Buktikan Umno Tidak Main Politik Pondok-Pondok


Salam Perjuangan…

UMNO tidak perlu berbelah bahagi jika hendak buat perubahan. Tidak perlu bertelagah atau berbalah sesama sendiri. Sebagai parti politik, perubahan pertama yang Umno harus dilakukan mestilah di segi politik – pemikiran dan juga amalan politik.

Oleh itu Umno perlu berani. Ia harus berani menyanggah amalan politik yang tidak banyak memberi manfaat kepada ahli dan rakyat terbanyak. Jika Umno memikirkan ada amalannya yang tidak baik dan kurang berfaedah, maka ia harus berani hentikan dan ambil sikap baru.

Jika Umno yakin pilihanraya kecil tidak ada faedah kepada rakyat kerana ia hanya permainan politik pihak lawan untuk menyalahgunakan proses demokrasi maka ia harus mesti tegas dan tekal dengan keyakinan itu. Ia tidak perlu terkilan dengan keputusan untuk tidak turut bertanding.

Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti di Pulau Pinang hanya buatan manusia. Ia kosong kerana penyandangnya letak jawatan. Sebab apa beliau berbuat demikian bukan harus jadi topik perbincangan pada Umno kerana presidennya, Najib Tun Razak awal-awal lagi sudah menyebut ia satu permainan politik. Habis cerita.

Yang harus disambung perbualan ialah soal perubahan. Kalau hendak berubah mesti tahu mengapa dan bagaimana. Umno perlu berubah jika tidak mahu jadi parti dinosaur yang akan pupus. Umno perlu berubah kerana banyak amalannya yang sudah menyimpang dari impian rakyat. Umno perlu berubah kerana tahap kebolehpercayaan rakyat terhadapnya berhubung isu keluhuran “perjuangan untuk rakyat” adalah di peringkat paling rendah.

Biarlah orang kata ia takut. Apa perlu dibimbangi kata orang. Yang penting keyakinan diri. Kalau tidak ada faedah buat apa ambil bahagian. Itu baru betul-betul dikatakan keyakinan dan prinsip. Maka Umno boleh canangkan bahawa ia tidak mahu terbabit dengan ”main politik pondok-pondok” dengan berpura-pura bersedia bersaing dan tidak takut kalah.

Laungkanlah ini pegangan politik baru Umno. Sesungguhnya Umno tidak mahu membazir masa, tenaga dan sumber. Umno mahu tumpu perhatian kepada kerja-kerja yang berfaedah untuk rakyat. Ini pegangan politik baru Umno di bawah kepemimpinan Najib Tun Razak.

Lagipun apa sangatlah makna kemenangan dalam pilihanraya kecil Penanti pada 31 Mei 2009. Bukan umno boleh tubuhkan kerajaan negeri yang baru dengan kemenangan itu. Paling kuat Umno boleh melaungkan badi kalah pilihanraya umum 2008 sudah berakhir. Umno kini sudah boleh bangkit semula dan sedang menuju era baru. Penanti adalah titik permulaannya.

Namun bagaimanakah jika Umno kalah di Penanti. Beranikah Umno angkat muka dan menghadapi pengundi? Bagaimana hendak menjelaskan kepada penyokong dan orang Melayu khususnya, mengapa rakyat ingin menjauhkan diri daripada Umno? Bahana ini tidak mungkin tertanggung oleh Umno.

Sekonyong-konyong, perhatian pasti akan bertumpu kepada Presiden. Belum 100 hari memimpin, Umno sudah kalah lagi. Maka mungkin ramai yang akan berbisik-bisik bahawasanya mungkin isu-isu yang dikatakan ”fitnah” terhadap Najib selama ini mungkin ada kebenarannya.

Keadaan ini tidak baik bagi Umno. Malah ia lebih malang bagi presiden Umno. Jika bertanding juga di Penanti, apakah bisik-bisik begini tidak akan menular menjadi tohmahan terbuka. Memang malang Najib. Bagaimana hendak mengelak kempen yang menyerang peribadi begini?

Bukan sahaja cerita tentang Najib akan jadi bahan mulut rakyat kerana media arus perdana seperti biasa akan menjadi “galang ganti” dengan cuba menidakkan tohmahan begitu, malah media antarabangsa juga amat berminat dengan kisah Najib. Baik Tun Mahathir Mohamad mahupun Datuk Rais Yatim telah mengesahkan konspirasi antarabangsa ini.

Soalnya, perlukah Umno menderita kesan penyakit yang boleh diumpamakan “selsema Najib” seperti wabak yang ditakuti oleh warga seluruh dunia sekarang yang dinamakan “selsema babi” dan berasal dari Mexico itu?

Dilihat dari perspektif presiden, maka mana-mana pilihanraya kecil atau negeri memang amat tidak baik untuk imejnya. Maka mengapa beliau perlu perjudikan nama baiknya hanya untuk memenuhi ego dan tradisi parti?

Bila Umno tidak menang besar dalam pilihanraya umum 8 Mac 2008, pelbagai peringkat Umno mulai menyalahkan pucuk pimpinan. Umum tahu bahawa dalam kebingunan politik Umno ketika itu lahirlah jaguh-jaguh baru tampil mempertikaikan mutu dan caragaya kepemimpinan Tun Abdullah. Meskipun mereka ini berkaliber kecil namun oleh kerana ada vakum, maka suara mereka kedengaran seperti singa lapar.

Maka jika ingin bertanding juga di Penanti dan kemudian kalah, tidakkah ada singa dan harimau muda Umno lain pula akan mengaum mendesak Najib dan Muhyiddin berundur. Silap Umno sebelum Mac 2008 ialah lengah dan tidak mahu bertindak menukar kepemimpinan parti sebelum pilihanraya umum 2008. Apakah Umno akan mengulangi kesilapan ini walaupun sudah kalah tiga pilihanraya kecil (dan Penanti mungkin yang keempat) yang ditandinginya.

Senario murung ini bukan khayalan. Jika mengikut trend politik hari ini ia lebih mudah jadi kenyataan. Oleh itu, tidakkah lebih bijaksana jika Umno ambil sikap berani. Pecah tradisi. Katakanlah Penanti adalah kerja politik yang tidak banyak faedah. Umno tidak ada masa hendak layan ”main politik pondok-pondok” ini. Umno mahu lakukan perubahan. Dan, perubahan pertama ialah ia akan menampilkan watak lebih serius dalam berpolitik.

Biarkanlah penyokong-penyokong yang berkepentingan dan mengharapkan habuan akan turun dari langit apabila ada pilihanraya kecil tahu bahawa zaman “menunggu durian runtuh” kerana kerja-kerja politik sudah berlalu. Yang diharapkan ialah dividen daripada pembangunan minda dan amalan politik baru seperti yang dijanjikan Najib – rakyat didahulukan; pencapaian diutamakan. Cakap mesti serupa bikin.

Apakah malu sangatkah jika tidak bertanding. Umno bukan takut tapi hendak bina budaya dan pemikiran politik baru. Kalau Umno boleh mengkesampingkan soal ego, rakyat akan lebih simpati dan lebih cepat percaya akan janji Umno hendak bawa perubahan. Biro politik Umno akan bersidang untuk membuat keputusan muktamad mengenai pendirian Umno. Rasanya, eloklah ahli-ahli Umno membuat kira-kira politik yang boleh menyelamatkan bukan sahaja maruah Najib malah parti itu sendiri. – TVA

Posted on 28 April 2009, in Semasa and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: