Pendirian Mahathir dalam isu PPSMI memang telah diduga


Salam Perjuangan…

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Pandangan Tun Dr. Mahathir dalam Wacana Dilema Melayu anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) pada 22 November lalu bahawa pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) patut diteruskan tidaklah memeranjatkan kerana beliaulah pencetus, pemutus dan pelaksana dasar tersebut.

Perkara tersebut disuarakan oleh Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia – China Universiti Pengajian Asing Beijing, Prof. Dr Awang Sariyan.

Beliau berpandangan, bekas Perdana Menteri itu masih dengan dengan sikap biasanya yang tidak sesekali berubah atau berpatah balik apabila telah membuat keputusan.

“Ketika beliau membuat keputusan untuk melaksanakan PPSMI, tiada kajian yang dibuat yang menunjukkan bahawa kelemahan penguasaan sains dan matematik dalam kalangan pelajar Melayu, jika benar anak-anak Melayu begitu lemah dalam kedua-dua subjek ini adakah ia disebabkan pengajarannya dalam bahasa Melayu.

“Sebenarnya negara kita telah melahirkan ribuan sarjana dalam bidang sains dan teknologi yang berwibawa dan bertaraf antarabangsa melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu,” katanya.

Dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, beliau turut mempersoalkan apakah dengan kenyataannya itu Mahathir bermaksud bahawa Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan sejak merdeka merupakan dasar negara yang silap?

Tegasnya jika perkara tersebut benar, adakah kesilapan itu patut diatasi dengan suatu keputusan yang bersifat ad hoc dengan membuat keputusan pada tahun 2002 dan terus melaksanakannya pada tahun 2003.

Jelasnya, fakta yang ditekankan oleh Mahathir bahawa bahasa Inggeris patut dijadikan bahasa penghantar sains dan matematik kerana bahan ilmu kedua-dua bidang itu banyak tertulis atau terbit dalam bahasa Inggeris tidak cukup kuat untuk kerajaan mengetepikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar sains dan matematik.

“Bahasa Inggeris itu sendiri asalnya hanya bahasa vernakular, bukan bahasa yang diturunkan dari langit sedia sempurna. Sebelum bahasa Inggeris menjadi bahasa besar, orang Eropah bergantung pada bahasa Latin dan bahasa Perancis dalam bidang ilmu, pentadbiran, undang-undang dan ekonomi.

“Sehubungan itu bahasa Melayu perlu diberi waktu untuk menjadi mantap semula sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Amat malang apabila kita sendiri tidak mempunyai perancangan dan kesediaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi dan cukup sekadar puas hati menyaksikan bahasa Melayu menjadi bahasa percakapan, seperti yang dibanggakan oleh beliau tentang kebolehannya menggunakan bahasa Melayu walaupun belajar di sekolah Inggeris,” katanya.

Seterusnya Awang berkata, hujah Tun bahawa bangsa Arab menjadi maju kerana mempelajari bahasa Greek untuk menguasai sains dan teknologi juga ternyata meleset.

Katanya, mempelajari bahasa asing dan menggunakan bahasa asing untuk mengembangkan ilmu kepada masyarakat atau bangsa merupakan dua hal yang sama sekali berbeza.

Beliau berkata, waktu itu tidak terdapat pejuang bahasa yang menolak hakikat pentingnya mempelajari dan menguasai bahasa asing sebagai jambatan ilmu dan tamadun.

Namun katanya, PPSMI bukan program pembelajaran bahasa asing, sebaliknya program pengembangan ilmu kepada bangsa Melayu dalam bahasa asing.

“Pada hakikatnya, orang Arab yang mempelajari dan menguasai bahasa Greek ialah para sarjananya, sementara ilmu kepada masyarakat dan bangsanya dikembangkan dalam bahasa Arab.

“Hal yang sama dilakukan oleh bangsa-bangsa Barat yang memperoleh pelbagai disiplin ilmu daripada sarjana Arab. Mereka mempelajari dan menguasai bahasa Arab untuk memindahkan ilmu dalam bahasa Arab ke dalam bahasa mereka sendiri. Oleh itu bangsa Barat tidak menggunakan bahasa Arab untuk mengembangkan ilmu kepada bangsa mereka, tetapi sebaliknya menggunakan bahasa mereka sendiri,” katanya.

Katanya, Mahathir turut menggunakan contoh yang silap apabila mengatakan bahawa buku panduan atau manual telefon bersel yang dicetak dalam bahasa Inggeris oleh pengeluar menyebabkan ilmu sains yang diajarkan dalam bahasa Melayu menjadi tidak berguna.

“Bukankah buku panduan itu dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, atau pelajar kita yang diajar dengan baik bahasa Inggerisnya dapat memahami buku panduan dalam bahasa Inggeris itu. Mungkin beliau belum pernah melihat adanya telefon bersel yang panduannya ditulis dalam bahasa Melayu pada perisian telefon itu sendiri. Pokoknya, apabila sesuatu bangsa berilmu, bahasa sumber ilmu itu bukanlah masalah yang besar,” katanya.

Sehubungan itu jelas Awang, pepatah “sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan” harus dimanfaatkan di mana tidaklah sulit untuk kembali ke pangkal jalan, iaitu melaksanakan semua program pembangunan negara dengan berlandaskan dasar-dasar negara yang telah difikirkan, dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya selama ini. – harakahdaily

Posted on 26 November 2008, in Berita, Berita Terkini, Isu Semasa, Mahathir, News, Pendidikan, Semasa. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: