Daily Archives: 12 Oktober 2008

Najib 23, Muhyiddin 21, Mohd Ali 3, Muhd Taib 2


Salam Perjuangan…

7.25 malam Datuk Najib Tun Razak mendapat pencalonan ke-24 dari bahagian Shah Alam manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan pencalonan ke-21 untuk jawatan timbalan presiden.

Bagi naib presiden, bahagian itu mencalonkan Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Hishammuddin Hussein dan Datuk Khaled Nordin.

7.10 malam Datuk Najib Tun Razak mendapat pencalonan ke-23 dari bahagian Kota Melaka, manakala Datuk Seri Mohd Ali Rustam mendapatkan pencalonan ketiga untuk jawatan timbalan presiden.

6.50 petang Datuk Najib Tun Razak mendapat pencalonan ke-22 dari bahagian Pontian, Johor, yang juga mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi jawatan timbalan presiden. Muhyiddin kini mendapat 20 pencalonan.

Bagi calon naib presiden, bahagian tersebut mencalonkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Shafie Apdal an Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

6.50 petang Datuk Najib Tun Razak mendapat pencalonan ke-21 dari bahagian Semporna, Sabah, yang juga mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi jawatan timbalan presiden. Muhyiddin kini mendapat 19 pencalonan.

Bagi naib presiden pula, Semporna mencalonkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Shafie Apdal dan Datuk Seri Rais Yatim.

Read the rest of this entry

Anwar Enggan Sebut Tarikh Tubuh Kerajaan


Salam Perjuangan…

KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kini tidak mahu lagi mengulas mengenai tarikh baru yang ditetapkan bagi Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negara daripada Barisan Nasional (BN).

Ketika ditanya pemberita, beliau berkata: “Saya tidak akan sebut (tarikhnya). Pada ketika yang sesuai…kita akan menyaksikan perubahan”.

“Kalau rakyat mahukan perubahan… tidak ada kuasa yang boleh menghalang dan menahan,” katanya semasa ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baharu di sini.

Di Kota Baharu Jumaat lepas, Anwar yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh berkata kerajaan baru akan ditubuhkan sebelum Hari Raya Aidiladha Disember ini, selepas gagal menubuhkan kerajaan pusat pada 16 Sept lalu.

Antara yang hadir pada majlis hari ini ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, penasihat DAP Lim Kit Siang dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim. BERNAMA

[Kalau tarikh disebut untuk pertukaran kerajaan mesti Umno / BN akan bawa MP keluar negara pula kut. Sebenarnya tarikh ni tak penting, yang pentingnya usaha ke arah itu berjalan dan dapat dicapai dengan jayanya apabila sampai pertolongan daripada Allah.]

25 Bahagian Mesyuarat Hari Ini, Najib Dan Muhyiddin Dahului Pencalonan


Salam Perjuangan…

PETALING JAYA : Persidangan perwakilan bahagian Umno memasuki hari keempat hari ini dengan sebanyak 25 bahagian dijangka mengadakan mesyuarat masing-masing.

Turut termasuk dalam senarai ialah Bahagian Pagoh yang diketuai oleh Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Sehingga semalam, Muhyidddin memperoleh tiga pencalonan tiga bahagian yang telah menyempurnakan persidangan masing-masing.

Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pula telah memperoleh jumlah pencalonan yang sama bagi jawatan Presiden.

Kelmarin kedua-dua mereka mendapat dua pencalonan setiap seorang daripada Umno Bahagian Machang di Kelantan dan Kimanis, Sabah.

Semalam pula Bahagian Besut merupakan bahagian ketiga yang mengadakan mesyuarat perwakilan mereka daripada 191 bahagian Umno di seluruh negara.

Antara bahagian-bahagian yang bersidang hari ini ialah Pagoh, Cheras, Tasek Gelugor, Bukit Gelugor, Parit Buntar, Bagan Serai, Taiping, Beruas, Kampar, Semporna, Silam, Kalabakan, Kota Kinabalu, Pontian, Mersing, Pasir Gudang, Batu Pahat, Kota Melaka, Kuantan dan Rompin.

Sehingga semalam Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang juga Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin; dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal masing-masing memperoleh tiga, dua dan satu pencalonan untuk jawatan Naib Presiden.

Read the rest of this entry

Eksklusif : Tamparan Hebat, Gerakan Mahu Kerajaan BN Bebaskan Semua Tahanan ISA!!


Salam Perjuangan…

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata pembaharuan mesti dilakukan dalam kerajaan, parti pemerintah, Barisan Nasional (BN) dan Gerakan jika mahu kekal relevan dan mendapatkan semula sokongan rakyat. “Kita berhadapan dengan cabaran serius. Kita dalam ambang perubahan bukan hanya pada ketika keadaan dalam genting. Untuk menjadi relevan dan mendapatkan semula sokongan rakyat, kita perlukan pembaharuan dalam kerajaan, dalam BN dan dalam Gerakan. “Pertama kerajaan persekutuan mestilah dengan segera melaksanakan pelbagai perubahan yang telah dicadang dan dijanjikan,” katanya dalam ucapan sulung beliau sebagai Presiden Gerakan pada Persidangan Perwakilan Parti itu di Menara PGRM di sini, Sabtu.

Persidangan itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dihadiri kira-kira 2,000 anggota dan pemimpin Gerakan. Mendahului perubahaan utama kerajaan, kata Koh ialah menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang dilihat sebagai satu langkah penting untuk memulihkan kredibiliti kehakiman dan mendapatkan semula keyakinan rakyat dalam sistem kehakiman negara. Di samping itu, kata Koh kerajaan hendaklah mengkaji semula beberapa undang-undang yang sudah lapuk dan terbatas seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Pencetakan dan Penerbitan serta Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Read the rest of this entry

Mukriz Perlu Hanya Sembilan Lagi Pencalonan Untuk Layak Bertanding Jawatan Ketua Pemuda


Salam Perjuangan…

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Anggota Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang setakat ini mendapat 29 pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno, kini memerlukan hanya sembilan lagi pencalonan untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.

Jumlah minimum pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut ialah 38.

Sementara Naib Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin setakat ini memperolehi 14 pencalonan, dan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo tujuh setelah 53 bahagian Pemuda Umno bermesyuarat sejak Khamis lepas.

Mukhriz mendapat pencalonan daripada Jerlun, Besut, Kimanis, Alor Star, Cameron Highlands, Kota Melaka, Tasek Gelugor, Bukit Gelugor, Teluk Intan, Pagoh, Pasir Gudang, Kalabakan, Langkawi, Kuantan, Rasah, Jelebu, Jempol, Ipoh Barat, Lipis, Bentong, Tenggara, Padang Rengas, Subang, Kampar, Kota Belud, Tuaran, Permatang Pauh, Bagan dan Pokok Sena.

Sementara Khairy pula dicalonkan oleh Machang, Pengkalan Chepa, Ketereh, Silam, Bandar Tun Razak, Bagan Datoh, Beruas, Bachok, Raub, Rompin, Bagan Serai, Gelang Patah, Pontian dan Kota Kinabalu.

Khir mendapat sokongan daripada Tumpat, Kapar, Cheras, Taiping, Masjid Tanah, Mersing dan Shah Alam.

Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda, anggota Parlimen Muar Razali Ibrahim yang kini memperolehi 27 pencalonan, hanya perlu mendapat dua lagi pencalonan untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.

Bagi bertanding jawatan itu, calon perlu mendapat 15 peratus pencalonan dari 191 bahagian iaitu 29.

Sementara saingannya bagi jawatan itu, anggota Exco Pemuda dan Ketua Pemuda Permatang Pauh Datuk Reezal Merican Naina Merican mendapat 18 pencalonan, Ketua Pemuda Kota Kinabalu Baharol Raza Chuprap (satu), anggota Exco Pemuda Marzuki Yahaya (satu) dan Ketua Pemuda Kapar, Selangor Faizal Abdullah (satu). BERNAMA

[Kali ini mungkin di penghujung karier politiknya. Mungkin bahagian-bahagian lain akan tengok kepada situasi sekarang ini untuk menentukan calon mana yang mereka akan pilih untuk menjadi ketua mereka. Khairy sudah tidak ada taring untuk menarik sokongan daripada bahagian untuk mencalonkanya untuk jawatan ketua pemuda. Bukan setakat Pak Lah sahaja malah anak dan menantunya akan menangisi nasib mereka yang tidak dikenang oleh bahagian akan jasa mereka ini.]