Apabila Ibadah Hilang Manisnya


Ibadah adalah jalan mendekatkan diri kepada Allah, baik ibadah-ibadah khusus yang mempunyai aturan-aturan tertentu yang telah digariskan mahupun ibadah-ibadah umum yang lebih luas dan subjektif. Selagi mana sesuatu kebaikan itu dilakukan kerana Allah dan tidak bertentang dengan aturan Allah, maka ia termasuk dalam ibadah.

Firman Allah yang bermaksud :

“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi (beribadah) kepada-Ku.”

(Adz-Dzaariyaat: 56)

Ibadah, baik yang wajib mahupun sunat, seharusnya dapat membawa seseorang merasa lebih nikmat dan indah dalam hidup ini. Setiap kali masuk ke dalam solat, hatinya merasa sungguh tenteram bersama Tuhannya. Apabila keluar daripada solat, hatinya selalu rindu untuk menghadapNya lagi. Tatkala kalam Ilahi dilantunkan, hatinya luluh sehingga mengalirlah butir-butir air daripada pelupuk matanya. Bahkan apabila bibirnya sendiri membaca Al-Quran, hatinya semakin teguh untuk melangkah dalam kehidupan. Itu belum bercerita tentang hal keadaan hamba yang begitu asyik merintih dan memohon rahmat Tuhannya di balik tirai malam. Semuanya terasa begitu mententeramkan, sepatutnya.

Namun, adakah kita sentiasa merasakan segala keindahannya ketika kita sendiri melakukan ibadah-ibadah tersebut dan ibadah-ibadah lain juga? Sejahat-jahat manusia, pasti tetap merindukan ketenangan yang hanya boleh dikecap apabila dia kembali kepada Tuhannya. Sebaik-baik manusia, pasti sesekali merasa malas untuk beribadah kerana hilang asyiknya. Persoalannya, bagaimana kemanisan tersebut boleh lenyap dan bagaimana kita boleh mengecap kemanisannya?

Persoalan khusyuk dalam solat adalah sebuah persoalan yang sangat utama dalam kehidupan. Apabila kita dapat mengecap nikmat khusyuk dalam ibadah terbaik tersebut, pastinya kita bakal memperoleh ketenangan yang luar biasa di luar solat. Kita akan belajar untuk khusyuk menyembah Allah dalam segenap aspek kehidupan. Saya pernah bertanya kepada seorang pensyarah, Dr. Ibrahim Shogar di UIAM Kuantan tentang bagaimana untuk khusyuk. Katanya, “It is very difficult for you to achieve khusyuk at this age of yours (20-an) when you have so much to think and to achieve. What you have to do is keep trying“. Memikirkan kembali kata-katanya, ada betulnya. Namun, sudahkah we keep trying?

Ke Mana Hilangnya Kemanisan Tersebut?

Saya ingin menyebut tentang khusyuk yang lebih umum dalam segenap bentuk ibadah. Kecerahan siang itu semakin kelam kerana bertandangnya malam. Kedinginan malam semakin hilang apabila terbitnya mentari yang memanaskan. Cerahnya siang itu berbeza sama sekali dengan gelapnya malam. Begitu juga ibadah, manisnya hilang bersama nikmatnya maksiat. Nikmat maksiat menenggelamkan rasa manisnya ibadah.

Maksiat. Perbuatan curang seorang hamba terhadap Tuhannya. Tak mungkin maksiat dilakukan kerana Allah kerana ia sememangnya adalah sebuah larangan. Apabila ia dilakukan ganti berganti dengan ibadah, pastilah manis ibadah yang menjadi korban kerana tarikan dan nikmatnya maksiat itu lebih kuat. Khusyuknya solat hilang bersama pandangan syahwat yang dilayangkan pada lawan jenis yang bukan mahram. Indahnya kalam Ilahi tak terasa apabila jiwa sentiasa dipenuhi kata-kata cinta makhlukNya, apatah lagi yang belum halal. Malam terasa begitu sejuk untuk bertahajjud kerana tidurnya dalam murka setelah bermaksiat.

Apabila hati tercemar sedikit demi sedikit dengan maksiat, nikmat ibadah pun hilang. Lama-kelamaan, ibadah itu sendiri ditinggalkan. Bertambahlah maksiat kerana meninggalkan suruhanNya. Maksiat itu pasti meninggalkan bekas dalam hati. Sekalipun kita telah berhenti melakukannya, tetap juga kesannya terasa sangat dahsyat. Kesan-kesan dan bekas-bekas yang ditinggalkan inilah yang menyebabkan hati kita sentiasa meronta-ronta untuk kembali melakukannya. Kesan-kesan dan bekas-bekas ini juga yang menjadi hijab kepada rasa nikmatnya beribadah. Paku yang tertancap di tiang boleh dicabut, namun lubang dan kesan karatnya tetap tinggal berbekas.

Kembalikan Kemanisannya

Kembalikan rasa nikmat beribadah itu secepat mungkin, sebelum nikmatnya maksiat itu menghalang kita untuk terus beribadah dan mungkin akan terus berpaling daripada Allah. Ketika itu, kita akan menjadi hamba yang rugi serugi-ruginya. Ketika kita berpaling, maka Allah tidak pernah rugi. Lebih malang jika Dia terus membiarkan kita tersesat tak jumpa jalan kembali.

Jujurlah dalam menilai dirimu. Akuilah segala maksiat yang telah kita lakukan. Tak perlu diceritakan kepada orang lain. Cukuplah kita mengingatkan hati agar membenci segala kemaksiatan dan berusaha untuk mengembalikan kemanisan ibadah. Setelah kita dapat mengenal pasti kecurangan kita, berusahalah untuk meninggalkannya dengan bersungguh-sungguh. Berdoalah agar Allah membantu kita untuk terus taat kepadaNya. Rasulullah mengajarkan doa selepas solat dalam sebuah hadith:

Daripada Muaz bin Jabal RA, beliau berkata: Rasullullah SAW mengambil (memegang) tanganku pada suatu hari lalu berkata: “Wahai Muaz! Demi Allah, sesungguhnya aku mengasihi engkau.” Muaz berkata: “Aku sanggup menebus diri engkau dengan ayah dan ibuku wahai Rasullullah SAW; dan demi Allah, aku juga mengasihi engkau.” Maka Rasullullah SAW berkata: “Aku berwasiat kepada kamu janganlah kamu meninggalkan pada setiap kali selesai solat untuk mengatakan: “Ya Allah! Bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu”.

( Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i )

Doa yang diajarkan baginda ringkas namun membawa maksud mendalam daripada sudut pengharapan seorang hamba kepada Tuhannya. Mengharap agar Allah tidak membiarkan kita terkapai-kapai dalam menempuh perjalanan menujuNya, dalam melakukan ibadah, berzikir dan bersyukur kepadaNya. Sungguh indah doa ini, marilah kita sama-sama amalkannya. Berikut lafaznya dalam bahasa Arab:

اللّهمّ أعنّي على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك

( Allahumma A’innii ‘Alaa Dzikrika Wa Syukrika Wa Husni ‘Ibaadatika )

Apabila laungan takbir tak mampu lagi mengetuk pintu hati dan kalam Ilahi tak bisa melembutkannya, zikrullah tak terasa manisnya dan hidup tak terasa bersamaNya, pasti ada terselit dosa yang terang mahupun sembunyi.

Wahai manusia, yang aku pun termasuk di dalamnya, tinggalkanlah kemaksiatan, perbaikilah ibadahmu dan sabarlah dalam mengerjakannya. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan carilah jalan kembali. Untuk itu, kita perlu bermujahadah melawan hawa nafsu agar Allah memberikan jalan keluar.

“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keridhaan) Kami, benar- benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”

(Al-‘Ankabuut: 69)

“Syurga itu dihiasi dengan perkara-perkara yang dibenci sedangkan neraka dihiasi dengan hal-hal yang disukai.”  (Riwayat Bukhari dan Muslim) – iluvislam.com

Posted on 27 Januari 2011, in Amal, Aqidah, Dakwah, Ilmu, Islam and tagged , , , , , . Bookmark the permalink. 2 Komen.

  1. MAJLIS-MAJLIS ILMU 28-30 JANUARY 2010

    28hb JAN 2011 – PENGAJIAN HABIB ALI, SURAU AL HIDAYAH, KERAMAT AU3 JAM 915PM

    29hb JAN 2011 – USTAZ AZHAR IDRUS, CERAMAH PERDANA DI MASJID AR RIDUAN HULU KELANG LEPAS MAHGRIB.

    30hb JAN 2011 MAJLIS MAWLID DI MASJID KOLEJ ISLAM MALAYA, PUSAT ASASI UIAM PJ, LEPAS MAGHRIB

    LAIN-LAIN MAJLIS ILMU :
    http://www.facebook.com/home.php#!/pages/PONDOK-HABIB/295419981998

  2. leroy jethro gibbs

    apa pendapat tentang suami calon PAS yang tipu sakit? dapat cuti sakit. tapi sihat sejahtera menemani isterinya.

    http://ohpolitik.blogspot.com/2011/01/suami-cikgu-mala-menipu-cuti-sakit.html

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: