Daily Archives: 19 Oktober 2008

Najib Belum Selamat, Abdullah Sedang Susun Strategi


Salam Perjuangan…

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkemungkinan tidak berpeluang untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri ekoran beberapa isu terkini yang dikaitkan dengan beliau.

Beberapa penganalisa politik berkata, Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi biarpun ditekan hebat oleh pemimpin Umno agar berundur diri tidak akan melepaskan jawatan tersebut dengan mudah.

Sebaliknya, Abdullah kini sedang menyusun strategi untuk memerangkap Najib dengan pelbagai isu yang boleh memusnahkan impian anak bekas Perdana Menteri kedua itu untuk menerajui kerajaan.

Abdullah yang dibantu oleh menantu beliau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersama geng tingkat empatnya sedang mengumpul sebanyak mungkin bukti penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh Najib sepanjang memegang jawatan Menteri Pertahanan.

Pendedahan kelulusan pembelian helikopter Cougar EC 725 kepada syarikat Eurocopter dalam “keadaan meragukan” serta dakwaan salah guna kuasa dalam kes Altantuya dikatakan dirancang oleh Khairy dan ‘budak tingkat empat’.

Abdullah dilaporkan telah memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan baru-baru ini untuk meneliti hal ehwal tender pembelian helikopter tersebut.

“Keputusan Abdullah bertukar dari kementerian kewangan ke kementerian pertahanan kerana beliau mahu mendapatkan bukti untuk menjatuhkan Najib,” kata penganalisa politik yang enggan identitinya dikenali.

Kata penganalisa politik itu lagi, Najib sepanjang memegang jawatan Menteri Pertahanan telah membiarkan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berkuasa hingga dikatakan memiliki pejabat sendiri di kementerian tersebut. Read the rest of this entry

Subjek Sejarah Bukan Cara Atasi Masalah Perkauman


Salam Perjuangan…

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Pelaksanaan pengajaran sejarah di peringkat sekolah rendah dianggap sebagai salah satu jalan yang diambil oleh kerajaan Umno-BN untuk mengatasi masalah rakyat yang telah buta sejarah.

Profesor di Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Nik Anuar Mahmud berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily.

“Saya bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk melaksanakan pengajaran subjek sejarah di peringkat UPSR, tetapi ia bukanlah satu-satunya cara untuk mengatasi masalah ketegangan hubungan kaum kerana banyak lagi cara yang boleh digunakan,”jelasnya.

Tambahnya lagi, para pelajar sekarang ini hanya mempelajari subjek berkenaan hanya untuk lulus bagi mendapatkan sijil tamat pengajian semata-mata tanpa menghayati iktibar serta pengajaran di sebalik peristiwa lalu.

“Seperti juga halnya dengan sikap umat Islam yang tidak mengambil iktibar daripada kitab al-Quran yang dibaca sehari-hari,” katanya.

Rakyat katanya, perlu mengetahui sejarah yang merupakan asas kepada permulaan kedatangan orang Melayu ke negara ini.

“Ianya perlu kerapkali diingatkan bahawa negara ini milik orang Melayu dan bagaimana negara ini dibuka,” ujarnya.

Ditanya mengenai pelaksanaan, pihaknya berkata kerajaan mungkin akan memanggil pakar-pakar sejarah bagi membincangkan sistem yang sesuai bagi mengaplikasikannya.

Namun beliau masih tidak berpuas hati dengan tahap pengetahuan ilmu sejarah dalam masyarakat pada hari ini.

Nik Anuar mendakwa antara faktor yang menyebabkan situasi ini adalah kerana kebanyakan institusi pengajian tinggi kini hanya menumpukan kepada aspek kemahiran dan ekonomi semata-mata.

“Kini hanya beberapa IPT sahaja yang menawarkan mata pelajaran sejarah, sama nasibnya juga dengan subjek pengajian Islam.

“Kita lihat IPT baru yang ditubuhkan tidak lagi menyediakan kursus-kursus ini, sekaligus merugikan masa depan rakyat pada masa akan datang,” demikian ujarnya.

Pengajaran mata pelajaran sejarah di peringkat sekolah rendah yang akan dinilai dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah telah dipersetujui oleh kerajaan.

Ia turut menerima reaksi yang positif daripada pelbagai pihak. harakahdaily