Monthly Archives: Jun 2008

YB Parlimen BN Keluar Parti & Ugutan Bunuh


Salam Perjuangan…

Semasa berehat untuk mandi dan solat jama’ ta’khir di rumah kawan dekat Taman Seri Bayu Ampang, saya sempat mendengar berita melalui Buletin Utama TV3 jam 8. Kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan 4 orang YB Parlimen akan umum keluar Barisan Nasional (BN).

Beliau menambah beliau akan mengumumkan di mana beliau akan bertanding dalam pilihan raya kecil nanti mana-mana di parlimen yang telah ditentukan. Dakwaan kes liwat ke atasnya baru-baru ini adalah bertujuan untuk menamatkan kerear politik beliau.

Saya juga ada mendengar berita radio buruk bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah menerima 2 sms ugutan bunuh ke atas beliau. Kalau ianya benar-benar betul, ia bakal mengemparkan negara kita sekali lagi.

Pada pandangan saya, ujian yang diterima oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim benar-benar menguji beliau. Saya mendoakan agar beliau tabah mengharungi dugaan dan segala halangan dalam mencapai tujuan untuk membolehkan Malaysia diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR).

Takziah Buat Sahabatku


Salam Perjuangan…

Hari ini ayahnda sahabat seperjuanganku, Noor Azma Ramli (Pegawai Sukan, Urusetia Pembangunan Wanita, Belia Dan Sukan Kerajaan Negeri Kelantan) telah kembali kerahmatullah pada pagi Isnin yang hening (30hb Jun 2008). Mungkin Allah lebih menyayanginya.

Berbetulan saya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur bersama-sama sahabat seperjuangan, saudara Haji Zuraidin dan Cikgu Nuri atas sebab kerja parti.

Saya ucapkan Salam Takziah dan hadiah bacaan Al-Fatihah. Moga-moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang soleh.

Insya Allah, kalau diizinkan saya akan menziarahinya pada esok hari sekembalinya dari Kuala Lumpur.

Anwar Didakwa Liwat


anuar ibrahim

29 Jun 2008 – Sumber KeADILan mengatakan bahawa polis telah menahan Pegawai Khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan (gambar) petang kelmarin dan memaksanya membuat satu laporan polis yang dia telah diliwat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu Anwar Ibrahim berkata ; “Laporan polis yang dibuat awal pagi ini adalah satu rekaan semata-mata. Saya percaya kita sedang menyaksikan ulangan pendekatan sama yang digunakan terhadap saya pada tahun 1998 apabila tuduhan palsu dibuat dengan paksaan.

Anwar, bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, dipecat dari kerajaan pada 1997 kerana didakwa menyalahguna kuasa atau terbabit dalam perbuatan liwat.

Saiful Bukhari Azlan

Pegawai Khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan dengan Pegawai Khas Datuk Seri Najib Tun Razak – Khairul Anas Yusof – yang berlatar belakangkan pejabat timbalan perdana menteri (TPM).

Pada 1999, beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun atas tuduhan salahguna kuasa dan pada tahun 2000 telah dijatuhkan hukuman sembilan tahun penjara atas tuduhan liwat.

Bagaimanapun pada 2004, Mahkamah Persekutuan telah membatalkan sabitan hukuman tersebut dan membebaskan Anwar.

Anwar mendakwa tuduhan terhadapnya itu merupakan satu konspirasi politik terhadapnya, tetapi kerajaan menafikannya.

Mungkin apa yang telah dibuat ini merupakan satu tindakan untuk menyekat Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim dalam mengambil alih tampuk pemerintahan negara dalam masa terdekat ini.

Kami Beriman


Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ; “Kami Beriman.” Sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu ujian).

“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: “Kami Telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi?”

“Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta. ”

Surah Al ‘Ankabuut : Ayat 2 -3

Khabbab bin Arat berkata ; “Pada masa kami menjadi sakit akibat penyiksaan oleh orang-orang musyrik. Pada suatu hari aku melihat Rasulullah s.a.w. sedang duduk di bawah lindungan bayang dinding Kaabah. Aku pergi pada baginda dan berkata ; “Ya Rasulullah! Tidakkah kamu berdoa untuk kami?” Mendengar pertanyaan ini, muka baginda menjadi merah dan baginda berkata ; “Orang-orang yang beriman sebelum kamu telah dihadapkan dengan penyiksaan yang lebih berat lagi. Sesetengah daripada mereka didudukan di dalam parit di dalam tanah dan digeriji menjadi dua bahagian dari kepala ke kaki. Sendi-sendi seorang itu digosok dengan sikat besi untuk menghalangnya daripada keimanan. Demi Allah, misi ini akan terlaksana dan masanya tidak lama lagi apabila seseorang akan bermusafir tanpa apa-apa ketakutan daripada Sana’a ke Hadramaut dan tidak ada sesuatupun melainkan Allah yang dia takuti.” ”

Tidak ada seorang pun yang layak menerima janji Allah untuk kejayaan di dunia dan di akhirat semata-mata dengan pernyataan dari mulut. Sebaliknya setiap pengakuan keimanan mesti melalui ujian dan mehnah demi membuktikan kebenaran pengakuanya. Syurga Allah tidak murah, dan kuniaan-kurniaan Allah di dunia ini bukanlah tidak berharga. Lantas Allah mesti memberikanya kepada kita sebaik sahaja kita membuat pengakuan keimanan kepada Allah. Dugaan-dugaan ini adalah syarat-syaratnya. Kita akan melalui kesusahan semata-mata kerana Allah. Menderita kehilangan nyawa dan harta, menghadapi bahaya dan kesusahan. Kita akan diuji dengan ketakutan dan kebakhilan. Kita akan mengorbankan segala yang kita sayangi demi keredhaan Allah dan mengalami segala kesulitan di jalan Allah. Selepas itu barulah nyata sama ada pengakuan keimanan kita terhadap Allah itu benar atau palsu.

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

Surah Al-Baqarah : Ayat 214

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad[232] diantaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar.”

[232] Jihad dapat bererti: 1. berperang untuk menegakkan Islam dan melindungi orang-orang Islam; 2. memerangi hawa nafsu; 3. mendermakan harta benda untuk kebaikan Islam dan umat Islam; 4. Memberantas yang batil dan menegakkan yang Hak.

Surah Ali ‘Imran : Ayat 142

Pesta Sukan PASTI Malysia 2008


backdrop pesta sukan pasti

Kota Bharu, 28 Jun 2008 – Pesta Sukan PASTI Malaysia 2008 diadakan di Padang Perdana, Kota Bharu. Sebagaimana pada tahun lepas, Kelantan sekali lagi dipilih menjadi sebagai tuan rumah di atas kecemerlangann dalam menganjurkan pesta sukan tersebut pada tahun lepas.

pertandingan bola sepak

Anak-anak PASTI sedang berentap antara negeri-negeri dalam acara bola sepak

Pesta Sukan PASTI ini merupakan acara sukan tahunan bagi pelajar-pelajar PASTI seluruh negara. Pesta ini telah dirasmikan oleh YB Abdul Latif Bin Abdul Rahman, Timbalan Exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan & NGO. Turut hadir YBrs En Azrin Abdul Majid, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Dewan Pemuda PAS Pusat, YB Mohd Zaki Ibrahim, Timbalan Speaker Negeri Kelantan.

ustaz zamri

Ustaz Zamri Mat Yusoff, Timbalan Pengarah I Jabatan Amal Kelantan sedang bertugas sebagai ketua keselamatan

Antara acara sukan yang dipertandingkan adalah bola sepak dan bola jaring.

Pada sebelah malam sebelum pesta sukan tersebut, Sambutan Hari Guru PASTI Malaysia 2008 telah diadakan di Hotel Ridel, Kota Bharu yang melibatkan semua guru-guru PASTI seluruh negara.

Projek Longkang Undang Masalah Kesihatan


gambar jengkaut

Sebuah jengkaut berada ditepi lubang yang digali untuk membuat longkang bawah tanah yang memboleh mengundang bahaya kanak-kanak

Pasir Mas – Projek longkang untuk mengatasi banjir mungkin boleh menyebabkan masalah kesihatan dan membahayakan penduduk setempat. Dalam awal tahun 2006 selepas pilihan raya kecil DUN Pengkalan Pasir akhir tahun 2005 yang mana kemenangan berpihak kepada BN yang kita sedia maklum.

Projek yang dilaksanakan oleh kontraktor bagi mengatasi masalah banjir hingga sekarang masih belum siap. Kerja-kerja yang dilakukan melibatkan kerja menggali lubang untuk menanam longkang di bawah tanah. Kerja pengalian dan penanaman longkang ini dijalankan di atas jalan raya yang menyebabkan masalah kesesakan lalulintas pada waktu pagi.

Kerja ini dilakukan di berhampiran dengan bandar Pasir Mas, Klinik Kesihatan, Sekolah-sekolah, Balai Polis, Masjid Besar dan hadapan market besar Pasir Mas. Ia menyebabkan banyak debu yang berterbangan pada waktu panas dan berselut (lecoh) pada waktu hujan. Perkara ini mungkin boleh menyebabkan masalah kesihatan penduduk setempat.

Baru-baru ini, sebagaimana dilaporkan oleh akhbar tempatan “Sinar Harian”. Sebuah lori pasir telah terjerlus tayar disebabkan oleh jalan ditimbus dengan batu tidak kemas dan boleh menyebabkan berlaku kecelakaan.

Kaedah Penghafalan Al-Quran – II


Kaedah Selepas Menghafaz

i) Bangun sepertiga malam pada malam jumaat, sekiranya tidak mampu pada pertengahan atau awal malam. Kemudian sembahyang empat rakaat (dibuat dua rakaat dua rakaat). Dibaca selepas surah Al-Fatihah pada rakaat pertama surat Yaasin, selepas Al-Fatihah pada rakaat kedua surah Ad-Dukhaan, selepas Al-Fatihah pada rakaat ketiga surah As-Sajdah dan selepas Al-Fatihah pada rakaat keempat surah Al-Mulk.

ii) Mengamati segala ayat yang ada persamaan dengan makna, lafaz dan susunan ayat-ayatnya kerana dari 6236 ayat terdapat lebih kurang 2000 ayat yang ada persamaan.

iii) Cuba baca 2 halaman dalam masa 5 atau 6 minit tanpa satu kesalahan.

iv) Setelah dihafaz, cuba dengarkan kepada orang lain sekurang-kurangnya 2 atau 3 kali.

v) Cuba dibaca dalam sembahyang.

vi) Bangun tahajud tengah malam.

vii) Sembahyang subuh di awal waktu.

viii) Sentiasa mengulangi ayat-ayat atau surah-surah yang telah dihafaz.

ix) Memperdengarkan ayat-ayat yang dihafaz kepada orang lain. Seelok-eloknya kepada serang hafiz yang menghalusi bacaan atau melalui mushaf supaya dengan itu dapat memperbetulkan kesalahan yang berlaku dan menggingatkan jika lupa.

xi) Doa selepas membaca dan menghafaz Al-Quran ;

اللّهُمَّ إِ نِّي أَسْتَوْدِعُكَ مَا عَلَّمْتَنِي فَارْدُدْهُ إِلَيَّ وَقْتَ حَاجَتِي إِلَيْهِ فَلاَ تُنْسِنِيْهِ وصلي الله علي سيدنا محمد وعلى اله وصبه اجمعين

Bermaksud ; “Ya Allah, aku mempertaruhkan kepada-Mu apa yang telah Engkau ajarkan kepadaku pada waktu aku berhajat kepadanya. Maka janganlah Engkau melupakannya daripadaku. Semoga Allah memberi rahmat atas penghulu kami nabi Muhammad s.a.w. dan atas keluarganya dan sahabatnya sekelian.

Amaran Melupakan Al-Quran

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud ;

“Dibentangkan dihadapanku pahala-pahala umatku sehingga sampah yang dibuang oleh seseorang daripada masjid, dan dibentangkan dihadapanku dosa-dosa umatku. Aku tidak lihat satu dosa yang besar itu daripada seseorang yang diberi satu surat atau satu ayat Al-Quran kemudian ia melupakannya.”

Hadith Riwayat Abu Daud dan Al-Tarmizi

Faedah Menghafaz Al-Quran

Banyak faedah-faedah yang dapat diambil melalui menghafaz Al-Quran. Diantaranya ;

i) Memenuhi kehendak Fardhu Kifayah.

ii) Memelihara ketulenan bahasa arab dan kefasihan menyebut huruf-hurufnya.

iii) Menolong memperbetulkan sebutan huruf kerana kekerapan membaca sebelum dan selepas menghafaz.

iv) Terjamin daripada berlaku kesalahan di dalam membaca dan keaslian Al-Quran itu sendiri.

v) Dapat menegur kesilapan ayat-ayat Al-Quran yang salah atau tersalah bacaan dan memperbetulkan kesilapan dan penyelewengan dalam tulisan.

vi) Dapat memantapkan hukum-hukum tajwid dan memudahkan latihan memperbetulkan makhraj huruf.

Kaedah Penghafalan Al-Quran – I


Kaedah Sebelum Menghafaz

1) Ikhlas dan niat sebelum menghafaz dan menghayatinya semata-mata kerana Allah S.W.T. dan inginkan pahala yang berlipat ganda yang disediakan oleh Allah S.W.T. di akhirat kelak.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud ;
Katakanlah (wahai Muhammad) ; “Sesungguhnya Aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama.”

Surah Az-Zumar : Ayat 11

2) Masa yang baik untuk menghafaz ialah dalam lingkungan 5 tahun. Di dalam usia begini seseorang dapat menghafaz dengan cepat dan kurang bermasalah sebagaimana peribahasa arab ada mengatakan yang bermaksud ; “Menghafaz di waktu kecil seperti mengukir dibatu dan di waktu besar seperti mengukir di air.”

3) Sebelum menceburkan diri dibidang menghafaz, hendaklah terlebih dahulu memperbetulkan sebetulnya huruf Al-Quran daripada cara yang sebaik-baik sebutan.

4) Menggunakan mushaf tertentu sahaja semasa menghafaz atau mengulang tanpa diubah-ubah. Seelok-eloknya mushaf ‘Othmaani.

5) Membuat anggaran ayat atau muka surat yang mampu dihafaz dalam masa sehari. Selepas itu memulakan hafazan pada baris yang pertama dengan bacaan tartil. Sebaik-baiknya dengan lagu yang sesuai bagi menghilang jemu. Kemudian diulang beberapa kali tanpa pengurangan pada hukum tajwid dan wakaf ibtida’.

6) Mengetahui maksud hubungan di antara satu ayat dengan yang lain. Ini boleh menolong seseorang penghafaz.

7) Tiap-tiap kali sebelum menghafaz hendaklah membaca doa ;

اللّهُمَّ نَوِّرْ بِكِتَابِكَ بَصَرِى وَاشْرَحْ بِهِ صَدْرِىْ وَاسْتَعْمِلْ بِهِ بَدَنِى وَأَطْلِقْ بِهِ لِسَانِى وَقَوِّبِهِ جَنَانِى وَأَسْرِعْ بِهِ فَهْمِى وَقَوِّبِهِ عَزْمِى بِحَوْلِكَ وَقُـوَّتِكَ فَإِنَّهُ لاَ حَوْلَ وَلاَقُوَّةَ إِلاَّ بِكَ يَا أَرْحَمَ الرّحِمِين

Bermaksud ; “Ya Tuhanku, pancarkanlah cahaya kitab-Mu, pandanganku dan lapangkanlah dengannya dadaku, gunakanlah dengannya badanku, mudahkanlah sebutan lidahku dan kuatkanlah ingatanku dan segerakanlah denganya kefahamanku dan kuatkanlah dengannya daya kekuatan-Mu. Bahawasanya tiada daya dan upaya melainkan dengan-Mu wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.”

Kaedah Ketika Menghafaz

1) Cuba menghafaz di tempat-tempat yang agak sunyi seperti di masjid.

2) Cuba menghafaz di masa-masa yang segar dan tenang.

3) Jika penat, berhenti rehat. Kemudian teruskan menghafaz.

4) Bacaan didengarkan kepada orang lain supaya tidak berlaku kesalahan pada baris, sifat-sifat huruf dan menepati makhraj dan hukum-hukum tajwid.

Faktor Yang Mengukuhkan Sifat Sabar


i. Mengenali hakikat hidup di dunia

Manusia kerap hilang kesabarannya kerana salah fahaman tentang hakikat hidup. Dunia ini bukan sebuah syurga yang penuh nikmat dan kekal, tetapi sebuah tempat Allah menguji manusia sebelum manusia ditempatkan ditempat yang kekal iaitu syurga. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud ;
“Sesungguhnya kami Telah menciptakan manusia berada dalam susah payah.”

Surah Al-Balad : Ayat 4

Jelaslah bahawa jika kita sedar dunia ini tempat ujian. Maka kita kenalah bersabar bila kita ditimpa kesusuhan.

ii. Mengenali Diri

Jika kita mengenali diri kita adalah milik Allah dan apa yang ada pada kita adalah anugerah Allah yang sementara. Maka apa juga yang berlaku pada kita dan harta benda kita akan mudah dilalui dengan sabar. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud ;
“Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, Maka dari Allah-lah (datangnya), dan bila kamu ditimpa oleh kemudharatan, Maka Hanya kepada-Nya-lah kamu meminta pertolongan.”

Surah An Nahl : Ayat 53

Jika kekayaan dan kuasa yang ada pada kita hilang, maka sebenarnya kita tidak perlu risau kerana Allah yang memberinya dan ia telah mengambil kembali. Dengan itu terbentuklah rasa sabar dan menginsafi diri.

iii. Menyakini Ganjaran Di Sisi Allah

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud ;
“Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang beriman. bertakwalah kepada Tuhanmu”. orang-orang yang berbuat baik di dunia Ini memperoleh kebaikan. dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya Hanya orang-orang yang Bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”

Surah Az Zumar : Ayat 10

Mereka yang yakin bahawa Allah akan memberikan ganjaran yang besar kepada mereka yang sabar dan akan terus dapat membina rasa sabar.

iv. Yakin Kepada Pertolongan Allah

Orang yang beriman hendaklah yakin akan tiba pertolongan Allah juga. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud ;
“Oleh itu tetapkan kepercayaanmu, bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

Surah Al Insyiraah : Ayat 6

Dengan menyakini pertolongan Allah akan membolehkan kita membina kesabaran di hati.

v. Memohon Pertolongan Allah

Mohonlah pertolongan Allah untuk bersabar dan untuk mengatasi kesusahan dan ujian Allah. Sesungguhnya hanya Allah yang berkuasa menjadikan kita bersabar dan berjaya menghadapi ujiannya. Dan Allah telah berjanji untuk memberi kemenangan kepada mereka yang bersabar.

vi. Mencontohi Orang Yang Bersabar

Menghayati kisah orang-orang yang diuji oleh Allah dengan ujian yang besar akan menjadikan kita lebih bersabar menghadapi ujian Allah S.W.T.

vii. Menjauhi Penyakit Penghalang Sabar

Antara penghalang kepada sifat sabar ialah :

a) Gopoh dan tergesa-gesa. Firman Allah yang bermaksud ;
“Manusia Telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa. kelak akan Aku perIihatkan kepadamu tanda-tanda azab-Ku. Maka janganlah kamu minta kepada-Ku mendatangkannya dengan segera.”

Surah Al Anbiyaa’ : Ayat 37

b) Marah. Sifat marah menyebabkan manusia hilang sabar, pertimbangan, gelisah dan membawa kepada kekecewaan.

c) Terlampau sedih.

d) Putus asa.

Larangan Pemakaian Gincu & Kasut Tumit Tinggi


Saya mengucapkan tahniah dan syabas kerana pihak yang berwajib bersungguh-sungguh melaksanakan etika sebegini. Namun sudah pasti di zaman kerosakan akhlak dan kebanjiran maslaah sosial ini, pelaksanaan etika ini akan dilihat agak PELIK, JANGGAL, ZALIM dan pelbagai lagi.

Tidak kurang juga ada yang mengutuk usaha Kelantan ini sebagai usaha yang sangat kecil dan meninggalkan priority. Tidak berbaloi, ranting dan lain-lain. Jika berjaya, ia kejayaan remeh, demikianlah kesimpulan yang lahir dari minda si pengkritik.

Sebagaimana dilaporkan Bernama – Larangan pemakaian gincu dan kasut tumit tinggi yang tidak mengeluarkan bunyi antara arahan yang ditetapkan kepada pemegang lesen dan pekerja di dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Baharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Shafie Ismail berkata arahan itu bagi mengelak berlakunya anasir jahat seperti rogol dan zina selain menjaga maruah serta peribadi muslimah di negeri ini.

Katanya wanita muslimah dilarang memakai solekan yang jelas dilihat seperti gincu dan tidak dibenarkan memakai kasut bertumit tinggi yang mengeluarkan bunyi.

Sekiranya hendak memakai kasut bertumit tinggi, tumitnya haruslah diperbuat daripada getah, katanya menerusi pekeliling yang dikeluarkan kepada wanita beragama Islam yang bekerja mengendalikan premis makanan dan bukan makanan di dalam kawasan MPKB-BRI.

Selain itu, beliau berkata antara etika lain yang perlu dipatuhi ialah memakai tudung yang labuh, tidak jarang dan menutup dada, memakai baju berlengan panjang sehingga ke pergelangan tangan, memakai baju labuh dan longgar serta memakai sarung kaki.

Shafie berkata kegagalan mematuhi peraturan dan etika yang ditetapkan itu akan dikenakan kompaun sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Undang-Undang Kecil Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) 1986 dan jika sabit kesalahan boleh dikompaun tidak lebih RM500.

Larangan pemakaian gincu dan kasut tumit tinggi ialah antara arahan yang ditetapkan kepada pemegang lesen dan pekerja di dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini.