Mukhriz Tetap Enggan


Salam Perjuangan…

Calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Tun Mahathir tetap dengan pendiriannya tidak mahu menyertai debat terbuka untuk calon-calon yang mahu merebut jawatan tersebut walaupun dua pencabarnya sudah bersetuju meneruskan rancangan berkenaan bagi menjelaskan prinsip perjuangan masing-masing.

Ahli Parlimen Jerlun itu yang mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa debat ala Amerika Syarikat tersebut kurang sesuai kerana bakal mendedahkan masalah parti untuk tatapan umum berkata, ia juga tidak membawa kepada pengukuhan dalam parti.

“Dengan pencalonan yang berjalan lancar, kita lihat perwakilan sudah kenal rapat dengan calon-calon yang menawarkan diri, cuma perlu ada sedikit pemantapan dari segi memahami lebih dekat misi dan visi setiap calon.

“Ia (pemantapan) telah dilakukan dalam perjumpaan-perjumpaan anjuran bersama Pergerakan Pemuda UMNO bahagian dan juga negeri,” kata beliau kepada pemberita pada majlis jamuan hari raya anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Jerlun di Alor Biak di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Seputih, Datuk Abu Hassan Sarif, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz dan Pengarah Kemas Negeri Kedah, Mohd. Adnan Md. Daud.

Mukhriz mengulas kenyataan seorang lagi calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bahawa debat yang dicadangkannya itu bukan bermaksud untuk bercakaran tetapi bagi menjelaskan prinsip perjuangan masing-masing.

Sebelum itu, Khairy mencadangkan debat di antara calon-calon bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang ditolak oleh Mukhriz tetapi seorang lagi calon, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo telah menyatakan kesediaan untuk berdebat.

Mengenai keputusan Khairy dan Dr. Khir yang bersetuju untuk berdebat, Mukhriz memberitahu, beliau tidak mempunyai hak untuk menghalang tetapi apa yang penting ialah ahli-ahli UMNO, orang Melayu dan rakyat Malaysia seharusnya memberi tumpuan kepada rasuah politik.

“Biarlah jika mereka (Khairy dan Dr. Khir) ingin teruskan (debat) tetapi rasuah politik terlalu berleluasa dalam pemilihan. Sebelum kita bercakap tentang misi dan visi, kita perlu bendung dahulu gejala ini kalau mahu debat secara umum,” kata beliau.

Bagaimanapun, kata Mukhriz, beliau mungkin mengubah fikiran untuk menyertai debat tersebut sekiranya beliau diyakinkan bahawa ia benar-benar boleh membawa kepada kebaikan parti.

“Setakat ini, saya tidak akan sertai debat tetapi sekiranya ada pihak boleh meyakinkan saya bahawa ia (debat) membawa kepada kebaikan atau pengukuhan parti, saya akan sertai, jika tidak pendirian saya kekal,” kata beliau.

Ditanya apakah keputusan tidak mahu berdebat itu akan menjejaskan sokongan umum kepada beliau, Mukhriz menjelaskan, perwakilan Pemuda UMNO kini sudah cukup matang dalam membuat keputusan.

“Harus diingat mereka (perwakilan) tahu menilai. Calon bukan sahaja dipilih kerana pandai bercakap tetapi yang penting bersifat jujur, amanah dan sanggup berkorban apa sekali pun untuk rakyat dan berkhidmat kepada mereka (rakyat).

“Jika di kalangan pemimpin yang dipilih tidak mempunyai kriteria penting, kesannya akan diterima pada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil akan datang,” tambah beliau.

Menjawab satu soalan tentang isu ugutan khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam pemilihan parti UMNO, beliau memberitahu, perkembangan terbaru itu cukup membimbangkan kerana budaya ugutan, fitnah, sekat menyekat dan salah guna kuasa bukan amalan demokrasi.

“Ini bukan amalan UMNO pada masa kini kerana sekarang adalah masanya kita mengagungkan ahli peringkat akar umbi.

“Sekarang kita nampak tindak balas perwakilan bawahan, bukti ahli buat pilihan bijak, berani bersuara dan tidak mengikut arahan pihak atasan yang tidak boleh diterima mereka,” tambah beliau. – kedahlanie

Posted on 29 Oktober 2008, in Berita, Berita Terkini, Pemilihan UMNO, Politik, Semasa, Siasah, UMNO. Bookmark the permalink. Tinggalkan komen.

Tinggalkan komen