini dia telah berlaku tapi akhirnya dia akan balik kepada perkauman.

Bukan perkauman dalam erti kata yang negatif, bukan dalam erti kata persengketaan. Tapi orang Melayu akan bertanya dan mempertahankan kepentingan mereka.

Orang Cina akan bertanya dan mempertahankan kepentingan mereka. Orang India pun begitu. Orang Iban, Kadazan dan lain-lain pun begitu juga.

Kalau perkara ini berlaku adakah Melayu akan hilang dunianya?

Saya berbalik kepada kemampuan kita berartikulasi, maksudnya kemampuan kita berfikir dan menyatakan pandangan kita dalam konteks mempertahankan hak orang Melayu, orang Islam dalam konteks Malaysia.

Berbalik kepada perlembagaan. Sebab hari ini kalau kita tengok kenapa orang-orang Melayu, parti-parti politik Melayu, pemimpin-pemimpin Melayu tiba-tiba menderita perasaan bersalah. Menjadi apologetik.

Jadi cepat rasa bersalah. Cepat memohon maaf. Kerana kaum-kaum lain walaupun mereka minoriti tetapi mereka mempunyai kemampuan dan berjaya mengemukakan ‘argument’ dan hujah-hujah mereka dengan lebih jelas.

Adakah orang Melayu pada masa ini tidak berkemampuan untuk mengemukakan ‘argument’ mereka?

Bagi saya untuk beberapa waktu, orang Melayu terperangkap dalam satu dunia yang agak sempit. Dia berasa lega dengan kerukunan perlembagaan.
Dia berasa lega dan cukup selesa dengan apa yang diperoleh dengan dasar-dasar yang menguntungkan mereka kerana mereka kaum majoriti seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Tapi yang mereka tak sedari ialah biarpun mereka mendapat faedah dan perlindungan dengan dasar-dasar ini, di sebalik itu kaum-kaum lain mendapat faedah yang lebih banyak, yang lebih tinggi, yang lebih kekal.

Tapi orang Melayu oleh kerana mereka tidak fasih dan peka mengenai ekonomi, mereka berasa selesa. Mereka dapat biasiswa, mereka bekerja dengan kerajaan, bekerja alam bidang pengurusan pertengahan dalam sektor swasta, mereka rasa dah cukup berjaya dan rasa cukup selesa.

Mereka tak lihat sebenarnya kekayaan kaum-kaum lain lebih besar hari ini dari segi peratusan berbanding dengan tahun 70-an sebelum diperkenalkan DEB.

Berlakunya perkara sebegini adakah disebabkan oleh kegagalan pemimpin Umno atau sikap orang Melayu itu sendiri?

Saya tidak menganggap ini sebagai kegagalan tapi saya menganggap sebagai (kesan tidak dijangka iaitu) apabila kita memberi sesuatu tanpa kita memberitahu dari mana datangnya benda itu dan tanpa kita bertanya adakah awak berhak menerima benda ini, mereka jadi lupa.

Mereka menganggap benda itu bukan lagi keistimewaan, tapi hak. Di masa yang sama ada satu masalah, masalahnya kita orang Melayu kita terlalu ‘party centric’. Ini berbalik kepada dikotomi tadi. Orang Melayu sama ada dia Umno atau PAS.

Tindak tanduk pemikiran mereka terlalu dipengaruhi oleh kaitan politiknya. Berbeza dengan kaum-kaum lain. Mereka mempunyai kepelbagaian parti, DAP, MCA, MIC, Gerakan, PPP dan di Sabah dan Sarawak juga begitu.

Tapi kita orang Melayu terikat dengan Umno dan PAS. Umno dan PAS pula ada satu masalah.

Ini saya rasa satu masalah, satu penyakit yang menjangkiti Umno dan PAS, mungkin dia merebak daripada Umno kepada PAS iaitu Umno dan PAS tidak cerdik, tidak pandai atau tidak bersedia mendengar suara orang Melayu yang tidak sekutu dengan mereka.

Sedangkan kalau kita lihat dalam masyarakat Cina khasnya, mereka ada MCA, mereka ada DAP dan mereka ada Gerakan tetapi mereka juga mempunyai beratus-ratus NGO, beratus-ratus kongsi, beratus-ratus persatuan keluarga, dewan-dewan perniagaan, bermacam-macam dewan. Mereka menggunakan ini semua untuk memperkukuhkan perjuangan mereka.

Ambil contoh dalam BN, MCA akan kata kalau BN tidak bagi A,B,C,D kita mungkin tidak akan undi masyarakat Cina dalam pilihan raya akan datang. Tapi dalam Umno khasnya, begitu juga dengan PAS, semua suara orang Melayu hendak dimonopoli oleh orang Umno atau PAS. Bila ada orang Melayu dari luar
Umno atau PAS cuba memberi pandangan, mereka akan bertanya kamu siapa?

Apa punca berlaku perkara ini?

Kita balik kepada sejarah. Sebelum ada Umno atau PAS, siapakah Umno? Apakah makhluk yang diberi nama Umno ini. Pada mulanya tidak ada Umno. Pada mulanya ada persatuan-persatuan, pertubuhan-pertubuhan, gabungan-gabungan Melayu. Belum ada Umno.

Tapi pada tahun 1946, mereka ini semua bersidang dan menubuhkan sebuah parti politik. Secara automatik dan berperingkat mereka itu disedut ke dalam Umno lalu hilanglah. Persatuan guru pun dikaitkan dengan Umno, kelab belia pun dikaitkan dengan Umno. Jadi akhirnya suara mereka pun jadi sama dengan Umno atau suara mereka yang berlainan dengan Umno ditapis oleh Umno.

Begitu juga dengan PAS, sebab PAS ini serpihan Umno, sedikit sebanyak budaya Umno ada dalam PAS. Seperti sedikit sebanyak budaya Umno ada dalam KeADILan. Jadi bagi saya begini, tidak kira Umno, PAS atau KeADILan kalau mereka mahu ’survive’, kalau mereka mahu kelangsungan, mereka mesti menghormati kepelbagaian suara orang Melayu.

Adakah hanya pemimpin Melayu yang perlu berbuat begini atau semua orang Melayu perlu berani untuk melakukan ini semua?

Aliran ini sudah bermula dengan orang Melayu pada pilihan raya lalu. Sudah ramai orang Melayu yang dulu kala mereka mengundi Umno, tiba-tiba mereka tidak keluar mengundi atau mengundi parti lain.

Bagi saya di peringkat bawah sudah bermula kepelbagaian suara sudah bermula. Kalau pemimpin masih tidak sedar, mereka akan hilang kemampuan untuk memimpin.

Selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu, pemimpin Umno berpendapat bahawa yang ditolak oleh rakyat adalah parti komponen BN bukan Umno. Apa pendapat Dato’?

Saya boleh bersetuju dengan pendapat itu kalau dasar Umno adalah hendak menubuh kerajaan secara bersendirian. Maksudnya di mana MCA bertanding, Umno pun bertanding. Kalau Umno masih mahu jadi parti induk dalam BN, mereka mesti memikirkan kekuatan dan kelemahan parti-parti yang bergabung dengan mereka.

Mengapa kaum lain menolak MCA, MIC dan Gerakan?

Salah satu sebabnya mereka lihat ada pilihan selain BN. Mereka melihat Umno tidak lagi memberi kepimpinan yang meyakinkan mereka.

Mereka menyokong Pakatan Rakyat bukan kerana DAP semata-mata atau PAS semata-mata tetapi kerana peranan orang tengah yang dimainkan oleh KeADILan. Dan orang tengah itu asal usulnya adalah Umno juga.

Kenapa pemimpin Umno bersikap begini?

Ada beberapa sebab. Satunya sebab pemimpin Umno begitu selesa dengan kuasa. Kedua pemimpin Umno terlalu besar. Apabila benda itu besar, mereka terpaksa diri mereka dulu sebelum fikirkan orang lain.

Pemimpin Umno terlalu banyak habiskan masa untuk fikirkan strukturnya yang terlalu besar. Ketiga pemimpin Umno sebenarnya lemah pada persepsi orang Umno sendiri dan apatah lagi pada persepsi parti komponen BN.

Adakah perkara ini sudah lama bersarang dalam Umno atau baru saja berlaku?

Tempoh ini tidak lebih daripada lima tahun. Pada 2004, parti yang sama, gabungan yang sama menang begitu besar.

Adakah ini disebabkan oleh kelemahan pemimpin utama Umno?

Itu adalah kesimpulan semua orang.

Sesetengah pendapat mengatakan jangka hayat Umno tidak akan lama. Adakah Dato’ bersetuju dengan pendapat ini?

Saya tidak menjangka Umno akan mati. Malah Umno boleh dipulihkan. Cuma saya rasa ia tidak boleh lagi dipulihkan macam Umno yang dulu. Iaitu Umno yang seronok dengan ahli yang ramai, Umno yang seronok dengan wang yang banyak, Umno yang seronok dengan pemimpin yang popular. Umno itu sudah berlalu.

Keputusan pilihan raya 8 Mac menunjukkan bahawa Umno yang sebegitu tidak akan wujud lagi. Dalam erti kata ahli-ahli Umno dan penyokong-penyokong Umno bukan lagi generasi yang kini memimpin Umno.

Hari ini Umno banyak bergantung kepada generasi muda dan generasi muda ini kononnya tidak berminat untuk berpersatuan atau berparti tetapi mereka akan menyokong atau mengundi mana-mana parti yang boleh memenuhi cita rasa mereka dan boleh menjamin masa depan mereka.

Krisis apa yang dihadapi oleh Umno?

Umno dan kerajaan menghadapi krisis keyakinan. Itu saja.

Apakah Pakatan Rakyat berpotensi untuk membentuk kerajaan?

Perkara itu tidak mustahil kerana kita lihat di luar dugaan mereka sudah menguasai lima negeri dan satu wilayah. Dan bagaimana daripada tidak sampai 30 kerusi Parlimen mereka sekarang mempunyai lebih dari 80 kerusi.

Kalau kita tengok dari segi ini, mereka ada momentum dan momentum ini boleh berterusan. Saya tidak akan menolak kemungkinan BN boleh bertahan dan saya juga tidak menolak Pakatan Rakyat boleh menumbangkan BN. – kadirjasin / sabahdaily

Posted on 27 Oktober 2008, in Analisis Isu, Berita, BN, DAP, Isu Semasa, Najib, PAS, Politik, Semasa, Siasah, UMNO. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: