Sikit-Sikit Kena Tangkap, Sikit-Sikit Kena Tangkap, Macam Zaman Jepun!!!


Salam Perjuangan…

Malam tadi, ketika sedang beratur untuk membeli nasi kandar di sebuah restoran mamak di Alor Setar, mata pengunjung restoran itu tertumpu kepada beberapa berita menarik yang dipaparkan di TV plasma restoran berkenaan. Dua berita menarik ialah mengenai penggantungan Gobind Singh Deo dari menghadiri sidang parlimen dan kisah sepasang suami isteri yang dihadapkan ke mahkamah kerana menghina Sultan Perak.

“Sikit-sikit tangkap dan gantung, sikit-sikit tangkap dan gantung,” kata pemuda di belakang saya, “Kalau depa buat kesalahan yang sama, tak kena tangkap, tak kena gantung. Tak adil betul!”

“Zaman Jepun macam inilah juga,” tiba-tiba bersuara seorang warga emas di depan saya, “Sikit-sikit tangkap, sikit-sikit tangkap dan penjara, tak boleh tegur depa sikit!”

“Tapi depa yang kena tahan tu hina Sultan. Takat marah kerajaan tak apa, mengapa Sultan yang dibabitkan?”, pancing saya untuk menghidupkan malam yang sedikit panas itu.

“Abang dah baca apa yang depa tulis? Depa pukul anak sindir menantu. Depa marah BN, tapi macam kena kat Sultan. Kerajaan saja ambil kesempatan nak tangkap orang yang tak sama pendapat dengannya. Celaka!!”, jerkah pemuda itu.

“Masa zaman Jepun dulu berapa umur Pak Cik?” tanya saya untuk meredakan sedikit malam yang kian panas itu.

“Masa Jepun surrender kat British umur Pak Cil 17 tahun. Pak Cik la nie dah 81 tahun,” jelasnya.

Lalu berceritalah Pak Cik itu tentang kekejaman Jepun. Katanya zaman Jepun penuh dengan cerita kesengsaraan dan ketakutan. Sesiapa berani mengkritik Jepun akan ditahan dan disiksa. Sesiapa berani bercakap mengenai kemerdekaan akan dihukum dengan berat. Pendek kata siapa berani mengkritik kepimpinan Jepun, penjara dan siksaanlah jawapannya. Malah mendengar radio juga satu kesalahan kerana pihak berkuasa Jepun tidak mahu rakyat mendapat maklumat sebenar mengenai politik negara ketika itu. Semuanya hidup dalam ketakutan, yang paling ditakuti ialah Kempetei atau polis tentera Jepun yang sangat kejam itu. Mereka ini adalah seperti bulldog yang setiap masa bersedia untuk menggigit dan melapah daging sesiapa saja yang berani melawan kekejaman Jepun. Rakyat juga takut kepada Heiho yang terdiri dari rakyat tempatan yang sanggup menjadi tali barut Jepun.

“La nie Kempetei dan Heiho dah tak dak Pak Cik. Yang ada FRU dan SB yang lebih kurang macam Kempetei dan Heiho juga,” kata anak muda di belakang saya.

Apa yang dikatakan oleh Pak Cik dan anak muda itu ada benarnya walaupun tidak 100 peratus tepat. Jika di zaman Jepun silap sedikit ditahan dan disiksa tanpa bicara, di zaman ini salah sedikit ditangkap di bawah ISA – juga tanpa bicara. Jika di zaman Jepun, pemimpin mereka tidak boleh ditegur, di zaman ini juga begitu. Jumaat lepas 6 orang sudah dihadapkan ke mahkamah kerana menghina Raja melalui penulisan di internet. Tahun lepas, Raja Petra pun kena tahan juga kerana menulis tentang Najib dan Rosmah. Kelmarin sepaang suami isteri kena lagi. Esok, lusa, tulat dan seterusnya mungkin ada lagi yang kena atas tuduhan yang hampir serupa. Kelmarin juga Gobind Singh Deo digantung 12 bulan kerana menuduh Najib sebagai pembunuh. Hari ini bapanya Karpal Singh akan dihadapkan ke mahkamah dan mungkin lepas ini dia pula yang kena penjara.

Di zaman Jepun juga ada kes orang hilang, malah ada yang hilang sampai kini tidak ditemui hidup atau mati. Zaman ini juga ada kes orang hilang kerana memburukkan pemimpin seperti Balasubramaniam yang entah ke mana perginya. Di zaman ini juga ada kes wanita mati diletupkan oleh bahan peledak C4 hingga mayatnya hancur lebur bagai debu. Tapi kisah manusia diletupkan sekejam itu tidak pernah berlaku di zaman Jepun. Sekejam-kejam Jepun tiada manusia, apa lagi wanita, yang diletupkannya. Jika General Yamashita yang kejam dan digelar Harimau Malaya itu masih hidup tentu dia turut menggeleng-gelengkan kepala kerana terkejut dengan manusia Malaysia yang 1,000 kali lebih kejam dari dirinya yang terkenal kejam itu. Harimau Malaya yang kejam itu hanya menghukum pancung kepala mangsanya, tapi orang kita yang 1,000 kali lebih kejam dari Jepun menghukum letup wanita sampai tinggal debu.

Zaman Jepun dikenang dengan 1,001 cerita kekejaman manusia terhadap manusia. Zaman Jepun terkenal dengan kisah ketakutan rakyat terhadap pemimpin yang diamanahkan kuasa. Zaman ini pun apa kurangnya, ramai yang menjadi mangsa kekejaman, ramai yang takut menjadi mangsa seterusnya, ditahan dan dipenjara. Beberapa hari ini saja sudah berapa ramai yang kena tahan. Esok mungkin giliran kita pula berdiri di kandang orang yang dituduh di hadapan Hakim. Zaman Jepun dengar radio boleh ditahan dan dipenjara, zaman ini apa kurangnya, bagi pandangan dalam web dan blog pun boleh kena tahan juga. Zaman Jepun Kempetei dan Heiho buat salah tidak dikenakan hukuman kerana mereka bekerja dengan Jepun, zaman ini apa kurangnya, Idris Jusoh dan UMNO Terengganu tidak pun dituduh di mahkamah walaupun mereka jelas menghina Yang DiPertuan Agong.

Malaysia, oh Malaysia. Selepas 60 tahun, persis seperti zaman Jepun menjenguk kembali persada politik Malaysia. Hanya pejuang yang berani akan terus melawan, yang penakut akan mendiamkan diri seperti tikus di celah lubang.

Cuma zaman Jepun orang makan ubi, zaman ini kita makan magie dan siput babi seperti yang dipaparkan dalam TV kerana kos hidup yang semakin tinggi. – pendikar gunung kriang

Posted on 17 Mac 2009, in Semasa and tagged , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: