Bukit Gantang bakal nilai penerimaan rakyat


Salam Perjuangan…

Nampaknya apa yang dihajati para pemimpin Pakatan Rakyat di Perak untuk menilai sokongan rakyat negeri itu kepada mereka menjadi kenyataan apabila anggota Parlimen Pas Bukit Gantang, Roslan Shaharum meninggal hari ini.

Roslan dikatakan meninggal akibat komplikasi jantung selepas jatuh dari shayang dinaikinya hari ini.

Menurut maklumat, Roslan keluar dari rumahnya dengan bebasikal tanpa membawa talipon bimbit pagi ini dan terjatuh semasa mengayuh basikal berdekatan dengan stesen minyak Petronas di Pekan Batu Gajah.

Dengan kematian ini, satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan. Adalah dipercayai Speaker Dewan Rakyat secara rasmi akan memaklumkan kepada SPR berlaku kekosongan di kerusi Parlimen Bukit Gantang itu dan dalam masa 60 hari SPR dijangka akan mengadakan pilihan raya kecil.

Di Kedah, jika perletakan jawatan Adun PKR Bukit Selambau yang juga Exco kerajaan negeri, V Arumugan diterima, maka satu pilihan raya kecil juga terpaksa diadakan.

Namun sehingga kini, beliau hanya membuat pengumuman di media sahaja ekoran tekanan kuat terhadapanya. Arumugan masih belum menyerahkan surat itu kepada PKR ataupun kepada Dewan Undangan Negeri.

Namun menurut sumber PKR, beliau menerima tekanan hebat dengan pelbagai cara agar meninggalkan PKR dan menyertai BN namun situasi beliau agak sukar untuk membuatkannya menyertai BN.

Ini kerana, kebanyakan penyokong beliau yang berada di estet dan berpegang kepada prinsip makkal sakhti tidak akan mengizinkan perkara itu berlaku bahkan akan mengancam nyawa beliau jika menyertai BN.

Untuk itu, beliau dinasihatkan bercuti untuk mengelakkan tekanan itu.

Dengan kematian Roslan bermakna pilihan raya kecil akan berlaku di Perak. Ini juga bermakna, rakyat di Perak berpeluang untuk menghantar mesej mereka samada kerajaan Perak yang baru dibentuk diterima oleh mereka ataupun tidak.

Sebelum ini, ketika dua Adunnya hilang (Behrang dan Changkat Jering), kerajaan negeri Perak di bawah Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin, melalui Speaker telah memohon kepada SPR agar diadakan satu pilihan raya kecil.

Apabila sah kedua-duanya mahu menyokong BN dan ditambah seorang lagi Adunnya dari DAP keluar dari pakatan itu, Pakatan Rakyat telah memohon agar Dun Perak dibubarkan untuk membolehkan satu pilihan raya kecil diadakan.

Namun Sultan Perak telah mengambil sikap untuk tidak membubarkan Dun tetapi menyerahkan kuasa kepada BN untuk membentuk kerajaan baru.

Episod di atas menampakkan kesediaan Pakatan Perak untuk menghadapi pilihan raya. Kini, dengan takdir Allah anggota Parlimennya meninggal dunia dan pilihan raya kecil akan diadakan.

Walaupun Roslan menang dengan undi yang memberangsangkan di Bukit Gantang iaitu dengan majoriti 1,566 undi dalam pilihan raya umum lalu, Pakatan khasnya Pas tidak boleh mengambil mudah perkara ini.

Ini kerana, ketika mereka mahu menunjukkan rakyat Perak menyokong mereka, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memimpin BN Perak kini akan berbuat apa saja untuk memastikan BN menang kali ini.

Ini kerana, kemenangan bermakna sokongan untuk kerajaan negeri yang beliau bentuk dan kekalahan bermakna penolakan rakyat Perak terhadap kerjabuat beliau itu.

Kalau dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu ramai menolak ia adalah referandum untuk Najib, namun di Bukit Gantang, ia tidak boleh ditolak lagi.

Saya percaya, Dr Mahathir pun sukar untuk mengatakan ia bukan satu penilaian untuk Najib dan kerajaan baru Perak yang dibentuknya, walaupun di Kuala Terengganu dia masih lagi mengaitkan pilihan raya itu dengan Datuk Seri Abdullah dan bukan penilaian terhadap Najib sebagaimana yang dianggap oleh banyak pihak lain.

Melihat kepada cara Najib mengendalikan hal di Perak ini, BN khasnya beliau sendiri nampaknya sangat fobia dengan pilihan raya selepas menghadapi kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Sebab itulah, BN sekali-kali akan mengelak dari menghadapi pilihan raya.

Ini kerana, suasana yang ada di Perak sekarang benar-benar memihak kepada Pakatan Rakyat. Walaupun berlaku sedikit kesusahan ekoran kenyataan Karpal Singh yang meminta Anwar berundur dari memimpin Pakatan, namun di akar umbi sokongan kepada Anwar dan Pakatan makin kuat.

Seorang rakan saya yang membuat tinjauan ke Perak merumuskan perkara berikut:-

Di pihak Pakatan, hujjah mereka adalah:-


1) Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin “tidak derhaka” dan Menteri Besar Pakatan Rakyat itu hanya mengikut undang-undang tubuh negeri.
2) Nizar masih lagi Menteri Besar Perak yang sah
3) Cara pembentukan kerajaan baru di Perak telah menimbulkan persoalan dan seterusnya mengenai kesahihan kerajaan negeri yang baru itu.
4)Hanya pilihan raya bebas dan adil akan dapat menyelesaikan ketidaktentuan politik di negeri Perak.
5) Pakatan Rakyat menyifatkan tindakan mengosongkan pejabat rasmi menteri besarnya sebagai “rampasan kuasa yang biadap.”
6) Ekoran itu, pelbagai reaksi sedang ditunjukkan oleh rakyat sebagai reaksi spontan kepada krisis di Perak ini. Reaksi tersebut adalah untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penyalahgunaan kuasa oleh Barisan Nasional.

Di pihak BN pula, media mereka terus dengan pendekatan berikut:-


1) Nizar ingkar titah Sultan.
2) Beliau telah menderhaka padahal dia hanya melaksanakan keputusan partinya iaitu Pas dan Pakatan.
3) Dia juga difitnahkan hendak menyaman sultan padahal yang menyaman adalah Karpal Singh.
4) Dia juga didakwa menganjurkan perhimpunan haram padahal yang berlaku adalah ekoran kemarahan rakyat terhadap apa yang berlaku.
5) Sultan juga didesak menarik balik gelaran Datuk Serinya.

Dalam situasi inilah pilihan raya kecil Bukit Gantang akan diadakan. Pilihan raya ini bermakna satu referandum diadakan untuk menilai penerimaan rakyat terhadap kerajaan BN yang baru mengambil alih kerajaan negeri Perak ini. – Zulkifli Sulong

Posted on 9 Februari 2009, in Isu Semasa and tagged , , , . Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: