Kenapa peduli ‘Allah Peduli’ Agnes Monica saja?


Salam Perjuangan…

“Aku pernah datang konsert Agnes Monica malam tu,” kata seorang teman. Ketika itu kami sedang rancak berbual kosong di Devi’s Corner di Bangsar sekitar jam 2 ke 3 pagi.

Tiba-tiba Agnes Monica berkata, “..Yesus Kristus!” dan semua orang yang hadir terdiam seketika. Begitu teman saya itu bercerita. Saya tidak pasti apakah yang disebut oleh Agnes. Mungkin salam dari Yesus Kristus atau lain-lain ucapan yang biasa diucapkan oleh penganut Kristian.

Bualan itu tercetus kerana mata kami tertancap pada sekeping poster yang menampilkan susuk tubuh Agnes Monica dalam ‘pose’ yang mengiurkan dan mengghairahkan. Poster iklan itu ditampal pada dinding kedai mamak 24 jam tersebut.

Iklan itu menunjukkan bahawa Agnes Monica akan hadir pada suatu tarikh di Stadium Merdeka kalau tidak salah ingatan saya lagi. Dia hadir bersama siapa? Adakah itu hanya persembahan solo? Siapakah penganjurnya? Saya sudah lupa.

Bagi mereka yang belum tahu, penyanyi muda yang kian laris di Malaysia bagaikan pisang goreng itu mula terkenal lewat lagunya Tak Ada Logika. Lagu itu acapkali diputarkan sehingga melonjakkan namanya ke pentas seni hiburan negara. Klip video Tak Ada Logika sememangnya ‘hot’, bak kata anak-anak muda.

Nasib tidak menyebelahi Julia Perez (singkatannya Jupe), penyanyi dangdut yang juga memang panas lewat lagunya ‘Belah Duren’. Tanya saja kepada Syekh YouTube tentang judul lagu tersebut dan anda boleh buat penilaian sendiri samada klip video itu panas atau pun tidak.

Kemarau seni hiburan bercitra Islami, dimendungkan oleh kebanjiran drama sinetron dan longgokan klip video Indonesia yang meresahkan kita. Jika pun ada kehadiran seni hiburan Islam dari Tanah Seberang itu, nescaya ia bukan dalam pakej yang boleh membanggakan, kerana jumlah dan edarannya terlalu sedikit dan terhad pula.

“Eh! Kau baik-baik sikit Joni..” demikian saya cuba kendurkan ketegangan yang kian berombak di dadanya. “Apa buktinya Agnes Monica cakap begitu? Aku nak Pakatan Rakyat bawa usul agar setiap rakyat diwajibkan ambil insuran mulut lepas ni.”

“Betul apa?” Joni cuma tertawa. “Tapi, kalau kau tak percaya.. ya terserah..”

Dan.. kisah itu berlalu begitu sahaja tanpa ada apa-apa yang berlaku selepas itu. Memang tabiat saya, kalau berlaku di depan mata, barulah saya berani bersuara. Islam mengajar kita bertindak begitu.

Hadis nabi menyebutkan, “Mereka yang ‘melihat’ kemungkaran, maka hendaklah dicegah dengan tangan, lidah dan hati.” Itu cerita mata. Jadi, dalam ‘fatwa’ peribadi saya, kalaulah kita cuma mendengar (pastinya dengan telinga) tapi tak melihatnya (pastinya dengan mata) maka kita tidak diwajibkan bertindak dengan tangan, lidah dan hati.

Tapi, masalahnya.. ada ayat al-Quran yang menyebutkan dalam surah al-Hujurat, “Hai orang yang beriman, apabila datang kepada kamu seorang fasiq dengan membawa suatu berita perkhabaran, maka hendaklah kamu siasat kebenarannya..”

Maka dalam kes saya, mulanya saya mendapat maklumat melalui kaedah pertama; mendengar. Maka tidak boleh bertindak lagi dalam keadaan begini. Kita mesti siasat dan sudah tentulah penyiasatan itu melibatkan pandangan mata.

Jadi, selepas jelas pada penglihatan mata, maka baru kita boleh bertindak mengikut kaedah tangan, lidah atau hati. Dan hal pemilihan sama ada tangan, lidah atau hati itu tergantung pula kepada taraf kedudukan kita.

Yang ada kuasa, tentu menggunakan tangan, yang ada lidah untuk bersuara tentulah menyuarakan ketidakadilan itu atau menulis bagi menyebarkan dan menyedarkan orang-ramai. Paling rendah ialah berdoa dalam hati, sebagai cara mengubah hal yang tidak betul itu.

Lagu diharamkan?
Alkisahnya, baru-baru ini, selepas isu penggunaan nama Allah berkumandang semula akibat sebuah bahan bercetak menyiar lafaz kalimah Allah, maka timbul desas-desus berhubung Agnes Monica pula.

Terkini.. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) meminta supaya lagu Agnes Monica yang berjudul ‘Allah Peduli’ diharamkan.

MAIS Mahu Lagu Agnes Monica Diharamkan

SHAH ALAM, 13 Mac (Bernama) — Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mahu agar tindakan diambil mengharamkan sebuah lagu Indonesia berjudul “Allah Peduli” kerana liriknya antara lain menyebut “..sebab Allah Yesusku mengerti.”

Pengerusi Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata walaupun beliau belum pernah mendengar lagu itu, tindakan mengharamkannya wajar diambil memandangkan ia menyentuh sensitiviti yang membabitkan soal agama.

“Kita umat Islam dalam perakuan kepercayaan kepada Allah yang maksudnya tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, jelas mengakui Allah itu Esa, maka larangan penggunaan Allah oleh agama selain Islam adalah untuk mengelak kekeliruan di kalangan orang Islam,” katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau diminta mengulas mengenai lagu berkenaan nyanyian penyanyi Indonesia, Agnes Monica. Dalam lagu berkenaan, perkataan Allah diulang beberapa kali manakala perkataan ‘sebab Allah Yesus ku mengerti’ kedengaran pada bahagian akhir lagu selama tiga minit 40 saat itu.

“Ada sesetengah dari kita yang tidak faham dengan kandungan lirik dan membuta tuli ikut menyanyi. Lirik ini secara senyap memesong keimanan dan akidah,” kata Mohamad Adzib.

Beliau berkata Mais akan mengambil tindakan mengharamkan lagu itu serta menarik semua edaran album yang mengandungi lagu berkenaan sebaik kajian dan penelitian dibuat.

“Kita minta pihak yang berkenaan di peringkat kerajaan pusat turut memantau isu lirik lagu ini dan mengambil langkah sewajarnya demi memelihara kesucian agama Islam,” katanya.

Rasanya saya boleh faham kenapa lembaga agama seperti Mais mahu haramkan lagu ‘Allah Peduli’ itu berbanding lagu-lagu lain yang tak kalah unsur kebatilannya. Sekalung tahniah dan penghargaan kepada lembaga agama yang peka, prihatin dan peduli terhadap isu-isu yang menyentuh akidah seperti ini.

Saya sokong langkah Mais 300 peratus dengan beberapa pertanyaan dan sedikit komentar. Adalah menjadi harapan saya agar pihak jabatan agama tidak marahkan saya dengan pertanyaan dan komentar sebegini.

Pertamanya sebelum saya menyorot pandangan dan komentar peribadi, izinkan saya kepilkan lirik lagu ‘Allah Peduli’ itu di bawah ini. Saya berbuat begini kerana, menurut Pengerusi Mais, beliau sendiri belum pernah mendengar lagu itu.

ALLAH PEDULI

Banyak perkara yang tak dapat ku mengerti
Mengapakah harus terjadi
Di dalam kehidupan ini
Suatu perkara yang ku simpan dalam hati
Tiada satupun kan terjadi tanpa Allah perduli

Allah mengerti
Allah peduli
Segala persoalan yg kita hadapi
Tak akan pernah di biarkannya ku bergumul sendiri
Sbab Allah mengerti

Allah mengerti
Allah peduli
Segala persoalan yang kita hadapi
Tak akan pernah di biarkannya ku bergumul sendiri
Sbab Allah Yesus ku mengerti

Mereka yang mahu menonton klip video berjudul Allah Peduli, sila rujuk http://www.youtube.com/watch?v=-x_0ChywET8

Harus diakui masyarakat kita masih ortodoks dalam beberapa segi. Di Indonesia, memang sudah terbiasa penggunaan lafaz ‘Allah’ bagi penganut Kristen Katolik. (Malah, saya dengar, Muslimin di sana juga tidak sukakan pernikahan berbeza agama ini. Tetapi, undang-undang negara telah membenarkan pernikahan antara dua agama itu dilaksanakan.)

Ketika berlaku gempa bumi di Jogjakarta tak lama dulu, saya dikirim ke sana bersama Yayasan Amal PAS untuk liputan. Di sebuah desa mundur, kami langsung terkejut juga apabila melihat terbentangnya suatu kawasan kubur di mana kubur orang Islam dan Kristian sebelah-menyebelah dalam suatu kawasan.

“Si suami Muslim dan di situ isterinya yang beragama Kristen Katolik,” kata seorang pemuda ketika membawa kami berjalan-jalan sekitar kampung. Penduduknya tidak ramai. Sukar melihat penduduk yang memakai kasut. Rata-rata mereka berkaki ayam sahaja. Memang mereka terbiasa dengan kehidupan sebegitu agaknya.

Maka penggunaan nama Allah adalah lafaz biasa. Saya mendapat tahu bahawa di Mesir, ada mazhab Arab Kristian yang juga menggunakan kalimah Allah dalam khutbah agama. Ini lumrah biasa bagi masyarakat Arab Islam di Mesir walaupun sesekali ketegangan agama memuncak sesama mereka.

Jika kita menonton filem komedi Mesir, Hasan wa Morcos, tentulah kita sedikit sebanyak faham mengenai hal ini. Pendek kata, ada baiknya masyarakat kita jadi ortodoks pemikirannya buat sementara waktu walaupun hati saya resah melihatkan keadaan ini.

“Berkahwin dengan ahli kitab itu sah dan ia bertujuan mengembangkan dakwah walaupun kita pun tahu bahawa rata-rata orang Melayu Islam kita mahu nikah dengan Minah Salleh, bukan atas alasan dakwah pun,” kata saya kepada Joni.

Joni ketawa berdekah-dekah lantas mengasak pertanyaan, “Walaupun nanti ada kemungkinan anak kita berpindah agama?”

Ini yang susahnya. Saya mengharapkan supaya wujudnya satu saf pemuda yang akan menikahi gadis-gadis Melayu yang telah memeluk Kristian. Itulah sebabnya kenapa saya meminta agar negara mempertimbang hal itu. Saya sebutkan hal ini kerana saya ambil peduli tentang urusan kehidupan beragama rakyat Malaysia hari ini.

Dan, atas sebab itu juga saya rasa ada ‘bagusnya’ masyarakat kita masih lagi ortodoks. Saya boleh menjawab pertanyaan khalayak dengan bantuan Allah, tapi akhbar kita tidak menyediakan ruang wacana yang sihat, ahli-ahli agama masih lagi takut-takut mahu bersuara menyatakan pendirian tersendiri melainkan memutar kembali fatwa klasik, dan mengitar semula qaul-qaul lama daripada imam mazhab terdahulu.

Sebagai contoh.. mari kita renungkan kembali kes lagu Agnes Monica yang dibahaskan mengenai lagunya Allah Peduli itu. Kalau kita teliti, banyak lagu-lagunya yang ‘hit’ juga. Lagu Allah Peduli tidak termasuk dalam lagu-lagu hit. Stesen penyiaran radio seperti Hot FM, Suria FM, Era dan lain-lainnya agak mustahil memutarkan lagu tersebut.

Mereka akan putarkan lagu-lagu kegemaran anak muda. Peranan deejay radio sendiri amat besar. Jika deejay sukakan lagu itu, nescaya diputarkannya kerana lagu itu dianggap sebagai lagu kegemaran para pendengar juga. Makin ramai pendengar radio itu, maka makin banyaklah iklan yang akan ‘masyuk’. Inilah resam perniagaan.

Lagu Allah Peduli itu bukanlah termasuk dalam kategori jenis lagu yang sedap didengar seperti sesetengah lagu nasyid keagamaan pada zaman-zaman dahulu, kecualilah nasyid kontemporari Raihan, Hijjaz dan sebagainya.

Perlu diingat juga bahawa penggiat nasyid kontemporari ini adalah lulusan ‘madrasah’ nasyid al-Arqam sebelum kumpulan dakwah itu diharamkan gerakannya. Kehadiran kumpulan inilah yang mencetuskan fenomena nasyid kontemporari negara yang kemudiannya diikuti kumpulan nasyid lain.

Anak-anak muda kita akan menyanyikan lagu yang rentaknya rancak, seronok didengar seperti lagu Agnes Monica yang lain seperti lagu ‘Matahariku’ yang menjadi lagu tema sinetron Jelita di TV3.

Klip video ‘Matahariku’ itu kenapa tidak diharamkan?
Barangkali, lagu ‘Matahariku’ itulah antara lagu-lagu Agnes Monica yang tidak mengelirukan pendengar.

Ah! Tapi, kalau lagu itu mengundang kekeliruan pendengar pun, anak-anak muda termasuk orang dewasa tetap akan menyanyikannya termasuk saya sendiri. Dalam kes lagu ‘Matahariku’, ia adalah lagu hit selepas lagu Tak Ada Logika.

Diakui, saya sendiri pun sukar menangkap maksud pengertian ‘Sbab Allah Yesus ku mengerti’ sebagai yang tertulis dalam rangkap lagu ‘Allah Peduli’ itu. Malam ini, saya sedang menonton filem Superman Returns di TV2. Baru saya nampak juga pertalian Kal-El (clark Kent @ Superman @ Hercules) dengan Jor-El (bapa Superman @ Zeus?)

Ingatan saya terhimbau kepada persamaan watak-watak Isa bin Maryam (Yesus Kristus) dengan Tuhan yang berada di dalam syurga, Uzair (Ezra) yang didakwa anak Tuhan, dan Iskandar Zulkarnain (Alexander The Great) yang ayahnya disifatkan sebagai Dewa Matahari.

Apakah semua watak-watak rekaan ini dihubungkaitkan dengan Hercules anak Dewa Zeus iaitu ketua segala dewa yang mengisi kepercayaan Yunani kuno?

Aduh! Betul juga. Pening betul mahu memahami maksud ‘Sbab Allah Yesus ku mengerti’ ini. Lebih mudah kalau menyanyikan lagu Matahariku, dendangan Agnes Monica. Siapalah yang menulis lirik lagu Allah Peduli itu pun saya kurang pasti.

Lagu Matahariku senang difahami sehinggakan, jika klip video Matahariku itu ditayangkan di TV3, saya sanggup berhenti mengarang demi menghayati keindahan lirik dan lagunya termasuk menghayati bentuk susuk tubuh Anges Monica yang sedang berkemban saat menyanyikan lagu Matahariku itu.

Tetapi, siapakah yang peduli kepada soal mahu mengharamkan klip video itu daripada terus disiarkan di televisyen? Ada ramai orang yang lebih peduli kepada lagu Allah Peduli berbanding ‘Matahariku’ yang menampakkan putih ketiak penyanyi itu. Lagu Allah Peduli bercorak keagamaan. Mungkin Agnes lebih peduli soal adab sopan saat menyanyikan lagu itu.

Saya ini masih bujang lajang. Tiada siapa yang berani peduli dalam mempertikai estetika, citarasa, selera saya kepada Agnes Monica. Lelaki kita bebas menyatakan pendirian tentang selera dan citarasanya ke atas wanita Mongolia, Kemboja, Korea, China dan lainnya. Yang salah ialah, tindakan membunuh dengan meledakkan tubuh wanita dengan C4. Itu saja.

Syahadan.. siapa yang peduli sangat untuk mengharamkan penyiaran iklan produk Silky Girl berharga RM1.50 yang siarkan tubuh halus mulus para gadis muda bergetah yang terjelir-jelir lidahnya dari Afrika, United Kingdom, Amerika, Serani, China itu? Tiada siapa peduli barangkali dan kita lebih peduli untuk mengharamkan lagu ‘Allah Peduli’ sahaja.

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada Mais lantaran sikap mereka yang peduli mengenai lirik lagu Allah Peduli walau pun mereka belum pernah lagi mendengar lagu tersebut. (Demikian menurut kenyataan dalam laporan berita itu).

Syahadan wal arakian.. akhir pertanyaan peribadi, siapakah yang ambil peduli kehadiran lagu Allah Peduli itu sehingga sanggup tampil kehadapan untuk memberitahu pihak lembaga agama Islam mengenai lagu itu?

Sekalung tahniah, penghargaan terhadap kepedulian anda. Anda menyebabkan lembaga agama bekerja dan ambil peduli hal lagu. Sekian terima kasih..:) – Harakahdaily

Posted on 17 Mac 2009, in Semasa and tagged , , , , , . Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: