Jiwa Islam Shamsiah Fakeh


Salam Perjuangan…

Salah satu andaian, telahan peribadi saya yang masih tidak dapat dibuktikan sehingga kini ialah.. “British membuat propaganda dalam bentuk agama ke atas pemikiran Melayu supaya dengan itu, Melayu tidak akan menyebelahi dan atau masuk komunis.”

Tapi, seperti mana yang saya sebutkan tadi, tak dapat dibuktikan sama ada wujudnya dokumen, catatan dan kenyataan akhbar dalam bentuk propaganda British yang mengolah cara berfikir Melayu sehingga memandang serong ke arah komunis.

Entah kenapa sejak akhir-akhir ini, saya tidak fikir bahawa cara berfikir itu terbitnya dari kalangan Melayu sendiri. Ini kerana, kita tahu British ingin memusnahkan komunis sejak zaman penaklukannya ke atas Malaya selepas Jepun kalah.

British jugalah yang memberikan senjata secara rahsia kepada MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army) untuk melawan tentera Jepun. MPAJA kemudiannya bertukar nama kepada Bintang Tiga atau komunis selepas British kembali menjajah Malaya.

Selepas kejatuhan Singapura, MPAJA dan British in Asia Tenggara putus hubungan. British mahu pulihkan semula perhubungan itu dengan mendaratkan agen tenteranya di Malaya. Kumpulan pertama, Kolonel John Davis bersama lima agen Cina, mendarat di Perak pada Mei 1943. Demikian menurut satu catatan.

Kumpulan kedua tiba pada September 1943. Agen-agen inilah yang kemudian terkenal dengan nama “Force 136”. Pada Januari 1944, pimpinan MPAJA tiba di kem Force 136 dan mengikuti perbincangan bersama para pegawai Force 136.

“It was agreed that in return for arms, money, training, and supplies the MPAJA would cooperate and accept the British Army’s orders during the war with Japan..” [Cheah Boon Kheng, Red Star Over Malaya, 1983, Singapore.]

Maka, dengan tiba-tiba, British menyerang MPAJA (Bintang Tiga, Komunis) kembali. Di sini British tentulah bermusuhan dengan puak-puak dari gunung dan hutan ini. Dan kaum Melayu pun diminta agar tidak lagi mendekati komunis.

Walhal, dahulunya Britishlah yang menyalurkan latihan ketenteraan kepada MPAJA Cina untuk menentang Jepun. MPAJA akhirnya berubah nama, Bintang Tiga atau komunis dan diperangi semula oleh British. Pada saat inilah, propaganda ke atas Melayu bermula!

Propaganda British
Sejak dahulu, British tahu bahawa sentimen agama Islam dan adat resam Melayu adalah suatu hal yang bersifat sakral, suci dan kedua-duanya tak boleh disentuh sama sekali. Di sini, mustahil propaganda bahawa Melayu tidak masuk komunis datang daripada Melayu sendiri. Ada juga orang Melayu yang terkenal kuat agamanya telah masuk komunis.

British dalam rupa tentera berbeza daripada segi pendekatan British saudagar. Tapi dalam hal slogan dan seruan, mereka tetap ada persamaan. Jika pada masa British saudagar, hal slogan ini berbunyi, Residen British menasihati raja-raja kecuali dalam hal Islam dan adat istiadat Melayu sahaja yang tidak akan disentuh.

British dalam rupa paras tentera, menjelang kemerdekaan menyeru seruan yang bersifat keagamaan juga. Bahawa Melayu jangan menyokong komunis kerana faham mereka itu tiada bertuhan. Komunis adalah atheis. Dengan kepungan fikiran rakyat ini, British cuba menakluk hati, jiwa dan perasaan Melayu.

Salah seorang pimpinan komunis yang terkenal kuat agama ini bernama Shamsiah Fakeh. Beliau yang asalnya dari Awas (Angkatan Wanita Sedar), sebuah sayap Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) akhirnya terpaksa berpindah kepada perjuangan di hutan.

Membaca memoir Shamsiah Fakeh menyebabkan akal kita terpaksa bekerja keras semula untuk berfikir, kenapa insan yang tebal keinginannya untuk belajar agama ini mengambil keputusan memasuki PKM ketika propaganda bahawa PKM itu faham tiada bertuhan itu sedang giat dijalankan.

Hanya ada satu jawapan. Ini semua adalah propaganda British supaya keanggotaan PKM itu semakin berkurangan dan pengaruhnya makin merosot. Mustahil Melayu atau kaum-kaum lain melancarkan propaganda ini.

Mereka tiada kepentingan apa-apa melainkan mahu menjalani kehidupan sebagai biasa, mencari nafkah untuk hidup dengan bebasnya dalam negara ini.

Ada beberapa perenggan yang menarik untuk diteliti mengenai kuatnya hubungan gadis bernama Shamsiah ini terhadap agamanya sendiri.

Aku berasal dari keluarga miskin. Sejak kecil lagi aku ingin belajar ilmu pengetahuan sebanyak-banyaknya. Aku terdidik dalam masa panjang dengan pelajaran agama. Cita-citaku hendak belajar lebih tinggi tidak tercapai kerana pelbagai sebab. Yang terutamanya ialah kerana miskin. Pelajaranku terputus di tengah jalan kerana aku telah berkahwin.

Rupa-rupanya, aku masih berpeluang melanjutkan pelajaran agamaku. Pada 1939, sebuah sekolah agama telah dibuka di Pelangai iaitu di daerah kediamanku di Kuala Pilah. Sekolah itu ialah Madrasah Aliyah Islamiyah. Nama Inggerisnya iaah Islamic High School. Sekembalinya aku dari Sumatera, aku terus melanjutkan pelajaranku di sekolah ini. Minat Shamsiah ke atas pelajaran agama terserlah melalui cara melontarkan pendapatnya terhadap corak pembelajaran di sekolah ini lewat memoirnya.

Lebai Maadah telah memperkenalkan cara baru dalam pengajarannya. Pengajian utama di sekolah ini ialah al-Quran dan hadis. Pengajian dimulakan dengan penterjemahan al-Quran secara perkataan demi perkataan iaitu secara harfiah. Para penuntut di sekolah ini termasuk aku sendiri sudah boleh menterjemah 30 juz al-Quran dalam masa satu tahun lebih. Seterusnya dalam masa tak sampaiu dua tahun, mereka mampu mentafsir 30 juz al-Quran itu. Bagaimanapun aku hanya dapat belajar selama setahun lebih saja di sekolah ini kerana aku berkahwin.

Ini bererti, Shamsiah sudah mengenal kaedah-kaedah pelajaran agama yang dianggapnya berbeza dengan sistem pendidikan yang lain. Beliau sudah boleh membuat perbandingan. Keupayaan Shamsiah menterjemah hingga 30 juz al-Quran membuktikan bahawa beliau bukan calang-calang orangnya.

Ini kerana, seseorang yang mampu memahami, manfsirkan dan menterjemah satu persatu istilah dan ungkapan dalam al-Quran itu, tentulah benar-benar mahir dalam menguasai selok-belok dan simpang-siur laluan pengetahuan agama.

Perkahwinan bukan penghalang belajar agama
Kiblat kesetiaannya ke atas pelajaran agama kekal tidak berubah. Apabila Shamsiah telah bernikah, antara syarat tuntutannya ke atas suami ialah beliau ingin diberi peluang belajar agama. Hal itu dipersetujui oleh suaminya.

Rusdi bersertuju untuk memenuhi syarat itu. Aku dan Rusdi serta seroang kawan Rusdi bernama Abdul Ghani iaitu seorang tukang jahit telah berpindah ke Bagan Serai. Setelah masalah untuk mendapatkan rumah selesai, aku pun mulai belajar agama di sekolah agama di Masjid Tinggi, Bagan Serai selama sebulan saja.

Sebetulnya, ada banyak lagi contoh-contoh perbandingan yang boleh dikembarkan di sini tapi biarlah kita rumuskan satu hal saja. Bahawa perjuangan Islam ini boleh masuk dalam lapangan apa sahaja. Baik komunis sekali pun.

Menurut Shamsiah Fakeh, komunis pada asalnya adalah sebuah parti yang sah dan bukan suatu yang pelik jika kita menganggotainya pada saat itu. PKM asalnya bukan perjuangan mengangkat senjata di hutan. Keadaan telah menyebabkan mereka berubah watak.

Umno mengubah slogan Hidup Melayu kepada Merdeka pun disebabkan aktivis PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya), sebuah pertubuhan Melayu Kiri telah masuk dalam Umno. Timbul persoalan, apakah ini terjadi kerana PKMM diharamkan sekitar 1948?

Apa pun.. perjuangan agama itu boleh wujud dalam mana-mana pertubuhan, parti politik, dan mana-mana wadah pun termasuk Umno. Bezanya, sejauh manakah seseorang itu boleh menegakkan kebenaran keyakinan hidup beragama dalam parti yang dianggotai itu?

Katakanlah Umno, sejauhmanakah mereka dapat bersuara menterjemahkan hukum hudud dalam negara? Bagaimana ahli-ahli Umno mahu membanteras amalan khurafat dalam hal permainan kuda kepang yang terkenal di Johor? Amalan itu berleluasa sehingga pemain-pemainnya dirasuk semangat jahat, jin dan syaitan ketika permainan itu berlangsung.

Dan, banyak lagi hal yang kita harus segera bermuhasabah sebelum terlambat. Shamsiah Fakeh telah meninggalkan sebuah memoir. Dan di sana kita dapat menghukumnya sendiri samada beliau seorang yang taat beragama atau tidak. Tapi, ahli Umno bagaimana?

Sajalah kita bertanya.. janganlah marah.. – Harakahdaily

Posted on 17 Mac 2009, in Pemimpin and tagged , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: