Pengharaman Hindraf Perlihatkan Ketidakmatangan Kerajaan BN


Salam Perjuangan…

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Keputusan kerajaan mengharamkan Hindraf jelas memperlihatkan ketidakmatangan pemimpin Umno dan BN dalam menangani ketidakpuasan hati serta tuntutan rakyat khususnya daripada keturunan India yang beragama Hindu itu.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi menegaskan, terbukti model Kerajaan Islam Hadhari yang dibangga-banggakan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi gagal menterjemahkan prinsip serta nilai sebenar ketamaddunan pemerintahan Islam khususnya ketika menghadapi isu berkaitan perbezaan agama rakyat negara ini yang terkenal sebagai masyarakat “multi racial” dan “multi religious”.

Tambahnya, Islam Hadhari yang dicanang kerajaan itu bukan sahaja satu fahaman yang songsang terhadap Islam sebagai cara hidup (Deenul Hayah), tetapi telah memberikan imej buruk terhadap Islam dan mencemarkan kemuliaan serta semangat sejagat Islam.

Jelas Aiman Athirah dalam kenyataannya kepada Harakah, adalah suatu yang sangat malang apabila kerajaan lebih cenderung mengambil langkah berkonfrontasi dengan rakyat sendiri seperti yang berlaku pada 23 Oktober lalu.

Jelasnya, insiden penahanan 11 orang individu termasuk seorang kanak-kanak berusia 6 tahun yang menggelarkan diri mereka sebagai “Kumpulan Prihatin Kaum India” amat memalukan apabila penahanan tersebut dibuat di hadapan pintu masuk bangunan pejabat Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya ketika mereka hadir ke situ bagi menghantar sepucuk surat rayuan bagi pembebasan lima orang tahanan ISA Hindraf bersempena ketibaan Deepavali.

“Kerajaan BN konsisten dilihat tidak berusaha bahkan mengelak daripada membuka ruang perbincangan secara teratur, terarah dan bertanggungjawab bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan Hindraf.

“Sehingga kini, kita tidak melihat keseriusan Kerajaan BN bagi duduk berbincang dan mendengar luahan hati rakyat yang dahagakan keadilan serta perhatian daripada pihak pemerintah,” katanya.

Aiman Athirah berpendapat kerajaan ternyata gagal memahami kebangkitan suara, kehendak dan kuasa rakyat.

Tambahnya, tindakan pengharaman Hindraf hakikatnya tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah sebaliknya mengeruhkan lagi salah faham orang bukan Islam terhadap umat Islam dan pemerintah yang beragama Islam.

Katanya, kerajaan sewajarnya mengambil tindakan yang lebih cermat, hemah, amanah dan bijaksana dengan menghadapi krisis kepercayaan rakyat yang timbul secara berani, bertanggungjawab dan berniat untuk membetulkan apa jua kelemahan yang ada.

“Pengharaman hanyalah satu tindakan bersifat “hukuman” dan bukannya penambahbaikan terhadap sistem yang pincang atau barangkali dasar-dasar urus tadbir yang songsang.

“Tindakan Kerajaan khususnya menerusi Menteri Dalam Negeri yang kerap dan ghairah melabelkan Hindraf sebagai satu pertubuhan anti Islam juga harus dikaji semula secara lebih bertanggungjawab bagi menjaga keharmonian kaum dan agama yang ada dalam negara ini,” katanya.

Jelas Aiman Athirah, penahanan kumpulan ini adalah tidak berasas sama sekali kerana hak untuk berkumpul, hak untuk bersuara dan hak untuk berpersatuan adalah suatu yang sudah jelas dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Malah katanya, hak tersebut juga terkandung di dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang diperakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sehubungan itu beliau mendesak agar kesemua 10 orang tahanan yang telah disambung reman selama 3 hari lagi agar dibebaskan tanpa syarat.

Beliau juga menyeru agar segala usaha untuk menangkap semua pemimpin Hindraf di seluruh negara oleh kerajaan agar dihentikan segera memandangkan sekiranya hal ini berlaku maka ia adalah suatu pembaziran terhadap wang negara yang dikutip melalui para pembayar cukai.

“Tindakan penahanan secara besar-besaran ini seperti yang disebut sebagai Ops Padam Hindraf jelas mempunyai unsur ‘mala fide’ atau niat jahat pemerintah terhadap kebangkitan dan kuasa rakyat,” katanya. – harakahdaily

Posted on 27 Oktober 2008, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: