Syarat Memperolehi Kemenangan


Menyedari tentang betapa susahnya untuk mencapai sesuatu kemenangan, maka kita wajib memenuhi syarat-syaratnya barulah hasilnya begitu bermakna untuk dicapai. Antara syarat utama kemenangan ialah berpegang teguh kepada sistem al-Quran dan ajaran nabi Muhammad s.a.w. dalam setiap aspek kehidupan samada ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Sesuai dengan kebangkitan dan tersebarnya Islam atas dasar ilmu bagi melawan jahiliah maka kita wajib memperkasakan budaya ilmu dalam kehidupan bukan terhad pada usia, kerjaya dan tempat tertentu sahaja. Malangnya jika ramai umat Islam dihanyut dengan hiburan melalaikan setiap hari dengan hanya asyik menonton tv, berbual kosong, membaca majalah hiburan, melayari internet dalam perkara yang tidak bermanfaat sehingga banyak umur kita dihabiskan dengan melayan propaganda musuh bukannya menambah ilmu seterusnya bersiap siaga dalam mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Syarat untuk mencapai kemenangan beriiutnya ialah mesti ikhlas dalam memperjuangkan seluruh sistem al-Quran bukan terlalu mengejar harta dan takhta dunia. Betapa malangnya bila pejuang kemerdekaan sanggup bermandi darah dan melayang nyawa kerana menghalau penjajah yang merosakkan agama, merompak hasil negara sehingga digelar penderhaka namun apabila negara merdeka maka anak didik penjajah pula melabelkan penderhaka kepada rakyat yang bangkit menegur kemungkaran dan penyelewengan dalam menjaga kesucian agama dan mengurus harta negara. Jika penjajah boleh kita halau keluar dari negara kerana mengkhianati agama dan negara maka tidak menjadi suatu kesalahan untuk menukar kepimpinan walau pun sebangsa jika yang diberi amanah tanpa segan silu merosakkan amanah malah menzalimi rakyat dengan menjadikan hasil mahsul negara seperti harta rampasan perang yang diagihkan sesama sendiri dengan membiarkan rakyat bawahan terus menderita dengan kenaikan harga barang dan hutang keliling pinggang dalam semua perkara termasuk pendidikan, rumah, kenderaan dan lebih malang terlibat dengan sistem riba yang menjadi jenayah besar dalam agama. Oleh itu perubahan kepimpinan agar kita benar-benar merdeka daripada penjajahan baru yang terus menjulang tinggi sistem penjajah hanya dapat dicapai dengan berjuang penuh keikhlasan kepada Allah bukan untuk mendapat habuan dunia.

Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali ‘Imran :

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِ‌بِّيُّونَ كَثِيرٌ‌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا ۗ وَاللَّـهُ يُحِبُّ الصَّابِرِ‌ينَ

Maksudnya : Dan berapa ramai nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar daripada pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak pula menyerah kepada musuh. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang sabar.

Syarat untuk mencapai kemenangan ialah mesti bertaqwa kepada Allah sehingga menjauhi segala perbuatan atau sifat yang dicela oleh Allah. Pejuang Islam mesti takut kepada Allah bukannya mengecut kepada musuh serta jauh daripada penyakit al-Wahnu iaitu terlalu cinta kepada dunia dan takut kepada kematian. Syarat dalam mencapai seterusnya ialah sabar dalam berdepan dengan pelbagai ujian samada berbentuk kesenangan yang berupa tawaran pangkat dan kekayaan atau pun kekerasan seperti penjara malah dibunuh. Tanpa memiliki syarat-syarat ini maka ramai yang rebah di tengah perjalanan dan cepat putus asa dalam perjuangan. Renungilah jawapan ulama’ untuk menjadikan kita manusia yang tidak tamak haloba kepada dunia sebaliknya akhirat menjadi matlamat utama.

“1) Siapakah orang yang sempurna akal? Mereka menjawab : Orang yang tidak menyintai dunia (mengambil dunia sekadar yang diperlukan).
2) Siapakah orang yang cerdik? Mereka menjawab : Orang yang tidak tertipu oleh dunia.
3) Siapakah orang yang kaya? Mereka menjawab : Orang yang reda menerima bahagiannya daripada Allah.
4) Siapakah orang yang mengerti agama? Mereka menjawab: Orang yang tidak meminta berlebih-lebihan dan;
5) Siapakah orang yang bakhil? Mereka menjawab : Orang yang tidak mengeluarkan hak Allah dalam hartanya.”

 

 

 

Posted on 26 September 2012, in Dakwah, Fikrah, Hukum, Ilmu, Islam, Kelantan, Muhasabah, Muslim, News, PAS, Pemimpin, Pemuda PAS, Politik, Siasah, Tajdid Iman, Tarbiyyah, Umum. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen