Awas! UMNO Tak Pernah Pedulikan Undang-Undang


Salam Perjuangan…

Setakat pagi ini rakyat telah menang. Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang kelmarin sangat bermakna kepada Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang. Hak kemenangan Pakatan Rakyat dikembalikan oleh mahkamah setelah 3 bulan disamun oleh UMNO-BN. Rakyat patut gembira. DS Nizar dan Pakatan Rakyat layak meraikan kejayaan ini.

Namun begitu ada satu fakta yang wajar diinsafi oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat iaitu UMNO tak pernah pedulikan undang-undang. UMNO bukan jenis yang tahu menghormati undang-undang. Kalau mereka berpegang kepada keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, pasti mereka tidak sanggup merampas kuasa secara tidak halal seperti yang disabitkan dimahkamah kelmarin. Kalau mereka menjunjung perlembagaan dan undang-undang, pasti mereka tidak tergamak melakukan drama kotor penyingkiran Speaker DUN pada 7 Mei.

Sepanjang sejarah kewujudan UMNO, parti itu telah terbukti tegak berkuasa dengan cara mengkhianati prinsip undang-undang dan melanggar suratan undang-undang. UMNO mengekalkan kuasa dengan tipu helah dan ketidakadilan dalam pelaksanaan sistem demokrasi. UMNO mengugut dan menafikan hak rakyat yang tidak menyokong parti mereka. UMNO hidup dan berkembang dengan amalan rasuah kecil dan besar. UMNO menggubal pelbagai akta dan enakmen bermotif politik untuk menyekat kebebasan rakyat yang tidak sependapat dengan mereka. UMNO memaksa dan menghaiwankan pihak berkuasa keselamatan untuk menakut-nakutkan dan menghalang gerakan rakyat yang bangkin memprotes kezaliman mereka. Pemimpin-pemimpin UMNO sudah biasa dengan konspirasi dan fitnah untuk menjatuhkan sesama mereka apatah lagi untuk memusnahkan parti lawan. UMNO ada sejarah membunuh untuk maksud survival politik dan kebendaan.

Dengan segala kebejatan dan kerosakan nilai yang dihidapi oleh UMNO itu, rakyat seharusnya tidak terlalu teruja dengan keputusan mahkamah kelmarin. Pakatan Rakyat patut mengambil iktibar daripada kisah Dato’ Nasarudin Hashim pada penghujung Januari lalu. UMNO memang pintar bermain sendiwara. Dalam kita berseronok suka menyambut penghijrahan Dato’ Nasa ke rumah kita, UMNO licik menyempurnakan operasi menjerat tiga ADUN kita ke sebelah sana. Belum sempat kita menghabiskan aturcara kegembiraan menyambut Dato’ Nasa, UMNO selesai merampas kuasa yang baru 10 bulan dimandatkan oleh rakyat.

Ketika Najib mengumumkan tiga ADUN kita telah beralih menyokong BN, pemimpin PR Perak dengan yakinnya memberitahu penyokong PR bahawa permohonan pembubaran DUN pasti diperkenankan oleh Tuanku Sultan. DUN tetap akan dibubarkan besok. Tak mungkin Tuanku tidak memperkenankannya berdasarkan tafsiran dan semangat undang-undang tubuh. Akhirnya apa yang terjadi?

Ungkitan ini bukan bermaksud mempertikaikan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin PR dan peguam-peguam yang dirujuk oleh PR tetapi sebagai bahan fikir untuk berhati-hati terhadap seribu kemungkinan langkah UMNO besok lusa. Kita percaya pemimpin dan peguam kita menyuarakan keyakinan berdasarkan prinsip dan semangat undang-undang yang sebenar. Malangnya UMNO bukan jenis manusia yang hormat dan menjunjung undang-undang. Oleh itu kita seharusnya berfikir tentang kemungkinan langkah mereka dari sudut pandang mereka selaku pelanggar undang-undang itu.

Menjelang persidangan DUN 7 Mei, pemimpin dan ahli undang-undang PR yakin bahawa UMNO tak akan dapat menafikan hak dan kuasa YB Sivakumar sebagai Speaker yang sah. Kita juga diyakinkan bahawa Speaker akan berjaya menggagalkan hasrat UMNO untuk memecat Sivakumar dan menggantikan Ganesan di kerusi itu melalui kuasa menerima atau menolak sesuatu usul yang ada pada Sivakumar. Akhirnya apa yang terjadi?

Kita menilai dari sudut proses dan prosedur yang biasa. Kita menganalisis undang-undang dari sudut tafsiran dan penguatkuasaannya yang biasa. Malangnya UMNO sudah biasa melakukan perkara-perkara yang luar biasa. UMNO jaguh melanggar proses dan prosedur resmi. UMNO juara memutarbelit peruntukan undang-undang untuk maksud politik dan pengekalan kuasa.

Oleh itu pemimpin dan pencatur langkah PR perlu menganalisis dan merumuskan andaian langkah-langkah UMNO dari sudut yang luar biasa dan di luar kerangka proses dan prosedur undang-undang yang biasa itu. PR perlu ada plan biasa dan plan luar biasa.

Berikutan keputusan mahkamah kelmarin, DS Nizar telah pun mengadakan mesyuarat exco tengah malam tadi dan membuat beberapa keputusan penting termasuk menggantung Setiausaha Kerajaan Negeri (Rahman Hashim) dan Penasihat Undang-Undang Negeri (Kamal Md Shahid) berkuatkuasa serta merta. Mesyuarat itu juga memutuskan untuk menghantar surat memohon perkenan menghadap DYTM Raja Muda untuk menerangkan keputusan mahkamah serta memohon perkenan pembubaran DUN.

Sebelum itu Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa UMNO akan mengambil tindakan segera memfailkan rayuan di mahkamah terhadap keputusan kelmarin. Najib berkata “kita akan selesaikan masalah ini”. Apabila ditanya apakah usul undi tidak percaya terhadap DS Nizar merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini, Najib menjawab “langkah pertama ialah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah, then we’ll make it from there.”

Kenyataan pengarah utama rampasan kuasa ini wajib dikaji dengan penuh waspada. Najib pasti sedia melakukan apa saja demi maruahnya sebagai PM yang baru berusia sebulan. Najib juga telah membuktikan kekuatannya memekakkan telinga terhadap semua serangan termasuk serangan mega seperti isu Altantunya. Kelicikan strategi Najib tak boleh dipandang sebelah mata.

Zambry juga telah mengeluarkan kenyataan untuk memohon perintah mahkamah bagi menghalang atau menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengembalikan hak DS Nizar sebagai Menteri Besar. Malam tadi Tv3 telah memulakan langkah mewajarkan sidang tergempar DUN untuk prosiding usul undi tidak percaya terhadap DS Nizar sebagai MB. Dalam siaran Buletin Utama, Peguam UMNO, Shafie Abdullah memperincikan fakta-fakta palsu untuk meyakinkan penonton tentang keabsahan penyingkiran Speaker Sivakumar dan keabsahan perlantikan Ganesan sebagai Speaker DUN yang baru. Kesimpulannya, Ganesan berhak memanggil Sidang Tergempar DUN untuk prosiding ‘vote of no confidence’ terhadap DS Nizar. Laman-laman blog pro-UMNO juga telah mewar-warkan kemungkinan sidang tergempar itu pada hari khamis ini atau satu tarikh terdekat selepas khamis.

Dalam sidang media di kediaman DS Nizar tengah malam tadi, pemimpin-pemimpin PR dengan tegas menyatakan perlantikan Ganesan sebagai Speaker adalah tidak sah. Oleh itu Sivakumar masih Speaker yang sah. Jika sidang DUN mahu diadakan, permohonan perkenan mengadakan sidang itu hanya boleh dikemukakan oleh DS Nizar sebagai MB yang sah. Notis panggilan sidang mesti dikeluarkan dan ditandatangani oleh YB Sivakumar sebagai Speaker yang sah. Jika BN mahu mengusulkan undi tidak percaya terhadap MB DS Nizar, mereka hendaklah mengemukakan usul itu ke pejabat Setiausaha DUN tidak kurang daripada 14 hari sebelum tarikh sidang DUN yang dipanggil oleh Speaker Sivakumar setelah permohonan perkenan mengadakan sidang itu dikemukakan oleh DS Nizar kepada DYMM Sultan. Dan Speaker Sivakumar berkuasa untuk menerima atau menolak usul yang dikemukakan itu. Itu kata kita.

Sebaliknya UMNO tetap bertegas bahawa perlantikan Ganesan adalah sah. Speaker Ganesan juga berhak memanggil sidang tergempar DUN tanpa permohonan perkenan daripada DYMM Sultan kerana sidang 7 Mei hanya ditangguhkan (adjourned) dan bukannya diberhentikan (prorogued). Ganesan sudah tentu akan menerima usul yang dikemukakan oleh UMNO dan akhirnya BN pasti berjaya menyingkirkan DS Nizar daripada kerusi MB dengan kelebihan 3 undi (31-28). Itu kata UMNO-BN.

Masing-masing ada hujah. Hujah PR berdasarkan keputusan mahkamah kelmarin dan berdasarkan peruntukan-peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak yang sebenar. Hujah UMNO-BN jelas menghina keputusan mahkamah dan melanggar Undang-Undang Tubuh. Tetapi UMNO sentiasa yakin setiap kali melanggar undang-undang. UMNO juga berupaya menghaiwankan pelbagai pihak untuk mencapai kehendak politik mereka. Mereka dah biasa mengugut hakim. Mereka pakar mengerahkan pasukan keselamatan untuk menghalang langkah PR. Mereka adalah jelmaan mafia.

Oleh itu pemimpin-pemimpin dan pencatur strategi PR wajib mengambil perhatian terhadap segala kemungkinan yang bakal dihadapi besok lusa.

Penyokong PR boleh bergembira tetapi jangan terlalu teruja dengan keputusan Mahkamah Tinggi petang kelmarin. Bersiap sedialah untuk menghadapi kemungkinan pilihanraya negeri jika DUN dibubarkan.

Terima kasih Hakim Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahim! – cacamerbamakhlukpolitik.blogspot.com

Posted on 12 Mei 2009, in Semasa and tagged , , , , , , , . Bookmark the permalink. 2 Komen.

  1. Saya sependapat dengan tuan mengenai keadaan di Perak. Keputusan mahkamah rayuan menggambarkan apa yang yang dibimbangi dan kemelut ini sebenarnya adalah satu lagi ‘ciptaan’ BN.

  2. MAJLIS PENGAJIAN INTENSIF KITAB TURATH I’TIQAD ASWJ [Siri 2]

    MAJLIS PENGAJIAN INTENSIF KITAB TURATH I’TIQAD ASWJ [Siri 2] [23 – 24 Mei 2009 / 24-25 Jamadilawwal 1429H]

    Anjuran :
    PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM),
    &
    Kolej Dar Hikmah,
    Jalan Sungai Ramal Dalam,
    43000, Kajang, Selangor Darul Ehsan

    OBJEKTIF :

    * Menimbulkan kesedaran terhadap kepentingan aqidah dan iman di kalangan belia.
    * Mendedahkan umat Islam mengenai kewajiban beramal dengan ilmu daripada ahli agama Islam yang faqih.
    * Menghidupkan budaya bertalaqqi secara berkitab.
    * Memberi kefahaman tentang konsep dan perlaksanaan nilai-nilai Islam.

    TEMA :
    Menghidupkan Ruhaniah Berlandaskan Pemantapan Akidah.

    TARIKH :
    23 – 24 Mei 2009 / 24-25 Jamadilawwal 1429H

    TEMPAT :
    Kolej Dar Hikmah,
    Jalan Sungai Ramal Dalam,
    43000, Kajang, Selangor Darul Ehsan

    TENAGA PENGAJAR :

    1. Al-Fadhil Ustaz Hj. Zamihan Mat Zin Al-Ghari
    2. Al-Fadhil Ustaz Ahmad Faidzurrahim
    3. Al-Fadhil Ustaz Mohd Rasyiq Alwi

    SASARAN :
    Seramai 150 orang yang terdiri dari:
    * Ahli Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
    * Orang Awam
    * Pelajar IPTA dan IPTS di Lembah Kelang

    YURAN MURAH :
    RM 15 [INDIVIDU]

    MODUS OPERANDI :
    Program diadakan selama 2 hari 1 malam. Mengikut kaedah pengajaran kulit ke kulit menggunkan Kitab I’tiqad Ahlussunnah Wal Jamaah; Kiyai Haji Siradjuddin Abbas. Terbitan PUSTAKA TARBIYYAH Jakarta, Kitab Mukhtasor dan Kitab Aqidah Ibnu ‘Asakir (Aqidah Mursyidah).

    (Talaqqi kitab/Pembentangan/)

    TENTATIF PROGRAM

    Sabtu (23/05/2009)

    7:30 pagi : Sarapan dan Pendaftaran

    8:30 pagi : Taklimat & Aluan oleh ;

    Saudara Abd. Muntaqqim Bin Zulkifli

    Timbalan Presiden PKPIM

    9: 15 pagi : Slot 1 : Al-Fadhil Ustaz Ahmad Faidzurrahim

    Syarah Kitab Aqidah Muslimin (Diiktiraf Universiti Al-Azhar).

    10:45 pagi : Minum pagi

    11:00 pagi : Slot 2 : Al-Fadhil Ustaz Ahmad Faidzurrahim

    Penjelasan Ajaran Bertentangan Dengan Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

    12:30 tghari : Makan Tengahari & solat Zohor

    2:00 petang : Slot 3 : Al-Fadhil Ustaz Mohd Rasyiq Alwi

    Kitab Mukhtasor (1).

    4:00 petang : Slot 4 : Al-Fadhil Ustaz Mohd Rasyiq Alwi

    Kitab Mukhtasor (2).

    6:00 petang : Makan Malam

    7:00 malam : Solat Maghrib & Kuliah/Tazkirah & solat Isya’

    9:00 malam : Slot 5 : Al-Fadhil Ustaz Mohd Rasyiq Alwi

    Penjelasan Bid’ah & Ancaman Terhadap Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

    9:45 malam: Slot 6 : Al-Fadhil Ustaz Mohd Rasyiq Alwi

    Talaqqi & Ijazah Kitab Aqidah Ibnu ‘Asakir (Aqidah Mursyidah).

    10:00 malam : Minum malam & Berehat

    Ahad (24/05/2009)

    4:00 pagi : Qiamullail

    6:00 pagi : Solat Subuh /Tazkirah /Sarapan pagi

    8:30 pagi : Slot 7 : Al-Fadhil Ustaz Hj. Zamihan Mat Zin Al-Ghari

    Syarah Kitab I’tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah

    10:30 pagi : Minum pagi

    11:00 pagi : Slot 8 : Al-Fadhil Ustaz Hj. Zamihan Mat Zin Al-Ghari

    Syarah Kitab I’tiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah

    12:00 tghari : Ulasan & Penutup oleh;

    Saudara Mohd Hilmi B. Ramli

    Presiden PKPIM

    1:00 tghari : Makan Tengahari

    2:00 petang : (Check-out)

    Sebarang Pertanyaan, Sila Hubungi ;

    Saudara Ikhram Husin [019-3731744]
    Saudari Izzah Khanani [013-2197192]

    …MOHON SEBARAN…
    ‘DEMI ALLAH UNTUK ISLAM’

    ” ALLAH ADA TANPA BERTEMPAT

    http://pondokhabib.wordpress.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: