Pembelajaran Matematik Dan Sains Dalam Bahasa Inggeris Kekal


Salam Perjuangan…

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Keputusan kerajaan untuk mengekalkan pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) membuktikan betapa sombong dan angkuhnya pimpinan Umno yang mendukungi pemerintahan negara.

Menurut Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub tindakan tersebut menunjukkan pencabulan terhadap bahasa Melayu terus berlaku dan kerajaan langsung tidak menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.

“Keputusan tersebut juga tanpa keinsafan dan mereka tidak pernah mengakui kesilapan mereka dengan terus melaksanakan PPSMI ini.

“Saya yakin dan percaya keputusan tersebut melambangkan kesombongan dan keangkuhan pimpinan Umno yang tidak langsung menghormati pandangan dan hasil kajian yang dibuat oleh pakar-pakar bahasa di negara kita,”katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sementara itu, Prof. Dr Awang Sariyan ketika dihubungi dalam isu yang sama menegaskan pertemuan Meja Bulat keempat PPSMI dilihat berasaskan keperluan pragmatis semata-mata dan tidak tampak keinsafan tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang menyeluruh.

Beliau yang merupakan Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia & China, Universiti Pengajian Asing Beijing menjelaskan, hujah dalam perbincangan tersebut bahawa bahasa Melayu masih menjadi bahasa penghantar lebih daripada 50 peratus dan bahasa Inggeris hanya menjadi bahasa penghantar lebih daripada 40 peratus, pihak yang berhujah itu tidak memahami peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan di negara ini.

Tambahnya, perbezaan tidak sampai 10 peratus antara peranan bahasa Melayu dengan peranan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar ilmu itu sebenarnya telah membentuk sistem dwibahasa dalam sistem persekolahan di negara ini.

Perkara ini katanya bukan lagi melanjutkan dasar pendidikan kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama.

Beliau juga berpendapat, isyarat pernyataan Majlis Raja-Raja yang bersidang di Kuala Terengganu baru-baru ini tentang pentingnya kontrak sosial, termasuk tentang kedudukan bahasa Melayu, tidak sampai ke dasar jiwa nurani penggubal resolusi meja bulat tersebut.

Jelasnya, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan semata-mata pernyataan dokumentasi di atas kertas, tetapi memerlukan pengamalan dalam bidang-bidang utama kehidupan bernegara, termasuk dalam bidang pendidikan.

“Tampaknya golongan yang ghairah untuk mencapai kemajuan dalam sains dan teknologi dan dalam penguasaan bahasa Inggeris tidak sama sekali menghayati perancangan pemimpin awal kemerdekaan, khususnya Tun Abdul Razak yang merupakan arkitek konsep kenegaraan Malaysia, termasuk dalam bidang pendidikan.

“Saya dan rakan-rakan pejuang bahasa Melayu tidaklah buta hati dalam memahami peri pentingnya sains dan teknologi serta bahasa Inggeris dan bahasa asing lain dalam pembinaan dan pengembangan tamadun negara. Namun, sekali lagi kami tegaskan bahawa strategi yang munasabah hendaklah diperhitungkan, iaitu kekalkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang meletakkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama. pada waktu yang sama perkukuh pengajaran bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing lain yang penting melalui mata pelajaran bahasa asing itu sendiri,” tegasnya yang juga merupakan bekas Presiden Persatuan Linguistik Malaysia(PLM).

Sehubungan itu katanya, sungguh pun kemajuan sains dan teknologi merupakan suatu keperluan, meneguhkan jati diri serta mencapai cita-cita menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang merentas semua bidang ilmu juga hendaklah dilihat sebagai suatu keperluan. – harakahdaily

Posted on 1 November 2008, in Berita, Berita Terkini, Isu Semasa, Pendidikan, Politik, Semasa, Siasah, UMNO. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: