Adun BN Rakam Tahniah Kejayaan Pakatan Kuasai 5 Negeri


Salam Perjuangan…

KOTA BHARU, 28 Okt – Selepas lebih tujuh bulan Pakatan Rakyat menguasai lima negeri, baru hari ini kedengaran ucapan tahniah dilafaz wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di atas kejayaan tersebut.

Dato’ Nozula Mat Diah (BN-Paloh) juga merakam ucapan serupa kepada PAS di Kelantan apabila berjaya mempertahankan kerajaan negeri sehingga memasuki tahun ke-18.

“Tahniahlah kepada PAS di Kelantan kerana kejayaan luar biasa mempertahankan kerajaan negeri sehingga memasuki tahun ke-18 sekarang.

“Tahniah sekali lagi dirakam kepada Pakatan Rakyat kerana berjaya menguasai lima negeri pada pilihan raya umum lalu,” katanya ketika membahas Bajet Kelantan 2009 pada persidangan Dun hari ini.

Pada ucapan yang sama beliau mencadangkan kerajaan negeri menaikkan jumlah elaun yang dibayar kepada Adun memandangkan ia tidak dikaji semula sejak 2002 lagi.

Katanya, elaun pokok yang diterima sekarang sebanyak RM3,600 tidak memadai untuk membantu rakyat miskin, lebih-lebih lagi apabila berlaku kematian.

“Usahkan mahu bantu rakyat, hendak bayar ansuran Harier (Toyota) pun tidak sepadan kalau dah pencen nanti. Cuba bayangkan sekarang dengan jumlah elaun sebanyak itu hendak bantu rakyat pun susah,” katanya.

Ketika ditanya Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (PAS-Kemuning) adakah Adun Paloh tidak lagi keluar dewan ketika pihak kerajaan menggulung perbahasan, katanya ia belum tentu lagi.

Malah katanya, apabila elaun sudah bertambah tentunya banyak tempat hendak pergi sama ada minum teh di hotel atau tempat-tempat lain.

Beliau mencadangkan elaun wakil rakyat dinaikkan sama dengan gaji pegawai kerajaan negeri yang bergaji N52.

Beliau juga mengakui skim Takaful Merdeka yang dilancarkan Umno Kelantan sebelum ini bermasalah, tidak sebagaimana Takaful Kifaalah yang dikendalikan kerajaan negeri.

Dato’ Omar Mohamad (PAS-Perupok) ketika membahas enakmen yang sama mahu kerajaan negeri turut diberitahu apabila berlaku pertukaran atau pelantikan pegawai-pegawai baru.

“Apa yang berlaku sekarang kerajaan negeri tidak diberitahu apabila ada pelantikan pegawai atau pertukaran mereka, sedangkan setiap tahun kerajaan negeri meluluskan bajet untuk mereka.

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana dalam banyak keadaan, kerajaan negeri tidak diberitahu apabila berlaku pelantikan baru pegawai atau mereka bertukar ke tempat lain,” ujarnya.

Lebih malang lagi katanya, ada sesetengah pejabat tanah dan jajahan biar pun bilangan pegawai semakin ramai, namun masalah permohonan pemilikan tanah oleh rakyat belum dapat diselesaikan dalam tempoh lebih singkat.

Menurut beliau sepatutnya pegawai di pejabat tanah tahu di mana ada tanah-tanah milik kerajaan negeri yang boleh diberi kepada rakyat.

Kata beliau juga sejak 1990 sehingga 2007 sebanyak 83,800 permohonan hak milik tanah oleh rakyat berjaya diselesai berbanding 38,097 lagi yang belum diselesaikan.

Beliau juga merakamkan ucapan syabas kepada kerajaan negeri kerana berjaya melantik lebih ramai pegawai dan kakitangan berbanding ketika Kelantan di bawah terajui BN sebelum 1990.

Jumlah kakitangan kerajaan negeri sekarang seramai 5,538 orang berbanding 5,000 orang sebelum 1990.

Beliau juga memberitahu Pejabat Sultan Kelantan memohon pertambahan kakitangan baru sebanyak 71 orang bagi tahun 2009 berbanding jumlah yang ada sekarang seramai 137 orang.

Menurutnya pertambahan pegawai dan kakitangan baru hendaklah selaras dengan keupayaan sesebuah agensi bagi menyumbangkan perolehan hasil kepada kerajaan negeri. – harakahdaily

Posted on 28 Oktober 2008, in Berita, Berita Terkini, Kelantan, Pakatan Rakyat, PAS, PKR, Politik, Semasa, Siasah, Sidang DUN. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: