Hukum Jatuh Bangun Kuasa Manusia


Salam Perjuangan…

Pilihanraya Kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air sepatutnya menjadi hadiah oleh jentera UMNO kepada Perdana Menteri Malaysia yang baru dilantik Datuk Seri Najib Tun Razak. Menjanjikan hadiah berupa sesuatu yang masih belum berada di genggaman tangan adalah suatu cabaran. Seperti menjanjikan isteri yang sedang sarat mengandung seekor kijang merah yang masih berkeliaran di celah bukit-bukit yang penuh hutan.

Justeru segala-galanya diheret ke medan tempur.

Ada yang relevan, banyak yang tidak relevan.

Antara modal yang tidak relevan adalah momokan-momokan yang dibuat tentang sirah Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih sedekad yang lalu semasa beliau di dalam UMNO. Bagaimana dulunya beliau berkata begini dan begitu sedangkan kini pandangannya sudah berbeza. Silapnya ialah, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2009 bukan lagi faktor penentu keputusan pengundi. Justeru, strategi BN bersama TV3 menyiarkan secara bersiri segmen khas tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah simptom kepada kegagalan BN membuat anjakan paradigma. Masih gagal berubah. Masih gagal merealisasikan slogan Datuk Seri Najib agar UMNO dan Barisan Nasional BERUBAH.

Komunikasi UMNO dan BN dengan massa masih bersifat PEJORATIVE!

Di samping senjata tumpul bernama isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, ada sesuatu di medan kempen yang disangka relevan oleh UMNO dan BN.

Tun Dr. Mahathir turun ke padang.

Beliau dianggap sebagai keris Taming Sari UMNO yang hanya diguna pakai dalam upacara-upacara istimewa sahaja, kehadirannya menyuntik semangat luar biasa untuk petugas UMNO. Namun sekali lagi UMNO gagal membaca perubahan.

Tun Dr. Mahathir berulang kali mengajak mereka yang sepertinya kembali kepada UMNO. Beliau begitu yakin bahawa peningkatan undi yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat pada pilihanraya ke-12 yang lalu adalah kesan undian orang-orang UMNO yang kecewa dengan kepimpinan Tun Abdullah seperti beliau.

Tun Dr. Mahathir sangat menolak kepimpinan PM yang dilantiknya sendiri itu. Beliau sanggup mengkucar kacirkan UMNO dan seluruh Malaysia hanya kerana beliau secara peribadi menolak kepimpinan Tun Abdullah. Sebaik sahaja Tun Abdullah turun, dan Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pemerintahan, Tun Dr. Mahathir tidak sempat-sempat lagi untuk pulang kepada UMNO yang hakikatnya masih UMNO yang sama.

Mungkin Tun Dr. Mahathir sangat percaya bahawa beliau adalah subjek yang amat dominan dalam menambah atau mengurangkan sokongan rakyat kepada UMNO.

Terus dengan sangkaan sedemikian, Tun Dr. Mahathir turun berkempen. Beliau mengajak semua orang UMNO yang merajuk seperti merajuknya beliau, kembali mengundi UMNO.

Nyata Tun Dr. Mahathir tersasar daripada sangkaannya.

Masyarakat memang ramai yang bermasalah dengan kepimpinan Tun Abdullah. Tetapi mereka tidak mengambil Tun Abdullah sebagai masalah peribadi. Mereka bukan sahaja menolak Tun Abdullah, malah mereka menolak UMNO secara keseluruhannya.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, apabila Tun Dr. Mahathir pulang kepada UMNO, apabila Datuk Seri Sanusi Junid juga ikut sama pulang kepada UMNO, dan Tun Dr. Mahathir sendiri mengotorkan kaki turun ke padang berkempen untuk calon BN di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, dan 13 tahanan ISA tiba-tiba dibebaskan sebagaimana strategi Tun Dr. Mahathir semasa mula terlantik sebagai PM lebih dua dekad yang lalu, segalanya ini bererti UMNO telah mengeluarkan semua yang ia ada. Daripada Keris Taming Sari, hinggalah pelampung keselamatan yang terakhir.

Keputusan PRK 7 April 2009 yang berpihak kepada Pakatan Rakyat, adalah suatu mesej yang amat kuat dan jelas: segala-gala tentang UMNO adalah tertolak!.

MENGAPA

Soalnya mengapa UMNO tertolak?

Ketepikan seketika ideologi UMNO dan Barisan Nasional.

Sifirnya mudah… UMNO GAGAL BERUBAH.

Kegagalan mematuhi hukum challenge and response sebagai hukum jatuh bangunnya kuasa dan tamadun manusia adalah kegagalan yang fatal.

Peringatan buat Pakatan Rakyat, hukum Allah Subhanahu wa Ta’aala menetapkan mana-mana sahaja kuasa yang tidak patuh kepada hukum challenge and response, akan hilang daya survival. Justeru isilah kemenangan dengan KERJA dan KAJIAN, agar tertunai seperti pesan al-Marhum Sa’id Hawwa:

“… agar kita tidak bergerak jauh dari keperluan semasa”

Bacalah perubahan yang berlaku di dalam masyarakat. Manfaatkan prinsip-prinsip Islam yang teguh untuk membentuk kecenderungan masyarakat agar sentiasa memuliakan keadilan dan amanah. Justeru dalam setahun dua berbaki sebelum PRU13 akan datang, isilah masa ini dengan agenda membentuk manusia, kerana tiada kemenangan yang bertahan tanpa usaha.

Dan…

Apakah 21,860 undi itu juga merupakan ’sembah derhaka’ rakyat kepada baginda Sultan? Patik mohon agar baginda Tuanku menimbang kembali atas bijaksana Tuanku tentang resah jiwa raga rakyat jelata dengan kejadian malang yang menimpa Perak negeri jajah takluk Tuanku.

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” [Aal ‘Imraan 3: 26]

Sumber : ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com

Posted on 8 April 2009, in Semasa and tagged , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: