Dr. Mahathir Tidak Setuju Mansuh Ekuiti Bumiputera


Salam Perjuangan…

KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan cadangan untuk memansuhkan syarat pemilikan ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam.

Menurut Mahathir ketika ini bukan masa yang sesuai untuk membuat sebarang perubahan.

“Saya fikir sekarang ini bukan masa yang sesuai untuk membuat sebarang perubahan. Dunia pun huru-hara lagi,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai yang meminta kerajaan menghapuskan syarat pemilikan ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat penyenaraian awam bagi memastikan ia terus berdaya saing.

Tegasnya, perkara tersebut perlu dibincang dalam mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu.

“Benda-benda macam ini patut bawa kepada BN, tak payah bincang di luar. Kalau kita isytihar orang akan mintak nanti,” katanya.

Ditanya adakah cadangan menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera itu akan menggugat hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, Mahathir berkata:

“Kita sering bercakap mengenai hak orang Melayu dan Bumiputera tapi sebenarnya orang bukan Melayu pun ada hak dia juga.

“Jika kita ambil hak orang Melayu, kita juga kena ambil hak yang bukan Melayu pun…ini yang jadi masalah.”

Jelasnya isu tersebut perlu dibincang secara rasional dan tidak boleh ditumpu kepada satu pihak sahaja.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu Dasar Ekonomi Baru (DEB)dimansuhkan secara beransur-ansur, Mahathir berkata:

“Kalau sudah tercapai matlamat DEB kita patut hapuskan.

“Tapi sekarang ini kita belum capai, banyak lagi nak kena buat.”

Mengulas mengenai cadangan debat terbuka antara calon yang merebut jawatan pada pemilihan Umno kelak, beliau berkata masyarakat Malaysia belum mencapai tahap seperti di Amerika yang mengadakan perbahasan seperti itu.

“Kita belum sampai tahap Amerika lagi. Orang kita bukan peduli sangat apa kita debat pun,” katanya.

Jelas beliau, setiap calon dipilih oleh ahli parti bukannya orang luar dan debat tersebut tidak akan memberi sebarang kesan.

“Jika dia orang Umno dia sokong Umno. Dia orang Pas dia sokong Pas. Dia orang MCA dia sokong MCA atau parti-parti Cina yang lain.

“Tentang apa yang kita bincang tak ada kesan, kalau nak tunjuk kita pandai bolehlah,” katanya.

Kelmarin, calon Ketua Pemuda, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo menyahut cabaran Khairy Jamaluddin yang mengajak calon-calon Ketua Pemuda supaya berdebat bagi menjelaskan pendirian dan pelan masing-masing.

Bagaimanapun seorang lagi calon, Datuk Mukhriz Mahathir tidak bersetuju dengan cadangan itu menyatakan soal pemilihan parti merupakan hal ehwal dalaman Umno dan tidak wajar dilakukan secara terbuka.

Sementara itu, ketika ditanya adakah pertandingan jawatan Ketua Pemuda antara Khairy dan anaknya, Mukhriz akan mewujudkan perpecahan dalam sayap Pemuda, Mahathir berkata:

“Saya tengok dulu untuk jawatan Naib Ketua, Khairy tak ada langsung pertandingan tapi bila sebut nama Khairy dia kena ‘boo’.

“Maknanya pecah-pecah juga walaupun tak ada pertandingan.”

Mengenai Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menawarkan diri bagi jawatan Presiden Umno tetapi sehingga kini belum mendapat sebarang pencalonan dari mana-mana Umno bahagian yang bermesyuarat sejak 9 Oktober lepas, Mahathir berkata sukar bagi Tengku Razaleigh untuk bertanding sekiranya satu pencalonan pun belum diterimanya.

“Kalau kita dah setuju masih ada kuota untuk bertanding kena ikut kuotalah.

“Tapi kalau tak dapat pencalonan satu pun payahlah nak bertanding,” katanya. – mStar

Posted on 28 Oktober 2008, in Berita, Berita Terkini, Isu Semasa, Mahathir, Najib, Politik, Semasa, Siasah. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: