Terima Kasih Spr, Demokrasi Makin Mekar


Salam Perjuangan…

Tidak ada peraturan baru. Semua syarat dan langkah perlu bagi memastikan pilihanraya dikendalikan dengan tenteram dan adil memang sudah sedia ada. Malah rekod Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menguruskan pilihanraya dengan cekap adalah cukup baik.

Soal adil atau tidak adalah perkara subjektif. Lantas tidaklah perlu ada keraguan pada kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof bahawa suruhanjayanya akan perkenalkan beberapa langkah baru untuk memastikan pilihanraya, terutama yang terdekat iaitu di Penanti, Pulau Pinang, akan berjalan dengan tenteram dan sopan.

Yang nyata, peraturan tidak boleh ada pondok panas yang dikenalpasti oleh SPR sebagai punca “menggelegaknya” suhu mana-mana pilihanraya memang sudah lama ada. Pondok-pondok ini sering dijadikan markas terakhir oleh parti-parti yang bersaing untuk “mengasak”, “mengugut” dan juga “memujuk” pengundi supaya memangkah calon mereka.

Maka Tan Sri Abdul Aziz tidak mahu ada lagi pondok panas. Dan, beliau juga tidak mahu terlalu ramai yang datang mengiringi calon-calon yang bertanding kerana itu boleh menggugat ketenteraman awam.

Sekali lagi sebenarnya apa yang disebutnya itu bukan perkara baru. Peraturan memang sudah ada. Cuma yang jadi masalah ialah pelaksanaan. Misalnya, ketika menghidu akan mencatatkan kemenangan besar dalam pilihanraya kesebelas pada 2004, pondok-pondok untuk menyemak daftar pengundi dan jadi tempat berteduh penyokong-penyokong parti dari panas dan hujan, tiba-tiba didirikan seperti “cendawan selepas hujan” oleh komponen Barisan Nasional. Keadaan ini mengejutkan parti lawan, dan mereka bingkas mendirikan pondok masing-masing.

Ini hakikat. Peraturan melarang memang sedia ada. Namun ia tidak dilaksana dengan tegas. Entah mengapa SPR tiba-tiba berlembut selepas itu dalam isu pondok panas di dalam pilihanraya umum ke-12 (hingga menyebabkan kemerosotan besar pencapaian Barisan Nasional) dan lima pilihanraya kecil yang menyusul sukar hendak difahami. Bukankah pihak polis yang menjadi pengaman dan pemelihara ketenteraman awam sentiasa hadir dengan aktif dalam setiap pilihanraya untuk melaksanakan peraturan ini?

Maka yang menjadi persoalannya, jika SPR tidak melihat peraturan penting dilaksanakan dengan gigih, maka tentu polis pun akan kurang ambil berat soal itu. Dan, jika suhu makin menggelegak di pondok-pondok panas maka polis sentiasa ada cara mengatasinya; sekurang-kurang pasukan simpanan persekutuan (FRU) bersedia dan meriam air untuk menyejukkan keadaan. Kecekapan polis ini boleh disaksikan di pilihanraya kecil Bukit Gantang baru-baru ini.

Bagaimanapun bagi kes penyokong yang datang terlalu ramai untuk mengiringi calon pada hari penamaan calon, itu kes lain. Apabila beratus ribu peminat TV3 dikatakan berpusu-pusu ke karnival jom heboh di Lumut hujung minggu lalu, tidak pula ia jadi masalah, terutamanya pada pihak polis. Ini kerana mereka berhimpun di situ hanya untuk ambil kesempatan jualan istimewa, jumpa selebriti dan artis pujaan mereka. Walaupun keadaan hangat, meriam air tidak perlu digunakan kerana keadaan masih tenteram. Sebab itu, Mufti Perak yang dulu berfatwa melarang ”Sure Heboh” sudah tidak menghebohkan isu itu lagi kerana program itu sudah bertukar nama jadi ”Jom Heboh” dan menjadi karnival keluarga dan ada pula maslahat baik untuk umat.

Maka, bagaimana pula hendak disekat naluri penyokong parti untuk menunjukkan taat setia, keyakinan dan juga kegembiraan mereka untuk menyertai proses demokrasi pada hari penamaan calon. Sedangkan sambutan kemenangan bolasepak, lumba basikal atau badminton boleh dibuat perarakan keliling kota dan desa. Rakyat keluar beramai-ramai tunjuk kegembiraan, kebanggaan dan kesyukuran kerena kemenangan. Ahli-ahli sukan dirai sebagai wira.

Jadi mengapa tidak rakyat juga beri peluang untuk tunjuk kegembiraan, kesetiaan dan harapan kepada calon-calon yang akan jadi pemimpin dan wakil rakyat mereka? Jika mufti boleh ubah sikap walaupun fatwa melarang Jom Heboh sudah ada kerana keadaan mungkin sudah berubah dan rakyat sudah terdidik untuk bersopan menemui selebriti televisyen dan artis, mengapa polis dan SPR masih bimbang akan gagal untuk mengawal keadaan pada hari penamaan calon?

Sesungguhnya dalam proses demokrasi penamaan calon ialah hari perayaan – meraikan mereka yang bakal jadi pemimpin dan mengisyaratkan rakyat diberi hak untuk memilih sesiapa sahaja calon yang menawarkan diri untuk berkhidmat kepada mereka!

Jika tiada syarat dikenakan kepada penganjur Jom Heboh, Suarasa dan pelbagai karnival aman, kenapa perlu cemburu dan khuatir hari penamaan calon tidak boleh jadi majlis luhur untuk meraikan demokrasi? Peraturan sudah ada, kenapa teragak-agak melaksanakannya.

SPR kena yakin pada diri sendiri bahawasanya proses pendidikan pilihanraya yang dianjurkannya selama ini berkesan. Dalilnya, makin ramai rakyat yang ingin ambil bahagian dalam proses pilihanraya. Maka mengapa khuatir, jika rakyat keluar beramai-ramai meraikan kefahaman luhur mengenai pilihanraya?

Namun apa yang lebih penting, tidak mungkin ada pihak boleh melarang naluri rakyat untuk menunjukkan sokongannya kepada demokrasi. Bukankah SPR sering mengatakan jika ia tidak berlaku adil, bagaimana pihak yang dahulu menjadi pembangkang dalam proses demokrasi kini telah mencatatkan kemenangan dan sudah pun mampu memerintah beberapa negeri di negara ini?

Demokrasi harus terus mekar dalam hati, pemikiran dan tindak tanduk rakyat. Ia juga harus makin ranum dalam pengurusan dan pelaksanaan tugas SPR. Sekatlah bagaimana sekalipun, rakyat kini lebih arif mengenai hak mereka. Terima kasih kepada SPR, rakyat tetap akan memilih demokrasi jua. – TVA

Posted on 28 April 2009, in Semasa and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: