Politiking Umno Johor Jejaskan Peluang Muhyiddin


Salam Perjuangan…

KINI, politik Umno Johor menjadi lebih berwarna-warni. Selama ini, cakap-cakap yang mengatakan hubungan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dengan Dato’ Abdul Ghani Othman, tidak mesra, seperti sudah kembali pulih tetapi, apa sudah jadi dengan Dato’ Seri Syed Hamid Albar dan Dato’ Shahrir Abdul Samad dengan Muhyiddin.

Hubungan mereka dilihat seperti ada yang tidak kena, jika dilihat kepada trend pencalonan yang dibuat baru-baru ini.

Corak pencalonan, dua bahagian ini, Kota Tinggi yang diketuai Syed Hamid dan Johor Bahru yang diketuai Shahrir menolak Muhyiddin sebagai calon Timbalan Presiden Umno. Belum ada mana-mana bahagian di Johor yang ‘enggan’ mencalonkan Muhyiddin, dimulai Johor Bahru, sekaligus seolah-olah mengesahkan hubungan antara Shahrir-Muhyiddin memang tegang sejak sekian lama.

Berbeza dengan bahagian Ledang yang diketuai Ghani, telah mencalonkan Muhyiddin walaupun banyak pihak, khususnya orang-orang yang rapat dengan Muhyiddin tidak mahu mempercayainya.

Satu sumber yang rapat dengan Muhyiddin memberitahu, Muhyiddin berjumpa sendiri dengan Ghani, meminta pencalonan dari bahagian Ledang.

Ternyata Ghani yang mengatakan dia tidak mempunyai masalah untuk membuat pencalonan itu, membuktikannya.

Terkini, bahagian Kota Tinggi pula mencalonkan Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai Timbalan Presiden, sekaligus mengesahkan Syed Hamid tidak dapat menerima Muhyiddin, sama seperti Muhyiddin tidak dapat menerima Syed Hamid.

Kebelakangan ini, Syed Hamid kelihatan lantang menegur Muhyiddin yang masih bercakap soal tempoh kempen yang panjang akan menjejaskan produktiviti kepada penjawat jawatan kerajaan seperti Menteri, tetapi Syed Hamid tidak bersetuju mengenainya.

Malahan, Syed Hamid membidas Muhyiddin yang dianggap melanggar persetujuan Majlis Tertinggi (MT) mengenai tempoh kempen dan Pelan Peralihan Kuasa antara Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi-Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak.

Shahrir juga tidak bersetuju dengan kenyataan Muhyiddin itu, kerana baginya Muhyiddin sudah bersetuju seperti yang diputuskan Majlis Tertinggi.

Sebenarnya, jika Muhyiddin mahu mengutip undi popular dari Johor, jangan ada sesiapa yang terkejut, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ini kurang popular di Johor, negeri kelahirannya sendiri.

Malahan, jangan sesiapa yang terkejut jika bahagian-bahagian di Johor yang mencalonkan Muhyiddin, tidak akan mengundinya jika berlaku pertandingan jawatan Timbalan Presiden kali ini.

Ada satu cerita dari mulut ke mulut yang didengar, dalam tahun 2004, ketika Muhyiddin bertanding jawatan Naib Presiden, undi dari Johor lebih banyak diberi kepada Tan Sri Mohd Isa Abd Samad dan Dato’ Seri Mohd Ali Rustam, daripada Muhyiddin.

Kebetulan, apa yang dibuat oleh bahagian Kota Tinggi terhadap Muhyiddin, sudah dimulakan oleh Muhyiddin sendiri ketika mencadangkan nama-nama Nab Presiden dari bahagian Pagoh.

Bahagian Pagoh yang Muhyiddin ketuai mencalonkan Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Dato’ Seri Mohd Shafie Afdal dan Dato’ Seri Dr Rais Yatim sebagai calon Naib Presiden – dengan mengenepikan sama sekali nama-nama Syed Hamid dan Mohd Khaled Nordin, dua calon dari Johor untuk kerusi ini.

Tidak hairanlah, bahagian Kota Tinggi tidak mencalonkan Muhyiddin kerana Syed Hamid dikatakan kecil hati dengan sikap Muhyiddin yang ‘mahu dia disokong’ tetapi tidak mahu menyokong orang lain.

Lebih mengejutkan, bahagian Johor Bahru yang diketuai Shahrir mencalonkan Dato’ Seri Mohd Ali Rustam sebagai calon Timbalan Presiden dengan mengenepikan Muhyiddin tetapi bagi calon Naib Presiden, Johor Bahru mencalonkan ketiga-tiga calon dari Johor, iaitu Hishammuddin, Mohd Khaled dan Syed Hamid.

Muhyiddin mungkin tidak terkejut walaupun sudah menjangkakannya tetapi sebagai calon dari Johor, Muhyiddin kenalah bermuhasabah dirinya mengapa masih ada bahagian-bahagian di Johor, yang diketuai Menteri Kabinet enggan mencalonkannya. Tentulah, mereka mempunyai sebab melakukan kejutan tersebut.

Disebabkan Muhyiddin sudah mendapat pencalonan yang cukup quota untuk bertanding, tentunya pencalonan dari Johor Bahru dan Kota Tinggi tidak member apa-apa kesan kepadanya tetapi dengan perkembangan ini, tidak mustahil bahagian-bahagian yang masih belum bermesyuarat akan mengikut langkah bahagian Kota Tinggi dan Johor Bahru kerana mereka tentunya tertanya-tanya mengapa Syed Hamid dan Shahrir berani melakukannya (mencalonkan orang lain).

Kebetulan ramai ketua-ketua bahagian (dan timbalan ketua bahagian) di Johor mendapat gelaran Dato’ dari Melaka. Antaranya Sulaiman Taha (Labis), Md Othman Yusof (Tanjung Piai), Nasir Safar (timbalan di Tanjung Piai), Ariss Shamsuddin (timbalan di Parit Sulong), Dato’ Mohd Ismail Mohd Shah (Muar), Abdullah Ali (bekas Ketua Umno Bahagian Bakri), Dr Abd Latiff Ahmad (Mersing) dan ramai lagi.

Jika Mohd Ali mendapat cukup quota untuk bertanding, jangan terkejut jika Muhyiddin tewas kali ini, sama seperti tewasnya dia dalam tahun 1996, ketika mempertahankan kerusi Naib Presiden nombor satunya.

Sebenarnya ada sekitar 100 cawangan dari bahagian-bahagian di seluruh Johor berhasrat memujuk Shahrir supaya bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, tetapi Shahrir menolaknya dengan alasan faktor usia, menghalangnya untuk menawarkan diri.

Dari segi senioriti kedudukan dalam kabinet, Syed Hamid lebih kanan dari Muhyiddin.

Cuma, jika diukur dari kekananan kedudukan dalam hirerki parti, Muhyiddin lebih kanan dari Syed Hamid.

Lebih menarik lagi, Syed Hamid melalui kerusi-kerusi menteri kabinet yang ada persamaan dengan laluan yang dilalui Perdana Menteri sekarang, kecuali Menteri Pelajaran.

Abdullah pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Luar dan Menteri Dalam Negeri tetapi tidak pernah menjadi Menteri Undang-Undang.

Manakala Syed Hamid, tidak pernah menjadi Pelajaran tetapi pernah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Undang-Undang, Menteri Pertahanan, Menteri Luar dan Menteri Dalam Negeri.

Jika Muhyiddin dikatakan mampu menghidupkan mana-mana sahaja kementerian yang didudukinya, begitu juga Syed Hamid.

Ramai yang kagum dengan kebolehannya ketika menjadi Menteri Luar dan Menteri Dalam Negeri. Malahan, pengunduran diri Abdullah sebagai Perdana Menteri, dikatakan atas nasihat Syed Hamid selain kemampuan Syed Hamid menangani isu Hindraf.

Cukup menarik selepas ini, untuk diperhatikan apakah masih ada bahagian-bahagian di Johor yang mempunyai ‘masalah’ dengan Muhyiddin setelah dua bahagian ini, Johor Bahru dan Kota Tinggi memulakannya.

Syed Hamid dan Shahrir tentunya mempunyai cukup kepakaran untuk membantu Muhammad dan Mohd Ali untuk menang kerusi Timbalan Presiden, kerana sebagai ‘orang Johor’ kempen mereka tentunya meninggalkan bekas kepada calon dari Johor.

Mustahil Syed Hamid dan Shahrir akan turun berkempen membantu mencari kemenangan untuk Muhyiddin setelah Shahrir mengatakan dia menerima 10 SMS berbau ugutan ekoran keengganan bahagiannya mengikut arahan pihak tertentu supaya mencalonkan orang-orang tertentu sebagai Timbalan Presiden Umno.

Satu perkara yang Muhyiddin perlu tahu ialah, Syed Hamid dan Shahrir tidak rugi apa-apa jika mereka kalah dalam pertandingan kali ini, tetapi Muhyiddin ‘rugi besar’ sekiranya dia tewas, walaupun jelas Muhyiddin mendapat sokongan kuat dari bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. – harakahdaily

Posted on 28 Oktober 2008, in Berita, Berita Terkini, Pemilihan UMNO, Politik, Semasa, Siasah, UMNO. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: